Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

 BIBLE MENGUBAH HIDUP

Saya Sangka Saya Sedang Menikmati Kehidupan

Saya Sangka Saya Sedang Menikmati Kehidupan
  • TAHUN LAHIR: 1982

  • NEGARA ASAL: POLAND

  • LATAR BELAKANG: TERLIBAT DENGAN KEGANASAN DAN DADAH, SERTA MENGEJAR KERJAYA YANG LUMAYAN

MASA LALU SAYA:

Saya dilahirkan di Poland, tidak jauh dari sempadan Jerman. Di sekeliling terdapat ladang serta hutan, dan saya menikmati kehidupan yang aman. Ibu bapa saya yang penyayang menggalakkan saya untuk menjadi orang yang baik, rajin belajar di sekolah, dan mengejar kerjaya yang lumayan.

Saya menghadapi masalah apabila belajar perundangan di universiti di Wrocław. Saya jauh daripada keluarga dan saya mula mempunyai pergaulan buruk. Saya suka bola sepak dan mula menjadi penyokong yang fanatik apabila bergaul dengan sahabat baru. Pasukan yang saya sokong berasal dari Warsaw. Setiap hujung minggu, saya akan menghadiri perlawanan mereka tidak kira di mana perlawanan itu. Pada masa itu, saya minum alkohol secara berlebihan, menyalahgunakan dadah, dan bergaduh dengan penyokong pihak lawan. Saya fikir saya dapat bebas daripada tekanan dalam kehidupan seharian. Namun saya tahu jika saya ditahan polis, kerjaya saya dalam bidang perundangan akan terjejas.

Saya suka pergi ke kelab malam dan disko bersama sahabat. Di sana, kami sering terlibat dengan pergaduhan. Saya ditangkap oleh polis beberapa kali. Namun saya berjaya terlepas daripada hukuman, ada kalanya dengan memberikan rasuah. Saya fikir saya sedang menikmati kehidupan. Namun jauh di lubuk hati, saya tahu perbuatan saya salah. Jadi untuk menenangkan hati nurani, saya menghadiri gereja setiap hari Ahad.

BAGAIMANA BIBLE MENGUBAH HIDUP SAYA:

Pada tahun 2004, Saksi-Saksi Yehuwa mengetuk pintu saya. Saya setuju membincangkan Bible bersama mereka. Apabila saya lebih memahami maksud menjadi seorang Kristian sejati, hati nurani saya terganggu. Saya tahu bahawa saya harus berhenti minum alkohol secara berlebihan, menyalahgunakan dadah, bertindak ganas, dan bergaul dengan orang yang tidak mengikut standard Bible. Walau bagaimanapun, saya masih terjerumus ke haluan yang salah.

Pada satu malam, saya bergaduh dengan lapan orang lelaki. Mereka menumbuk dan menendang kepala saya. Saya terlantar di jalan dan hampir mati. Saya berdoa, “Yehuwa, saya minta maaf kerana tidak mengendahkan Firman-Mu. Jika saya selamat, saya  berjanji akan mempelajari Bible dengan Saksi dan mengubah hidup saya.” Akhirnya saya selamat dan saya menunaikan janji itu. Itulah titik perubahan dalam kehidupan saya.

Pada tahun 2006, saya berpindah ke England untuk mendapatkan wang supaya dapat melanjutkan pengajian perundangan di Poland. Namun, satu ayat Bible telah menyentuh hati saya. Paulus menulis, “Aku juga menganggap bahawa semua hal merugikan, kerana pengetahuan tentang Tuanku, iaitu Kristus Yesus, jauh lebih bernilai. Deminya, aku sanggup meninggalkan segala-galanya dan menganggap semua itu sebagai sampah sahaja, supaya aku dapat memperoleh Kristus.” (Filipi 3:8) Seperti saya, Paulus telah menerima pendidikan dalam bidang perundangan dan dia seorang yang ganas. (Kisah 8:3) Namun, dia menikmati kehidupan yang lebih baik, iaitu dengan menyembah Tuhan dan meniru Yesus. Maka, saya sedar bahawa kerjaya saya dan kelakuan ganas tidak menjamin kebahagiaan. Saya yakin bahawa saya dapat berubah seperti Paulus. Jadi, saya menetap di England dan melupakan keinginan untuk melanjutkan pengajian.

Semakin banyak saya belajar tentang Yehuwa, saya semakin mendekat kepada-Nya. Saya tersentuh dengan janji-Nya untuk mengampuni orang yang bertaubat. (Kisah 2:38) Dengan merenungkan ayat di 1 Yohanes 4:16 yang berkata, “Tuhan itu kasih,” saya sedar mengapa Tuhan membenci keganasan.

Saya ingin menjadi sebahagian daripada persaudaraan Saksi-Saksi Yehuwa

Saya juga kagum dengan kelakuan para Saksi. Mereka berusaha mengikut standard moral dalam Bible. Saya ingin menjadi sebahagian daripada persaudaraan mereka. Setelah berusaha untuk membuat perubahan dalam kehidupan, saya dibaptis sebagai seorang Saksi-Saksi Yehuwa pada tahun 2008.

Saya dan Esther bersukacita kerana mengajar Bible kepada orang yang berbahasa Poland

MANFAAT YANG SAYA TERIMA:

Dahulu saya bercita-cita tinggi, ganas, menyalahgunakan dadah, pemabuk, dan penyokong bola sepak yang fanatik. Sekarang, saya seorang hamba Tuhan yang gemar mengajar Bible kepada orang. Saya masih suka menonton bola sepak, tetapi saya menikmati hiburan itu dengan sederhana.

Saya mengahwini seorang saudari yang bernama Esther. Kami bersukacita kerana dapat mengajar Bible kepada orang yang berbahasa Poland di barat laut England. Kini, saya benar-benar puas hati. Saya mempunyai hati nurani yang bersih dan menikmati kehidupan saya.