• TAHUN LAHIR: 1928

  • NEGARA ASAL: COSTA RICA

  • LATAR BELAKANG: SANGAT SUKA BERSUKAN DAN BERJUDI

KISAH SILAM SAYA

Saya membesar di Puerto Limón, sebuah kota di pantai timur Costa Rica. Ibu bapa saya mempunyai lapan orang anak, dan saya ialah anak ketujuh. Semasa saya berumur lapan tahun, ayah telah meninggal. Jadi, ibu membesarkan kami seorang diri.

Saya suka main besbol sejak kecil lagi. Semasa saya remaja, saya mengikuti pasukan liga amatur. Apabila saya berumur 20-an, seorang peninjau bakat menjemput saya untuk menyertai pasukan profesional di Nicaragua. Tetapi saya menolak kerana saya perlu menjaga ibu yang sakit dan tidak mahu pindah ke Nicaragua. Kemudian, seorang lagi peninjau bakat mengundang saya untuk menjadi ahli pasukan besbol kebangsaan Costa Rica, yang terdiri daripada pemain amatur yang terpilih. Kali ini saya menerima tawarannya. Saya bermain untuk pasukan negara dari tahun 1949 hingga 1952, dan saya pernah bermain di Cuba, Mexico, dan Nicaragua. Saya penjaga tapak yang mahir dan pernah bermain 17 permainan secara berturut-turut tanpa melakukan kesilapan. Saya sangat suka mendengar para peminat memanggil-manggil nama saya!

Namun, hidup saya tidak bermoral. Saya hanya ada seorang teman wanita, tetapi saya berfoya-foya dengan perempuan lain. Saya juga kaki botol. Pernah sekali, saya begitu mabuk sampai tidak ingat bagaimana saya balik rumah malam lalu! Saya juga berjudi seperti membeli loteri dan main domino.

Sementara itu, ibu saya menjadi Saksi-Saksi Yehuwa. Dia cuba mengongsi kepercayaannya dengan saya tetapi saya tidak berminat kerana terlalu khusyuk dengan besbol. Saya begitu suka berlatih sehingga tidak akan berasa lapar! Dalam minda saya hanya ada besbol. Besbol ialah hidupku!

Malangnya, semasa saya berumur 29 tahun, saya cedera parah ketika cuba menangkap bola. Selepas saya sembuh, saya tidak lagi main secara profesional. Walaupun begitu,  saya masih melatih pemain besbol dalam liga amatur yang dekat dengan rumah saya.

BAGAIMANA BIBLE MENGUBAH HIDUP SAYA

Pada tahun 1957, saya menghadiri konvensyen Saksi-Saksi Yehuwa di sebuah stadium yang mana saya pernah main besbol dahulu. Semasa di situ, saya nampak perbezaan yang amat ketara antara Saksi-Saksi yang berkelakuan sopan dengan para peminat besbol yang hingar bingar dan kacau-bilau. Semua itu mendorong saya untuk mula mempelajari Bible dan menghadiri perjumpaan Saksi-Saksi.

Saya sangat kagum dengan ajaran-ajaran Bible. Contohnya, Yesus telah menubuatkan bahawa pada hari-hari terakhir, murid-muridnya akan mengkhabarkan berita baik Kerajaan Tuhan ke seluruh dunia. (Matius 24:14) Saya juga belajar bahawa orang Kristian sejati tidak menginjil untuk mendapat wang, kerana Yesus berkata, “Kamu menerima secara percuma, jadi berilah dengan percuma.”​—Matius 10:8.

Sambil mempelajari Bible, saya membandingkan ajarannya dengan kelakuan Saksi-Saksi Yehuwa. Saya berasa takjub kerana mereka berusaha tanpa mengenal lelah untuk menyebarkan berita baik Kerajaan Tuhan ke seluruh bumi. Saya nampak mereka menunjukkan sifat suka memberi, seperti yang diperintahkan oleh Yesus kepada semua orang Kristian. Jadi, semasa membaca undangan Yesus di Markus 10:21, “Jadilah pengikutku,” saya mahu menjadi seorang Saksi Yehuwa.

Namun bukan senang untuk mencapai hasrat itu. Misalnya, selama bertahun-tahun, saya memilih “nombor bertuah” saya semasa membeli loteri setiap minggu. Setelah belajar bahawa Tuhan mengutuk orang yang menyembah “dewa nasib” dan orang yang tamak, saya memutuskan untuk berhenti berjudi. (Yesaya 65:11; Kolose 3:5) Pada hari Ahad pertama selepas saya berhenti membeli loteri, “nombor bertuah” saya menang! Saya diejek kerana tidak membeli loteri minggu itu, dan saya didesak untuk main loteri lagi. Tetapi saya tidak berganjak dan tidak terjebak dalam aktiviti perjudian lagi!

Pada hari saya dibaptis, “keperibadian baru” saya telah diuji. (Efesus 4:24) Malam itu, ketika saya pulang ke hotel, saya nampak bekas teman wanita saya di luar pintu bilik saya. Dia berkata, “Sammy, marilah kita berseronok!” Tetapi saya segera menjawab, “Tidak boleh!” kerana saya berpegang pada prinsip moral Bible. (1 Korintus 6:18) Dia meremehkan ajaran Bible tentang perbuatan seks yang tidak bermoral dan mendesak saya untuk mengadakan hubungan dengannya semula. Tetapi saya terus masuk ke dalam bilik dan mengunci pintu. Sejak saya menjadi Saksi pada tahun 1958, saya bersyukur kerana dapat berpegang pada jalan hidup yang murni sampai hari ini.

MANFAAT YANG SAYA TERIMA

Saya mendapat banyak manfaat, seperti ramai sahabat yang akrab, hidup yang bermakna, dan kebahagiaan sejati. Sebenarnya, jika saya mencatatkan semua manfaat yang dinikmati kerana mengikut nasihat Bible, saya dapat menulis sebuah buku!

Saya masih suka main besbol, tetapi itu bukan lagi hal yang terpenting. Besbol membuat saya kaya dan masyhur, tetapi semua itu tidak berkekalan. Bible menyatakan, “dunia dan segala sesuatu di dalamnya yang diingini oleh manusia sedang berlalu, tetapi orang yang melakukan kehendak Tuhan akan hidup selama-lamanya.” (1 Yohanes 2:17) Sekarang saya paling mencintai Tuhan Yehuwa dan umat-Nya!