Blessing * menyangka bahawa dia akan menjadi pendandan rambut di Eropah. Itulah yang dijanjikan kepadanya dahulu. Tetapi setibanya di sana, dia disuruh menjadi pelacur. Setelah dipukul selama 10 hari dan diberitahu bahawa keluarganya akan dicederakan, dia terpaksa akur.

Hamba-hamba pada zaman Mesir kuno

Blessing mempunyai hutang sebanyak 40,000 euro. Maka dia perlu mencari pendapatan sebanyak 200 hingga 300 euro setiap malam * untuk dibayar kepada ibu ayam. “Saya sering berfikir untuk melarikan diri,” kata Blessing, “tetapi saya terperangkap kerana takut mereka mengapa-apakan keluarga saya.” Kisah Blessing bukan sesuatu yang baharu. Terdapat kira-kira empat juta orang di serata dunia yang diperhambakan oleh industri seks.

Kira-kira 4,000 tahun dahulu, seorang remaja yang bernama Yusuf dijual oleh abang-abangnya sebagai hamba. Dia kemudiannya menjadi orang suruhan dalam sebuah keluarga Mesir yang kaya. Mula-mulanya, Yusuf dilayan dengan baik. Tetapi apabila dia menolak godaan daripada isteri tuannya, dia dituduh cuba merogol. Walaupun Yusuf tidak bersalah, dia dirantai dan dipenjarakan.Kejadian 39:1-20; Mazmur 105:17, 18.

Yusuf merupakan hamba yang hidup pada masa kuno, manakala Blessing ialah hamba pada abad ke-21. Mereka berdua ialah mangsa kepada pemerdagangan manusia yang menjual beli orang semata-mata demi keuntungan.

MASALAH PERHAMBAAN MENJADI SEMAKIN PARAH

Peperangan merupakan jalan yang paling mudah untuk mendapat hamba. Menurut laporan, Firaun Thutmose III telah membawa pulang 90,000 orang  tawanan setelah berperang di Kanaan. Mereka dijadikan hamba dan dipaksa melombong, membina kuil, dan menggali terusan di Mesir.

Pada zaman Empayar Roma, banyak tawanan perang dijadikan hamba, dan permintaan untuk hamba ada kalanya menyebabkan peperangan tercetus. Menurut anggaran, menjelang abad pertama, hampir separuh daripada jumlah penduduk di kota Rom ialah hamba. Ramai hamba di Mesir dan Roma ditindas dengan kejam. Jangka hayat hamba-hamba yang bekerja di lombong Roma hanyalah sekitar 30 tahun.

Perdagangan hamba menjadi perniagaan yang paling menguntungkan antara abad ke-16 hingga abad ke-19. Menurut laporan UNESCO, antara 25 juta hingga 30 juta orang lelaki, perempuan, dan kanak-kanak, telah diculik di Afrika dan dijual ke Amerika. Beratus-ratus ribu orang telah mati semasa menyeberangi Lautan Atlantik. Olaudah Equiano, seorang hamba yang terselamat, berkata, “Jeritan wanita dan erangan orang yang hampir mati membuat keadaannya menjadi pengalaman ngeri yang sukar digambarkan.”

Walaupun perhambaan sudah diharamkan, rantai perhambaan masih belum putus. Menurut Pertubuhan Buruh Antarabangsa, kira-kira 21 juta orang lelaki, wanita, dan kanak-kanak, masih bekerja sebagai hamba, dan jumlah ini semakin meningkat. Mereka bekerja tanpa upah atau dengan upah yang sikit di lombong, kilang peras tenaga, kilang batu bata, rumah pelacur, atau rumah persendirian.

