Anda mungkin ingat tentang Gail yang disebutkan pada awal siri rencana ini. Dia meragui sama ada dia dapat menangani kesedihan akibat kematian suaminya, Rob. Namun, dia kini menantikan masanya apabila dia akan bertemu dengan Rob di dunia baru yang dijanjikan Tuhan. Dia berkata, “Ayat kegemaran saya ialah Wahyu 21:3, 4.” Ayat itu berkata, “Tuhan sendiri akan menyertai mereka. Dia akan menyapu semua air mata mereka, dan kematian tidak akan ada lagi. Ratapan, tangisan, dan kesakitan pun tidak akan ada lagi. Perkara-perkara yang lama sudah lenyap.”

Gail berkata, “Inilah harapan yang diperlukan! Saya bersimpati dengan mereka yang kehilangan orang tersayang tetapi tidak mengetahui harapan ini.” Gail melakukan kerja sukarela sebagai penginjil sepenuh masa. Dia mengongsi dengan orang lain tentang janji Tuhan bahawa “kematian tidak akan ada lagi.”

Ayub yakin bahawa dia akan hidup kembali

Adakah hal ini mustahil? Fikirkan seorang lelaki yang bernama Ayub. Dia mengalami kesengsaraan akibat penyakitnya. (Ayub 2:7) Walaupun dia ingin mati, dia masih beriman terhadap kuasa Tuhan untuk membangkitkannya di bumi. Dia berkata dengan yakin, “Alangkah baiknya jika Engkau menyembunyikan aku di dalam Kuburan! . . . Engkau akan memanggil aku, dan aku akan menjawab. Sesungguhnya, Engkau sangat ingin membangkitkan mereka yang sudah mati.” (Ayub 14:13, 15, NW) Ayub yakin bahawa Tuhan akan merinduinya dan ingin membangkitkannya.

Tidak lama lagi, Tuhan akan melakukan hal ini apabila Dia mengubah bumi menjadi firdaus. (Lukas 23:42, 43) Kisah 24:15 menyatakan, “Tuhan akan membangkitkan orang.” Yesus meyakinkan kita, “Janganlah kamu hairan akan hal ini kerana masanya akan tiba apabila semua orang di dalam makam peringatan akan mendengar suaranya.” (Yohanes 5:28, 29) Ayub akan melihat janji ini menjadi kenyataan. Selain itu, “badannya akan menjadi kuat perkasa, segar seperti orang muda.” (Ayub 33:24, 25) Harapan pembangkitan diberikan kepada semua yang menghargai pemberian Tuhan.

Jika anda menderita kerana kehilangan orang tersayang, maklumat dalam rencana ini mungkin tidak dapat menyingkirkan kesedihan anda dengan sepenuhnya. Namun, dengan merenungkan janji-janji Tuhan yang terdapat dalam Bible, anda dapat memperoleh harapan dan kekuatan untuk terus bertabah.​—1 Tesalonika 4:13.

Adakah anda ingin belajar lebih banyak tentang cara menangani kesedihan? Adakah anda mempunyai soalan seperti “Mengapakah Tuhan membenarkan kejahatan dan penderitaan?” Sila layari laman web kami, jw.org/ms, untuk mendapat jawapan Bible yang praktikal dan melegakan.