Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

 BIBLE MENGUBAH HIDUP

Saya Mula Menghormati Wanita dan Diri Sendiri

Saya Mula Menghormati Wanita dan Diri Sendiri
  • TAHUN LAHIR: 1960

  • NEGARA ASAL: PERANCIS

  • LATAR BELAKANG: PENAGIH DADAH YANG GANAS, MENGHINA WANITA

MASA LALU SAYA:

Saya lahir di Mulhouse, Perancis. Tempat yang saya tinggal terkenal dengan keganasan dan keluarga-keluarga di sana asyik bertengkar. Dalam keluarga saya, wanita dipandang rendah dan lelaki jarang menanya pendapat mereka. Saya diajar bahawa wanita harus berada di dapur dan menjaga suami serta anak-anak sahaja.

Zaman kanak-kanak saya susah. Semasa berumur 10 tahun, bapa meninggal kerana minum alkohol berlebihan. Lima tahun kemudian, abang saya membunuh diri dan pembunuhan berlaku akibat perbalahan dalam keluarga saya. Saya sangat terkejut. Ahli keluarga mengajar saya untuk bergaduh serta cara menggunakan pisau dan pistol. Hati saya tidak tenang dan saya mula mempunyai tatu pada badan serta minum alkohol.

Pada umur 16 tahun, saya minum 10 hingga 15 botol bir setiap hari dan kemudiannya mula mengambil dadah. Untuk mendapatkan duit, saya menjual besi buruk dan mencuri. Pada umur 17 tahun, saya masuk penjara. Secara keseluruhan, saya ditahan sebanyak 18 kali kerana mencuri dan bertindak ganas.

Pada usia 20-an, situasi saya menjadi semakin teruk. Saya menghisap 20 rokok ganja sehari, mengambil heroin, dadah lain, dan hampir mati kerana mengambil dadah berlebihan. Saya mengedarkan dadah dan selalu membawa pisau dan pistol. Pernah sekali, saya menembak seorang lelaki. Mujurlah peluru itu melantun kerana terkena kepala tali pinggangnya! Pada umur 24 tahun, ibu meninggal dan saya semakin panas baran. Apabila di jalanan, orang menjauhi saya kerana ketakutan. Oleh sebab saya selalu bergaduh, saya sering berada di balai polis atau hospital kerana tercedera.

Saya berkahwin pada umur 28 tahun. Namun, saya tidak menghormati isteri dan menghina serta memukulnya. Kami tidak pernah melakukan apa-apa aktiviti bersama. Saya menyangka bahawa memberi isteri saya barang kemas yang dicuri sudah mencukupi. Namun, sesuatu yang tidak disangka telah berlaku. Isteri saya mula belajar Bible dengan Saksi-Saksi Yehuwa. Selepas pembelajarannya yang pertama, dia berhenti merokok, dan menolak segala pemberian duit serta barang kemas yang dicuri. Saya sangat marah. Saya menentangnya daripada belajar Bible dan akan meniup asap rokok ke arah mukanya. Saya juga menghinanya di kawasan perumahan saya.

 Suatu malam, disebabkan keadaan mabuk, saya membakar tempat tinggal kami dengan tidak sengaja. Isteri saya menyelamatkan saya dan anak perempuan kami yang berumur lima tahun daripada kebakaran itu. Apabila saya sedar, saya berasa bersalah. Dalam lubuk hati, saya berasa Tuhan tidak akan mengampuni saya. Saya masih mengingati kata-kata seorang paderi bahawa orang jahat akan ke neraka. Pakar psikiatri juga memberitahu saya, “Habislah kamu! Kamu tidak boleh diselamatkan lagi.”

BAGAIMANA BIBLE MENGUBAH HIDUP SAYA:

Selepas kebakaran itu, kami tinggal bersama ibu bapa isteri saya. Apabila para Saksi mengunjungi isteri saya, saya menanya mereka, “Dapatkah Tuhan mengampunkan segala dosa saya?” Mereka menunjukkan ayat di 1 Korintus 6:9-11. Petikan itu menyenaraikan kelakuan yang dibenci Tuhan. Ayat itu juga berkata, “Demikianlah cara hidup sesetengah orang antara kamu dahulu.” Kata-kata itu meyakinkan saya bahawa saya dapat berubah. Para Saksi menunjukkan ayat di 1 Yohanes 4:8 dan meyakinkan saya bahawa Tuhan mengasihi saya. Saya amat digalakkan. Saya meminta para Saksi untuk belajar Bible dengan saya dua kali seminggu. Saya juga mula menghadiri perjumpaan Kristian dan sentiasa berdoa kepada Yehuwa.

Dalam sebulan, saya memutuskan untuk berhenti mengambil dadah dan minum alkohol. Tetapi, saya berasa seolah-olah peperangan tercetus dalam badan saya! Saya mengalami mimpi ngeri, sakit kepala, kekejangan otot, dan kesan sampingan yang lain. Namun, Yehuwa seperti memegang tangan dan menguatkan saya. Saya berasa seperti rasul Paulus yang berkata, “Melalui Dia yang memberikan kuasa kepadaku, aku berdaya menghadapi segala keadaan.” (Filipi 4:13) Tidak lama kemudian, saya berhenti merokok.—2 Korintus 7:1.

Selain daripada mengubah kehidupan saya, Bible juga memperbaiki kehidupan keluarga saya. Sikap saya terhadap isteri berubah. Saya mula menghormatinya dan akan menggunakan kata-kata sopan seperti “terima kasih.” Saya juga mula menjadi seorang ayah yang baik. Selepas mempelajari Bible selama setahun, saya meniru teladan baik isteri saya untuk membaktikan diri kepada Yehuwa dan dibaptis.

MANFAAT YANG SAYA TERIMA:

Prinsip Bible sememangnya telah menyelamatkan hidup saya. Tanpanya, saya mungkin telah mati akibat penyalahgunaan dadah atau pergaduhan. Bahkan ahli keluarga saya yang bukan Saksi juga setuju dengan hal ini.

Bible mengajarkan tentang tanggungjawab seorang suami dan ayah. Maka, kehidupan keluarga saya berubah kerana menerapkan ajaran Bible ini. (Efesus 5:25; 6:4) Sebagai sebuah keluarga, kami mula melakukan aktiviti bersama. Kini, saya tidak lagi mengehadkan isteri di dapur sahaja, tetapi saya menyokong aktivitinya sebagai seorang penginjil sepenuh masa. Dia juga bersukacita menyokong saya sebagai seorang penatua dalam sidang.

Kasih dan belas kasihan Yehuwa telah menyentuh hati saya. Saya bertekad untuk memberitahukan sifat-sifat-Nya kepada orang yang nampaknya tiada harapan seperti diri saya dahulu. Saya tahu Bible berkuasa untuk membantu sesiapa pun untuk menemui hidup yang murni dan bertujuan. Bible bukan sahaja mengajar saya untuk mengasihi dan menghormati lelaki dan wanita, tetapi juga diri sendiri.