Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Kebenaran tentang Tuhan dan Kristus

Kebenaran tentang Tuhan dan Kristus

Manusia sembah banyak tuhan, tetapi hanya ada satu Tuhan yang benar. (Yohanes 17:3) Dialah “Tuhan Yang Maha Agung,” Pencipta segala-galanya, dan Sumber semua kehidupan. Dia sahajalah yang layak disembah.​—Daniel 7:18; Wahyu 4:11.

Siapakah Tuhan?

Dalam bahasa asal, nama Tuhan muncul KIRA-KIRA 7,000 KALI

YEHUWA ialah nama Tuhan

TUAN, TUHAN, BAPA​—Beberapa gelaran Yehuwa

Siapakah Nama Tuhan? Tuhan sendiri berkata, “Aku ialah Yehuwa, itulah nama-Ku.” (Yesaya 42:8) Nama Tuhan muncul kira-kira 7,000 kali dalam Bible. Tetapi dalam banyak terjemahan Bible, nama itu telah digantikan dengan gelaran seperti “Tuhan.” Yehuwa ingin anda menjadi sahabat-Nya, maka Dia menggalakkan anda untuk “menyeru nama-Nya.”​—Mazmur 105:1.

Gelaran-Gelaran Yehuwa. Dalam Bible, Yehuwa mempunyai gelaran seperti “Tuhan,” “Yang Maha Kuasa,” “Pencipta,” “Bapa,” “Tuan,” dan “Tuhan Yang Berdaulat.” Banyak doa yang tercatat dalam Bible mengandungi gelaran Tuhan dan nama peribadi-Nya, iaitu Yehuwa.​—Daniel 9:4.

 Tubuh Tuhan. Tuhan ialah roh yang tidak dapat dilihat. (Yohanes 4:24) Bible menyatakan bahawa “tiada seorang pun yang pernah melihat Tuhan.” (Yohanes 1:18) Bible juga menjelaskan bahawa Tuhan mempunyai perasaan. Manusia dapat membuat-Nya berasa sedih atau gembira.​—Mazmur 78:40, 41; Amsal 11:20.

Sifat-Sifat Tuhan. Tuhan melayan orang daripada pelbagai bangsa dan latar belakang dengan sama rata. (Kisah 10:34, 35) Dia ‘penuh rahmat dan belas kasihan, tidak cepat murka, berpegang pada kebenaran dan menunjukkan kasih setia yang melimpah.’ (Keluaran 34:6, 7) Tuhan juga mempunyai empat sifat utama.

Kuasa. Sebagai “Tuhan Yang Maha Kuasa,” Dia mempunyai kuasa yang tidak terhad. Maka Dia mampu menunaikan semua janji-Nya.​—Kejadian 17:1.

Kebijaksanaan. Tuhan jauh lebih bijaksana daripada sesiapa pun. Oleh itu, Bible menyatakan bahawa Dia ialah “satu-satunya Tuhan yang bijaksana.”​—Roma 16:27.

Keadilan. Tuhan sentiasa melakukan apa yang benar. Segala perbuatan-Nya “sempurna,” dan Dia “tidak berat sebelah.”​—Ulangan 32:4.

Kasih. Bible menyatakan, “Tuhan itu kasih.” (1 Yohanes 4:8) Kasih agung Tuhan dinyatakan dalam setiap perbuatan-Nya, dan kita bersyukur kerana dapat merasai kasih-Nya dalam pelbagai cara.

Hubungan Tuhan dengan Manusia. Tuhan ialah Bapa kita di syurga yang penyayang. (Matius 6:9) Jika kita beriman kepada-Nya, kita dapat menjadi sahabat-Nya. (Mazmur 25:14) Tuhan menjemput kita untuk menghampiri-Nya melalui doa dan ‘melemparkan segala kekhuatiran kita kepada-Nya, kerana Dia mengambil berat tentang kita.’​—1 Petrus 5:7; Yakobus 4:8.

Apakah Perbezaan antara Tuhan dengan Kristus?

Yesus Bukan Tuhan. Yesus sangat istimewa kerana Tuhan sendiri yang menciptakannya. Oleh itu, Bible memanggil Yesus Anak Tuhan. (Yohanes 20:31) Selepas menciptakan Yesus, Yehuwa menggunakan anak sulung-Nya itu sebagai “jurubina” untuk menciptakan segala sesuatu yang lain.​—Amsal 8:30, 31; Kolose 1:15, 16.

 Yesus Kristus tidak pernah berkata bahawa dia ialah Tuhan. Sebaliknya, Yesus menjelaskan, “Aku ialah wakil [Tuhan], dan Dialah yang mengutus aku.” (Yohanes 7:29) Semasa bercakap kepada salah seorang muridnya, Yesus berkata bahawa Yehuwa ialah “Bapaku yang juga Bapa kamu” dan “Tuhanku yang juga Tuhan kamu.” (Yohanes 20:17) Selepas Yesus mati, Yehuwa membangkitkannya ke syurga. Kini, Yesus berada di sebelah kanan Tuhan dan diberi kuasa yang besar.​—Matius 28:18; Kisah 2:32, 33.

Yesus Kristus Dapat Membantu Anda Menghampiri Tuhan

Yesus datang ke bumi untuk mengajar kita tentang Bapanya. Mengenai Yesus, Yehuwa berfirman, “Inilah Anak-Ku yang Aku kasihi. Dengarkanlah dia.” (Markus 9:7) Yesus paling mengenali Tuhan, maka dia dapat berkata, “Tiada orang yang mengenal Bapa kecuali Anak. Orang hanya dapat mengenal Bapa jika Anak rela mengajar mereka tentang Bapa.”​—Lukas 10:22.

Yesus mencerminkan sifat Tuhan dengan sempurna. Yesus meniru sifat-sifat Bapanya dengan begitu baik, sehingga dia dapat berkata, “Sesiapa yang sudah melihat aku sudah melihat Bapa juga.” (Yohanes 14:9) Yesus memimpin orang kepada Tuhan dengan mencerminkan kasih Bapanya melalui kata-kata dan tindakan sendiri. Dia berkata, “Akulah jalan dan kebenaran dan kehidupan. Tiada seorang pun yang dapat datang kepada Bapa kecuali melalui aku.” (Yohanes 14:6) Dia juga berkata, “Penyembah sejati akan menyembah Bapa dengan bimbingan kuasa suci-Nya dan kebenaran. Sebenarnya, Bapa sedang mencari orang sedemikian untuk menyembah-Nya.” (Yohanes 4:23) Ya, Yehuwa sedang mencari orang seperti anda, yang ingin mengenali kebenaran tentang-Nya!