Mengapakah Yusuf bercukur sebelum menghadap Firaun?

Lukisan dinding di Mesir menunjukkan seorang tukang gunting bekerja

Dalam catatan buku Kejadian, Firaun memerintahkan agar banduan Ibrani, iaitu Yusuf, segera dibawa menghadapnya untuk menjelaskan mimpinya. Pada masa itu, Yusuf telah dipenjarakan selama beberapa tahun. Walaupun Firaun ingin Yusuf segera menghadapnya, Yusuf mengambil masa untuk bercukur. (Kejadian 39:20-23; 41:1, 14) Penulis yang mencatatkan perincian yang kurang penting ini nampaknya biasa dengan budaya Mesir.

Menyimpan janggut merupakan perkara biasa bagi kebanyakan bangsa kuno, termasuk orang Ibrani. Namun, “orang Mesir masa kuno merupakan satu-satunya bangsa di Timur yang tidak menyimpan janggut.” (Cyclopedia of Biblical, Theological, and Ecclesiastical Literature oleh McClintock dan Strong.)

Adakah mereka hanya mencukur janggut? Majalah Biblical Archaeology Review menyatakan bahawa sesetengah upacara Mesir menghendaki agar orang membuat persediaan sebelum menghadap Firaun, seperti sebelum dia masuk sebuah kuil. Oleh itu, Yusuf mungkin mencukur semua rambut dan bulu di badannya.

Catatan dalam buku Kisah berkata bahawa bapa Timotius merupakan orang Yunani. Adakah dia berasal dari Yunani?

Tidak semestinya. Dalam tulisan rasul Paulus, dia membandingkan orang Yahudi dengan orang Yunani. Ungkapan “orang Yunani” seolah-olah merujuk kepada semua orang bukan Yahudi. (Roma 1:16; 10:12) Salah satu sebab Paulus berbuat demikian adalah kerana budaya dan bahasa Yunani tersebar luas di kawasan penyebaran Paulus.

Siapakah yang dianggap orang Yunani? Pada abad keempat SM, seorang ahli pidato dari Atena, iaitu Isocrates, dengan bangganya berkata bahawa budaya Yunani sedang tersebar luas. Dia berkata, “Mereka yang digelar orang Yunani tidak semestinya dilahirkan sebagai orang Yunani, tetapi mereka menerima pendidikan Yunani.” Maka, kemungkinan bapa Timotius dan orang lain yang disebut oleh Paulus sebagai orang Yunani, merupakan orang yang mengikut budaya Yunani bukannya lahir sebagai orang Yunani.​—Kisah 16:1.