Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Ajaran Bible—Tidak Lapuk Ditelan Zaman

Ajaran Bible—Tidak Lapuk Ditelan Zaman

BAYANGKAN: Anda melawat ke muzium yang penuh dengan tugu bersejarah. Banyak antaranya tidak lengkap, berkarat, dan terhakis, tetapi ada satu tugu yang utuh, yang tidak kehilangan sedikit kecantikan pun. Anda bertanya kepada pemandu, “Ini artifak yang paling baharu?” “Tidak,” jawabnya, “Ini yang paling tua, dan tidak pernah dibaiki.” Anda bertanya lagi, “Tugu ini selalu terlindung?” “Tidak,” kata pemandu itu, “Tugu ini pernah dipukul hujan dan ribut angin yang dahsyat, dan banyak orang pernah cuba merosakkannya.” Jadi anda mungkin berfikir, “Tugu ini dibuat daripada apa?”

Bible bagaikan tugu yang utuh itu. Meskipun terdapat buku kuno yang lain, kebanyakannya sudah rosak dengan peredaran masa. Contohnya, banyak tulisan kuno mengenai sains kini terbukti salah, dan banyak petua perubatan kuno kini dianggap berbahaya. Banyak karya purba juga tidak lengkap dan tinggal serpihan atau cebisan kecil.

Bible pula sangat berbeza. Penulisannya bermula kira-kira 3,500 tahun lalu, tetapi kandungannya terpelihara. Bible juga diserang bertubi-tubi—dibakar, diharamkan, dan dipandang remeh—tetapi mesejnya tidak berubah. Pada zaman moden ini, kandungan Bible bukan sahaja tidak usang, malah terbukti mendahului masanya.​—Lihat kotak “Ketinggalan Zaman atau Mendahului Masanya?

PRINSIP UNTUK ZAMAN MODEN

Namun, anda mungkin tertanya-tanya, “Adakah ajaran Bible benar-benar praktikal untuk zaman moden?” Untuk mendapat jawapannya, tanyalah diri, “Apakah masalah-masalah terbesar yang dihadapi manusia sekarang? Apakah masalah yang  paling menakutkan?” Anda mungkin terfikir tentang peperangan, pencemaran, jenayah, atau rasuah. Sambil melihat prinsip Bible yang berikut, tanyalah diri, “Jika orang hidup menurut prinsip ini, bukankah dunia akan menjadi lebih baik?”

MENCINTAI KEDAMAIAN

“Berbahagialah orang yang berusaha mewujudkan kedamaian, kerana mereka akan disebut anak-anak Tuhan.” (Matius 5:9) “Selagi kamu dapat melakukannya, berusahalah sedaya upaya untuk berdamai dengan semua orang.”​—Roma 12:18.

BELAS KASIHAN DAN RELA MENGAMPUNI

“Berbahagialah orang yang berbelas kasihan, kerana mereka akan mendapat belas kasihan.” (Matius 5:7) “Teruslah bersabar terhadap satu sama lain dan saling mengampuni dengan rela hati, biarpun orang lain menyinggung perasaan kamu. Sepertimana Yehuwa * mengampuni kamu dengan rela hati, kamu juga mesti berbuat demikian.”​—Kolose 3:13.

KEHARMONIAN ANTARA KAUM

“Daripada seorang manusia, [Tuhan] menjadikan semua bangsa supaya mereka menduduki seluruh muka bumi.” (Kisah 17:26) “Tuhan tidak berat sebelah. Orang daripada bangsa apa pun yang takut kepada-Nya dan berbuat benar diperkenankan-Nya.”​—Kisah 10:34, 35.

MEMELIHARA BUMI

“Tuhan Yehuwa menempatkan [Adam] di Taman Eden untuk mengusahakan dan menjaga taman itu.” (Kejadian 2:15) Tuhan akan “membinasakan orang yang merosakkan bumi.”—Wahyu 11:18.

MEMBENCI KETAMAKAN DAN PERBUATAN TIDAK BERMORAL

“Berjaga-jagalah dan hindarilah semua bentuk ketamakan. Biarpun seseorang mempunyai banyak harta, harta miliknya tidak memberinya kehidupan.” (Lukas 12:15) “Jangan ada sesiapa pun dalam kalangan kamu yang menyebut tentang perbuatan seks yang tidak bermoral, ketamakan, atau setiap jenis kenajisan. Hal ini demikian kerana semua itu tidak wajar bagi orang yang suci.”​—Efesus 5:3.

