Terdapat banyak nasihat mengenai topik ini. Namun, bukan semuanya membantu. Contohnya, sesetengah orang mungkin menasihati anda supaya jangan menangis atau menunjukkan emosi. Yang lain pula mengatakan sebaliknya. Walau bagaimanapun, pandangan Bible adalah seimbang dan penyelidikan terkini setuju dengan pandangan Bible.

Dalam sesetengah budaya, golongan lelaki dianggap lemah jika menangis di khalayak ramai. Namun, adakah mereka perlu berasa malu untuk menangis? Pakar kesihatan mental mengakui bahawa menitiskan air mata adalah sebahagian daripada kesedihan. Dengan berbuat demikian, anda dibantu untuk terus bertabah walaupun kehilangan orang tersayang. Jika kesedihan tidak diluahkan, hal ini memudaratkan anda. Bible tidak mengatakan bahawa adalah salah bagi lelaki untuk menangis. Fikirkan Yesus yang kehilangan sahabat karibnya, Lazarus. Yesus menangis di depan ramai orang walaupun dia mempunyai kuasa untuk membangkitkan Lazarus!Yohanes 11:33-35.

Ada yang berasa marah, terutamanya apabila mereka kehilangan orang tersayang secara tiba-tiba. Ada juga alasan lain mengapa mereka berasa sedemikian. Contohnya, orang mungkin mengatakan kata-kata yang tidak berperasaan. Mike dari Afrika Selatan berkata, “Saya berumur 14 tahun apabila ayah meninggal. Semasa upacara pengebumian, paderi berkata bahawa Tuhan memerlukan orang yang baik dan mengambil mereka. * Hal ini membuat saya marah kerana kami masih memerlukan ayah. Walaupun 63 tahun sudah berlalu, saya masih berasa sedih.”

Bagaimana pula dengan perasaan bersalah? Terutamanya apabila kita kehilangan orang tersayang secara tiba-tiba, kita mungkin berfikir berulang kali, “Kematiannya dapat dielakkan jika saya melakukan sesuatu.” Selain itu, mungkin kali terakhir anda berjumpa dengannya, anda telah bertengkar dengannya. Hal ini boleh menyebabkan anda berasa bersalah.

Jika anda menderita kerana berasa bersalah atau marah, janganlah pendamkan perasaan itu. Sebaliknya, luahkanlah perasaan itu kepada seorang sahabat yang dapat mendengar dan meyakinkan anda bahawa perasaan itu biasa dialami. Bible berkata, “Sahabat sentiasa saling mengasihi, dan sanak keluarga saling menanggung kesusahan.”Amsal 17:17.

Sahabat terbaik bagi orang yang sedih ialah Pencipta kita, Tuhan Yehuwa. Luahkanlah perasaan anda kepada-Nya dalam doa kerana “dia mengambil berat” tentang anda. (1 Petrus 5:7) Tambahan lagi, Dia berjanji untuk menenangkan pemikiran dan perasaan anda melalui “kesejahteraan daripada Tuhan, yang jauh lebih unggul daripada apa yang dapat difahami oleh manusia.” (Filipi 4:6, 7) Selain itu, izinkanlah Tuhan untuk melegakan hati anda melalui Firman-Nya, Bible. Buatlah senarai ayat Bible yang menghiburkan hati. (Lihat  kotak.) Anda  boleh menghafal ayat-ayat itu. Dengan merenungkannya, hal ini dapat membantu anda apabila anda berasa sunyi dan sukar untuk tidur.Yesaya 57:15.

Jack yang berumur 40 tahun telah kehilangan isteri akibat penyakit barah. Jack berkata bahawa ada kalanya dia sangat sunyi. Namun, doa telah membantunya. “Apabila saya berdoa kepada Yehuwa, saya tidak berasa sunyi,” kata Jack. “Saya sering terbangun pada waktu malam dan tidak dapat tidur. Selepas membaca dan merenungkan ayat-ayat Bible yang melegakan hati dan meluahkan perasaan melalui doa, saya merasakan ketenangan jiwa dan ketenteraman yang mendalam. Hal ini menenangkan minda dan hati saya serta membantu saya untuk tidur.”

Seorang wanita muda yang bernama Vanessa kehilangan ibunya akibat penyakit. Dia juga mendapat bantuan melalui doa. Dia berkata, “Pada masa yang paling susah, saya akan menyeru nama Tuhan lalu menangis. Yehuwa mendengar doa saya dan memberikan kekuatan kepada saya.”

Sesetengah penasihat memberitahu mereka yang kehilangan orang tersayang untuk membantu orang lain atau melibatkan diri dalam kerja sukarela. Hal ini dapat membawa sukacita dan mengurangkan kesedihan. (Kisah 20:35) Banyak orang Kristian yang pernah kehilangan orang tersayang mendapati bahawa membantu orang lain dapat membawa kelegaan hati.2 Korintus 1:3, 4.

^ per. 5 Pandangan ini bukan ajaran Bible. Bible mengajar bahawa terdapat tiga punca kematian.Pengkhutbah 9:12; Yohanes 8:44; Roma 5:12.