Apakah yang membuat sesebuah hadiah sangat bernilai? Biasanya ada empat faktor: (1) siapa yang memberikannya, (2) sebab dia memberikannya, (3) pengorbanan yang diperlukan untuk memberikan hadiah itu, dan (4) keperluan yang dipenuhi melalui hadiah itu. Dengan merenungkan faktor-faktor itu, kita akan lebih menghargai tebusan, iaitu kurniaan Tuhan yang terunggul.

SIAPAKAH PEMBERINYA?

Sesetengah hadiah sangat bernilai kerana diberikan oleh orang yang berpangkat atau orang yang kita sanjung. Ada hadiah yang tidak mahal tetapi amat dihargai kerana diberikan oleh ahli keluarga atau sahabat yang tersayang, seperti hadiah Russell kepada Jordan, yang disebut dalam rencana sebelumnya. Bagaimana pula dengan tebusan?

Pertama, Alkitab menyatakan bahawa “Tuhan telah mengutus Anak tunggal-Nya ke dunia supaya melaluinya kita memperoleh kehidupan.” (1 Yohanes 4:9) Yehuwa * ialah Tuhan “Yang Maha Tinggi di seluruh bumi.” (Mazmur 83:19) Memandangkan Dia mempunyai kedudukan tertinggi di alam semesta, kurniaan daripada-Nya pasti sangat berharga.

Kedua, Tuhan ialah ‘Bapa kita.’ (Yesaya 63:16) Dialah yang memberi kita nyawa, dan Dia sentiasa menjaga kita sebagaimana seorang bapa yang penyayang menjaga anak-anaknya. Tuhan berfirman kepada umat-Nya, “Hai Israel, engkau anak kesayangan-Ku, anak tercinta, buah hati-Ku. . . . Aku mengingat engkau dengan rindu. Aku mengasihimu; Aku akan berbelas kasihan.” (Yeremia 31:20) Tuhan mempunyai perasaan yang sama terhadap para penyembah-Nya hari ini. Dia bukan sahaja Pencipta kita yang maha kuasa, tetapi juga Bapa dan Sahabat kita yang setia. Jika begitu, tidakkah kita harus menunjukkan penghargaan yang mendalam atas segala kurniaan-Nya?

 SEBAB TEBUSAN DIBERIKAN

Sesetengah hadiah bernilai bagi kita kerana pemberinya ikhlas, benar-benar mengasihi kita, dan tidak mengharapkan apa-apa balasan.

Tuhan mengorbankan Anak-Nya demi kita kerana Dia mengasihi kita. “Inilah caranya kasih Tuhan menjadi nyata dalam diri kita: Tuhan telah mengutus Anak tunggal-Nya ke dunia supaya melaluinya kita memperoleh kehidupan.” (1 Yohanes 4:9) Adakah Tuhan wajib membantu manusia yang berdosa? Tidak! Tebusan Yesus merupakan ‘kebaikan hati Tuhan yang unggul.’Roma 3:24.

Mengapakah tebusan merupakan ‘kebaikan hati Tuhan yang unggul’? Bible menjelaskan, “Beginilah caranya Tuhan menunjukkan kasih-Nya kepada kita: Kristus telah mati untuk kita semasa kita masih berdosa.” (Roma 5:8) Kasih telah mendorong Tuhan untuk menyediakan tebusan. Kita tidak layak menerima kurniaan itu, dan kita tidak mungkin dapat membalasnya. Tebusan merupakan bukti yang paling kukuh bahawa Tuhan sangat mengasihi kita.

APAKAH YANG DIKORBANKAN?

Sesetengah hadiah sangat bernilai kerana pemberinya telah membuat pengorbanan yang besar. Apabila seseorang sanggup mengorbankan sesuatu yang bernilai baginya demi kita, kita sangat menghargai hadiahnya.

Tuhan telah “memberikan Anak tunggal-Nya.” (Yohanes 3:16) Itulah Anak yang paling disayangi-Nya, yang paling erat dengan-Nya, dan yang paling dekat di hati-Nya. Untuk berjuta-juta tahun, semasa Tuhan menciptakan alam semesta, Yesus bekerja bersama-sama-Nya dan menjadi “sumber kebahagiaan-Nya.” (Amsal 8:30) Yesus juga merupakan “Anak-Nya yang dikasihi” dan “gambaran kepada Tuhan yang tidak kelihatan.”Kolose 1:13-15.

Walaupun begitu, “Tuhan tidak menghalang Anak-Nya daripada mengalami penderitaan.” (Roma 8:32) Sesungguhnya, Yehuwa telah memberi kita yang terbaik. Itulah pengorbanan yang terbesar bagi-Nya.

KURNIAAN INI AMAT DIPERLUKAN

Sesetengah hadiah amat berharga kerana kita sangat memerlukannya. Bayangkan anda sakit tenat dan tidak mampu menampung kos perubatan, tetapi ada orang yang membayarnya untuk anda. Tidakkah anda setuju bahawa bantuannya ialah hadiah yang tidak ternilai?

“Sebagaimana semua orang mati kerana Adam, begitu juga semua orang akan dihidupkan kerana Kristus.” (1 Korintus 15:22) Alkitab juga menyatakan, ‘Tidak seorang pun dapat menebus dirinya; dia tidak dapat membayar harga tebusannya kepada Tuhan, . . . apa yang dapat dibayarnya tidak sekali-kali cukup.’ (Mazmur 49:8, 9) Sebagai keturunan Adam, kita semua tidak dapat melepaskan diri daripada cengkaman maut. Kita tidak berdaya untuk menebus dosa sendiri dan berbaik semula dengan Tuhan.

Oleh sebab Yehuwa sangat mengasihi kita, Dia rela membayar “kos perubatan” supaya kita semua “dihidupkan kerana Kristus.” Bagaimanakah tebusan ‘menghidupkan kita’? “Darah Anak-Nya, iaitu Yesus, membersihkan kita daripada semua dosa.” Jika kita beriman kepada korban tebusan Yesus, kita dapat diampuni dan hidup selama-lamanya.  (1 Yohanes 1:7; 5:13) Bagaimanakah tebusan akan membantu orang yang sudah meninggal? “Sebagaimana kematian datang melalui satu orang, begitu juga orang mati dibangkitkan melalui satu orang [Yesus].”1 Korintus 15:21. *

Sesungguhnya, korban Yesus ialah kurniaan yang paling unggul. Tebusan diberikan oleh Tuhan Yang Maha Tinggi dan merupakan bukti akan kasih Tuhan yang paling mendalam serta melibatkan pengorbanan yang terbesar. Kurniaan itu juga memenuhi keperluan yang terbesar kerana membebaskan kita daripada dosa dan maut. Ya, tebusan ialah anugerah yang tertinggi dan merupakan kurniaan yang tiada tandingnya!

 

^ per. 6 Yehuwa ialah nama Tuhan seperti yang tercatat di dalam Bible. Lihat nota kaki di Kejadian 2:4.

^ per. 19 Untuk maklumat lanjut tentang pembangkitan orang mati, sila lihat bab 7 dalam buku Apakah Sebenarnya Ajaran Bible? yang diterbitkan oleh Saksi-Saksi Yehuwa dan boleh didapati di www.jw.org/ms.