Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Ketika Ditimpa Bencana

Ketika Ditimpa Bencana

“Apabila semua harta kami musnah dan dihanyutkan banjir lumpur, kami berasa tidak berdaya.”—Andrew, Sierra Leone.

“Selepas taufan, kami pulang ke rumah. Kami ternganga semasa mendapati semuanya sudah tiada. Anak perempuan saya berlutut di atas tanah sambil menangis teresak-esak.”—David, Kepulauan Virgin.

JIKA anda pernah menjadi mangsa bencana, anda mungkin dapat faham apa yang dilalui mangsa lain seperti perasaan terkejut, keliru, gelisah, susah menerima hakikat, dan dihantui mimpi ngeri. Ramai mangsa berasa begitu tawar hati dan lesu sehingga hilang keinginan untuk pulih daripada pengalaman pahit mereka.

Jika kehidupan anda juga hancur akibat bencana, anda mungkin berasa bahawa anda tidak mampu bertahan lagi. Anda mungkin berfikir, “Apa gunanya saya terus hidup?” Namun, Bible menunjukkan bahawa anda mempunyai sebab yang baik untuk tidak putus harapan dan menantikan masa depan yang cerah.

KEBENARAN BIBLE MEMBERI KITA HARAPAN

Pengkhutbah 7:8 menyatakan, “Kesudahan sesuatu perkara lebih baik daripada permulaannya.” Kehidupan mangsa bencana memang mencabar pada mulanya, tetapi apabila anda membina semula kehidupan anda dengan sabar, keadaan hidup anda akan bertambah baik.

Bible menyatakan bahawa akan tiba masanya apabila ‘ratapan dan tangisan tidak akan kedengaran lagi.’ (Yesaya 65:19) Hal itu akan terjadi semasa Kerajaan Tuhan memerintah bumi dan mengubahnya menjadi firdaus. (Mazmur 37:11, 29) Ketika itu, bencana akan menjadi kisah silam, dan apa-apa kenangan ngeri dan trauma akan dipadamkan buat selama-lamanya. Tuhan Yang Maha Kuasa berjanji, “Perkara-perkara yang lama tidak akan terlintas dalam fikiran lagi, dan tidak akan dikenang sama sekali.”​—Yesaya 65:17.

Ya, Pencipta kita telah berjanji untuk memberi kita “harapan dan masa depan yang baik,” iaitu kehidupan yang damai di bawah pemerintahan Kerajaan-Nya. (Yeremia 29:11) Dapatkah kebenaran ini memberi anda kekuatan untuk meneruskan kehidupan? Sally, yang disebut dalam rencana sebelumnya, berkata, “Apabila kita memikirkan segala berkat yang bakal dicurahkan oleh Kerajaan Tuhan pada masa depan, kita dapat melepaskan diri daripada belenggu masa silam dan menghadapi cabaran sekarang dengan tabah.”

Kami menjemput anda untuk belajar lebih banyak lagi tentang hal-hal yang akan dilakukan oleh Kerajaan Tuhan. Dengan itu, anda akan diyakinkan bahawa hidup anda masih bermakna dan bahawa anda dapat menantikan masa depan yang bebas daripada bencana. Bukan itu sahaja, nasihat Bible dapat membantu anda bertabah semasa menghadapi kesusahan sekarang. Perhatikan beberapa contoh.