Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Siapakah Nama Tuhan?

Siapakah Nama Tuhan?

Semasa berkenalan dengan seseorang, biasanya kita akan bertanya tentang namanya dahulu. Jika anda bertanya kepada Tuhan, “Siapakah nama-Mu?” bagaimanakah Dia akan menjawab?

“Aku ialah Yehuwa, itulah nama-Ku.”​Yesaya 42:8.

Pernahkah anda mendengar nama itu? Mungkin tidak, kerana ramai penterjemah Bible jarang atau langsung tidak menggunakan nama Tuhan. Nama itu, yang biasanya digantikan dengan gelaran “TUHAN,” sebenarnya muncul sekitar 7,000 kali dalam teks Bible yang asal. Nama itu mempunyai empat huruf bahasa Ibrani YHWH atau JHVH, dan disebut sebagai “Yehuwa” dalam bahasa Melayu.

Nama Tuhan sering muncul dalam teks bahasa Ibrani dan terdapat dalam banyak terjemahan

Mazmur, Gulungan Laut Mati Abad pertama M, BAHASA IBRANI

Terjemahan Tyndale 1530, BAHASA INGGERIS

Versi Reina-Valera 1602, BAHASA SEPANYOL

Union Version 1919, BAHASA CINA

SEBABNYA NAMA TUHAN PENTING

Tuhan mementingkan nama-Nya. Tuhanlah yang memilih nama itu untuk diri-Nya. Yehuwa berfirman, “Itulah nama-Ku untuk selama-lamanya. Dengan nama inilah Aku harus diingati dari generasi ke generasi.” (Keluaran 3:15) Nama Tuhan muncul jauh lebih banyak kali dalam Bible daripada gelaran-Nya seperti Yang Maha Kuasa, Bapa, Tuhan, Raja, atau nama individu lain seperti Abraham, Salomo, atau Yesus. Tambahan lagi, Yehuwa mengehendaki orang mengenali nama-Nya. Bible menyatakan, “Hendaklah orang tahu bahawa Engkau, yang bernama Yehuwa, ialah satu-satunya Tuhan Yang Maha Tinggi di seluruh bumi.”​—Mazmur 83:18.

Yesus mementingkan nama itu. Dalam Doa Bapa Kami, Yesus mengajar para pengikutnya untuk memohon, “Semoga nama-Mu disucikan.” (Matius 6:9) Yesus sendiri juga berdoa, “Ya Bapa, muliakanlah nama-Mu.” (Yohanes 12:28) Yesus berusaha memuliakan nama Tuhan, maka dia dapat memberitahu Tuhan, “Aku sudah membuat nama-Mu nyata kepada mereka dan aku akan terus berbuat demikian.”​—Yohanes 17:26.

Orang yang mengenali Tuhan mementingkan nama itu. Umat Tuhan zaman dahulu sedar bahawa perlindungan dan penyelamatan mereka berkait rapat dengan nama Tuhan. “Nama Yehuwa bagaikan menara yang kukuh; ke sanalah orang yang baik berlari dan mendapat perlindungan.” (Amsal 18:10) “Semua orang yang menyeru nama Yehuwa akan diselamatkan.” (Yoel 2:32) Bible menyatakan bahawa umat Tuhan akan dikenali kerana menjunjung nama-Nya. “Setiap bangsa akan menyandang  nama tuhan-tuhan mereka, tetapi kita akan menyandang nama Yehuwa, Tuhan kita, buat selama-lamanya.”​—Mikha 4:5; Kisah 15:14.

APAKAH YANG DINYATAKAN MELALUI NAMA-NYA?

Hanya Tuhan yang memiliki nama itu. Ramai cendekiawan berpendapat bahawa nama Yehuwa bermaksud “Dia Menyebabkan Menjadi.” Tuhan Yehuwa menjelaskan maksud nama-Nya semasa Dia memberitahu seorang hamba-Nya, “Aku Akan Menjadi Apa Pun Yang Aku Inginkan.” (Keluaran 3:14) Nama Tuhan bukan sahaja menunjukkan kedudukan-Nya sebagai Pencipta segala sesuatu. Nama itu juga mengungkapkan kebolehan-Nya untuk menyebabkan diri-Nya dan ciptaan-Nya menjadi apa sahaja yang diperlukan agar tujuan-Nya tercapai. Gelaran-gelaran Tuhan menunjukkan kedudukan dan kuasa-Nya, tetapi hanya nama-Nya yang menyatakan segala-gala tentang diri-Nya dan apa yang dapat dilakukan-Nya.

Nama itu menunjukkan keprihatinan Tuhan terhadap kita. Maksud nama Tuhan menunjukkan bahawa Dia sentiasa mengambil berat tentang ciptaan-Nya, termasuk kita. Tuhan telah memberitahu kita nama-Nya, bahkan sebelum kita tahu untuk bertanya tentang nama-Nya. Tidakkah hal itu menunjukkan bahawa Dia ingin kita mengenali-Nya? Ya, Tuhan mahu kita memandang-Nya sebagai Sahabat yang dapat dihampiri, bukan sebagai tuhan yang jauh daripada kita dan susah dikenali.​—Mazmur 73:28.

Orang yang menggunakan nama Tuhan menunjukkan bahawa mereka ingin menghampiri-Nya. Bayangkan anda meminta seseorang untuk memanggil anda dengan nama anda. Apakah perasaan anda jika dia asyik tidak mahu menggunakan nama anda? Lama-kelamaan anda mungkin tertanya-tanya sama ada orang itu ingin menjadi sahabat anda atau tidak. Begitu juga dengan Tuhan. Yehuwa sudah memberitahu manusia nama-Nya, dan Dia menggalakkan kita untuk menggunakan nama itu. Jika kita menggunakan nama Tuhan, kita menunjukkan bahawa kita ingin menghampiri-Nya. Dia bahkan memperhatikan orang yang “merenungkan [atau, “menghargai,” nota kaki] nama-Nya”!​—Maleakhi 3:16.

Mengetahui nama Tuhan ialah langkah pertama untuk mengenali-Nya. Tetapi hal itu tidak cukup. Untuk mengenali Tuhan di sebalik nama itu, kita juga perlu mengetahui sifat-sifat-Nya.

SIAPAKAH NAMA TUHAN? Nama Tuhan ialah Yehuwa. Nama itu unik dan menunjukkan bahawa Dia dapat mencapai tujuan-Nya