JUJUR DAN RAJIN

“Kami ingin melakukan segala sesuatu dengan jujur.” (Ibrani 13:18) “Orang yang mencuri haruslah berhenti mencuri. Dia harus bekerja dengan rajin.”​—Efesus 4:28.

PENTINGNYA MEMBANTU ORANG

“Mengucapkan kata-kata yang melegakan hati kepada orang yang murung, memberikan sokongan kepada orang yang lemah, dan bersabar terhadap semua orang.” (1 Tesalonika 5:14) “Menjaga anak yatim dan balu yang menderita.”​—Yakobus 1:27.

Bible bukan sahaja menyenaraikan prinsip-prinsip itu, malah mengajar kita untuk menghargai dan menggunakannya dalam kehidupan seharian. Tidakkah anda setuju bahawa jika lebih banyak orang hidup menurut ajaran yang disebut tadi, masalah dunia akan berkurang dengan mendadak? Ya, prinsip-prinsip Bible memang berguna, lebih-lebih lagi pada zaman sekarang! Apakah manfaatnya jika anda mengamalkan ajaran Bible?

 AJARAN BIBLE MEMBAWA MANFAAT

Seorang lelaki yang sangat bijak pernah berkata, “Kebijaksanaan dibuktikan benar oleh perbuatan,” atau hasilnya. (Matius 11:19) Tidakkah anda setuju bahawa ajaran yang bijak mesti membawa hasil yang baik? Oleh itu, jika ajaran Bible memang berkesan, orang yang mengikutnya akan menikmati kehidupan yang lebih baik dan dibantu untuk mengatasi masalah. Adakah hal itu benar? Mari kita lihat satu contoh.

Delphine * pernah menjalani kehidupan yang sibuk, bermakna, dan memuaskan. Namun tragedi tiba-tiba menimpanya secara bertubi-tubi. Anak perempuannya yang remaja meninggal, perkahwinannya hancur, dan dia menghadapi masalah kewangan. Dia berkata, “Saya seperti tidak kenal siapa diri saya. Saya tiada anak, tiada suami, tiada rumah. Hidup saya kosong tanpa identiti, tanpa kekuatan, dan tanpa masa depan.”

Ketika itu, Delphine menyedari kebenaran ayat Bible ini: “Usia kami hanya 70 tahun, atau 80 tahun jika kami sangat kuat. Tetapi hidup kami sarat dengan kesusahan dan kesedihan. Hidup kami berlalu dalam sekelip mata, dan kami pun lenyap.”​—Mazmur 90:10.

Namun, nasihat Bible telah banyak membantu Delphine pada waktu kesusahan. Seperti yang  akan ditunjukkan dalam tiga rencana berikutnya, ramai orang yang menggunakan bimbingan Bible untuk mengatasi masalah hidup telah meraih hasil yang menakjubkan. Mereka berasa bahawa Bible adalah seperti tugu istimewa yang digambarkan pada awal rencana ini. Mengapakah Bible berbeza daripada buku-buku lain yang akan menjadi ketinggalan zaman? Mungkinkah kerana kandungannya berasal daripada Tuhan dan bukannya manusia?​—1 Tesalonika 2:13.

Barangkali, anda juga berasa bahawa hidup kita singkat dan susah. Ketika anda dibanjiri masalah, dari manakah anda mendapatkan kelegaan, sokongan, dan nasihat?

Mari kita bincangkan tiga cara nasihat Bible dapat membantu anda. Bible dapat mengajar anda cara untuk

  1. mengelakkan kesusahan.

  2. mengatasi masalah.

  3. bertahan menghadapi situasi yang tidak dapat diubah.

Rencana berikutnya akan membincangkan tiga aspek ini.

^ per. 10 Yehuwa ialah nama Tuhan seperti yang tercatat di dalam Bible.​—Mazmur 83:18.

^ per. 24 Dalam rencana ini dan tiga rencana seterusnya, sesetengah nama telah diubah.