BANYAK agama di serata dunia, seperti Gereja Katolik, gereja-gereja Orthodoks, agama Buddha, dan lain-lain lagi, menghendaki para pemimpin agama mereka untuk tetap membujang. Namun, ramai orang berasa bahawa amalan itu ialah punca kepada skandal-skandal seks yang membabitkan banyak pemimpin agama.

Maka persoalannya ialah: Adakah Alkitab mewajibkan penginjil Kristian untuk tetap membujang? Mari kita lihat asal usul amalan ini, perkembangannya, dan pandangan Tuhan tentangnya.

ASAL USULNYA

Menurut Encyclopædia Britannica, orang yang mengangkat sumpah untuk tetap membujang biasanya merupakan pemimpin atau penganut agama. Mereka bersumpah untuk menjauhi hubungan seks dan tidak berkahwin. Pada tahun 2006, semasa berucap kepada Kuria Roma, Paus Benedict XVI mengaitkan kewajipan untuk tetap membujang dengan “tradisi yang bermula tidak lama selepas zaman Rasul-Rasul.”

Namun, orang Kristian abad pertama tidak mengikut amalan ini. Rasul Paulus, yang juga hidup pada abad pertama, pernah memberikan amaran kepada orang Kristian agar tidak ditipu oleh orang yang membuat “pernyataan yang menyesatkan” dan “melarang orang berkahwin.”1 Timotius 4:1-3.

Sebenarnya, kewajipan untuk tetap membujang mula diperkenalkan dalam gereja-gereja Kristian pada abad kedua, yang kemudiannya membentuk Gereja Katolik. Menurut buku Celibacy and Religious Traditions, itulah masanya konsep mengekang hawa nafsu seks mula menjadi popular dalam Empayar Roma.

 Selama abad-abad berikutnya, majlis gereja dan Bapa-Bapa Gereja menggalakkan golongan pemimpin agama untuk membujang, kerana bagi mereka, hubungan seks itu menajiskan dan tidak sesuai bagi orang yang menjalankan tugas agama. Namun begitu, Encyclopædia Britannica menyatakan bahawa “sehingga abad ke-10, ramai paderi dan bahkan sebilangan uskup mempunyai isteri.”

Semasa Majlis Lateran tahun 1123 dan 1139 yang diadakan di Roma, peraturan bahawa golongan pemimpin gereja harus tetap bujang telah dikuatkuasakan. Sampai hari ini, peraturan itu menjadi pegangan Gereja Katolik. Peraturan itu melindungi kuasa dan sumber pendapatan gereja, kerana paderi tidak akan berkahwin dan mewariskan harta gereja kepada anak-anak mereka.

PANDANGAN TUHAN TENTANG AMALAN INI

Pandangan Tuhan jelas dinyatakan dalam Firman-Nya, Bible. Yesus pernah menyebut tentang orang seperti dia, yang membujang “demi Kerajaan di syurga.” (Matius 19:12) Rasul Paulus juga menulis tentang sesetengah orang Kristian yang memilih untuk hidup bujang seperti dia “demi berita baik.”1 Korintus 7:37, 38; 9:23.

Namun Yesus dan Paulus tidak mengatakan bahawa penginjil Kristian mesti membujang. Yesus mengatakan bahawa bukan semua pengikutnya yang dapat “menerima kurniaan” berupa hidup bujang. Walaupun Paulus menggalakkan orang untuk membujang, dia mengakui, “Aku tidak menerima perintah daripada Tuan kita. Tetapi . . . aku memberikan pendapatku.”Matius 19:11; 1 Korintus 7:25.

Selain itu, Bible menyatakan bahawa ramai penginjil Kristian pada abad pertama, termasuk Rasul Petrus, mempunyai isteri. (Matius 8:14; Markus 1:29-31; 1 Korintus 9:5) Oleh sebab perbuatan seks yang tidak bermoral sangat berleluasa dalam Empayar Roma pada masa itu, Paulus menyatakan bahawa penyelia Kristian yang sudah berkahwin harus “mempunyai seorang isteri sahaja” dan “mempunyai anak-anak yang taat.”1 Timotius 3:2, 4.

Adakah orang Kristian pada masa itu berkahwin tetapi tidak mengadakan hubungan intim dengan pasangan mereka? Tidak. Bible menyatakan bahawa “suami [harus] memenuhi kewajipannya kepada isterinya,” dan suami isteri tidak harus ‘mengabaikan kewajipan itu.’ (1 Korintus 7:3-5) Jelaslah bahawa Tuhan tidak mewajibkan penginjil Kristian untuk tetap membujang, dan Dia tidak melarang hubungan intim antara suami isteri.

DEMI BERITA BAIK KERAJAAN TUHAN

Jika hidup membujang tidak diwajibkan, mengapakah Yesus dan Paulus mengatakan bahawa membujang itu sesuatu yang baik? Orang yang bujang bebas daripada kekhuatiran yang dialami oleh orang yang sudah berkahwin, maka mereka dapat menggunakan lebih banyak masa dan tenaga untuk kerja Tuhan.1 Korintus 7:32-35.

Fikirkan contoh David yang bekerja di Bandar Raya Mexico. Meskipun gajinya tinggi, dia meletakkan jawatan dan berpindah ke kawasan kampung di Costa Rica untuk mengajar orang tentang Alkitab. Adakah David berasa bahawa hidup membujang telah memudahkan usahanya? Dia berkata, “Sudah pasti. Oleh sebab saya hanya perlu jaga diri sendiri, lebih mudah untuk menyesuaikan diri dengan budaya dan tempat tinggal yang baharu.”

Claudia ialah seorang saudari Kristian bujang yang berpindah ke tempat yang memerlukan lebih banyak penginjil. Dia berkata, “Saya sangat menikmati kerja Tuhan. Apabila saya lihat bagaimana Tuhan menjaga saya, iman dan hubungan saya dengan-Nya bertambah kuat.”

“Sama ada kahwin atau bujang, kamu akan bahagia jika kamu memberikan yang terbaik kepada Tuhan Yehuwa.”Claudia

Hidup membujang tidak semestinya menyusahkan. Claudia menambah, “Sama ada kahwin atau bujang, kamu akan bahagia jika kamu memberikan yang terbaik kepada Tuhan Yehuwa.”Mazmur 119:1, 2.