Jutaan orang masih diperhambakan

DIBEBASKAN DARIPADA PERHAMBAAN

Penindasan yang teruk telah menyebabkan banyak hamba menuntut kebebasan. Pada abad pertama SM, seorang pejuang yang bernama Spartacus dan kira-kira 100,000 orang hamba bangkit menentang Roma tetapi tidak berjaya. Pada abad ke-18, hamba-hamba yang bekerja di ladang tebu di Hispaniola telah bangkit dan menentang tuan mereka kerana mereka dilayan dengan teruk sekali. Itulah permulaan kepada perang saudara yang berlanjutan selama 13 tahun sehingga Haiti mencapai kemerdekaan pada tahun 1804.

Namun, pembebasan hamba yang paling besar dalam sejarah berlaku semasa seluruh bangsa Israel, yang berjumlah kira-kira tiga juta orang, keluar dari Mesir. Mereka memang patut dibebaskan, kerana semasa di Mesir, mereka “dipaksa bekerja keras di projek-projek pembinaan dan di ladang-ladang” dan  diperlakukan “tanpa belas kasihan.” (Keluaran 1:11-14) Seorang Firaun bahkan mengarahkan agar bayi orang Israel dibunuh supaya bilangan mereka tidak menjadi terlalu banyak.Keluaran 1:8-22.

Pembebasan orang Israel dari Mesir sangat unik kerana Tuhan yang menyelamatkan mereka. Tuhan memberitahu Musa, ‘Aku tahu akan segala penderitaan mereka. Oleh itu, Aku akan membebaskan mereka.’ (Keluaran 3:7, 8) Hari ini, orang Yahudi di merata tempat menyambut Paska setiap tahun untuk mengenang peristiwa itu.Keluaran 12:14.

PERHAMBAAN AKAN MENJADI KISAH SILAM

Tuhan Yehuwa ‘membenci ketidakadilan’ dan Dia tidak berubah. (Zakharia 8:17; Maleakhi 3:6) Tuhan telah mengutus Yesus untuk ‘mengumumkan kepada orang yang ditawan bahawa mereka akan dibebaskan dan untuk membebaskan orang yang tertindas.’ (Lukas 4:18) Apakah pembebasan yang dimaksudkan? Pembebasan daripada dosa dan kematian. Yesus pernah berkata, “Kebenaran itu akan membebaskan kamu.” (Yohanes 8:32) Kebenaran yang diajarkan Yesus membebaskan orang dalam banyak cara sehingga hari ini.—Lihat kotak “ Tidak Lagi Menjadi Hamba Dadah.”

Tuhan telah membebaskan Yusuf dan Blessing daripada perhambaan. Anda dapat membaca kisah Yusuf yang menyentuh hati dalam buku Kejadian bab 39 hingga 41. Bagaimana pula dengan kisah Blessing?

Setelah diusir dari sebuah negara Eropah, Blessing pergi ke Sepanyol. Di situ, dia berjumpa dengan Saksi-Saksi Yehuwa dan mula belajar Bible. Blessing ingin kembali ke pangkal jalan, maka dia mencari pekerjaan yang halal dan meminta bekas ibu ayamnya untuk mengurangkan kadar bayaran ansuran. Suatu hari, ibu ayam itu menelefon Blessing untuk meminta maaf dan memberitahu Blessing bahawa hutangnya sudah dibatalkan. Rupa-rupanya, dia pun belajar Bible dengan Saksi-Saksi Yehuwa! Blessing berkata, “Kebenaran membawa pembebasan yang tidak disangka!”

Tuhan Yehuwa berasa sedih apabila orang Israel ditindas di Mesir. Dia juga berasa sedemikian terhadap perhambaan yang wujud hari ini. Walaupun perubahan yang besar diperlukan untuk membasmi segala perhambaan, hal itu pasti berlaku! “Kita menantikan apa yang sudah dijanjikan Tuhan, iaitu langit baru dan bumi baru. Di situ perkara-perkara yang baik akan berkekalan.”2 Petrus 3:13.

^ per. 2 Nama-nama dalam rencana ini telah diubah.

^ per. 3 Maksudnya, Blessing perlu mendapatkan wang sebanyak RM800 hingga RM1200 setiap malam untuk membayar hutangnya yang berjumlah RM160,000.