Bible menyatakan bahawa nasihat dalam Firman Tuhan “berguna untuk mengajar, menegur, membetulkan segala sesuatu.” (2 Timotius 3:16) Adakah hal itu benar? Lihatlah bagaimana Firman Tuhan telah membantu orang mengelakkan sesetengah masalah yang besar sebelum terlambat.

PENYALAHGUNAAN ALKOHOL

Delphine, yang disebut dalam rencana sebelum ini, berasa bahawa kekhuatiran membuatnya cenderung meminum alkohol secara berlebihan. Bible tidak mengharamkan alkohol, tetapi menyatakan, “Janganlah tergolong sebagai orang yang minum terlalu banyak wain.” (Amsal 23:20) Penyalahgunaan alkohol memudaratkan kesihatan, merosakkan hubungan, dan mengakibatkan jutaan kematian setiap tahun. Banyak masalah itu dapat dielakkan jika nasihat Bible dituruti.

Delphine telah mengikut bimbingan Bible. Dia berkata, “Saya dapati alkohol tidak menghilangkan kerisauan saya. Saya menerapkan nasihat di Filipi 4:6, 7: ‘Janganlah khuatir akan apa-apa pun, nyatakanlah permohonan kamu kepada Tuhan.’ Setiap malam, ketika fikiran saya tidak tenang dan hati saya terganggu, saya berdoa kepada Yehuwa dan meluahkan semua perasaan saya, termasuk kemarahan, kepedihan, dan rasa putus asa. Saya merayu agar Tuhan bantu saya bersikap positif. Pagi berikutnya, saya memastikan agar semua perasaan negatif itu sudah lenyap. Tabiat sebegini bantu saya bertumpu kepada apa yang saya miliki dan bukannya kepada apa yang tidak saya miliki. Saya memilih untuk tidak minum alkohol lagi. Kedamaian yang saya miliki sangat berharga, dan saya tidak sanggup kehilangannya.”

 PERBUATAN SEKS YANG TIDAK BERMORAL

Itulah salah satu perbuatan yang paling menghancurkan hati. Namun prinsip Bible dapat mencegah masalah itu dari akar umbinya. Fikirkan dua tabiat yang menghala kepada perbuatan itu: Bermain cinta dan menonton bahan lucah. “Sangat mudah untuk bermain cinta,” kata seorang pemuda yang bernama Samuel. “Saya tidak tertarik kepada gadis itu, tetapi apabila saya tahu dia suka saya, seronok juga menguratnya.” Samuel begitu kerap dituduh bermain cinta, bahkan ketika dia tidak berniat melakukannya, sehingga akhirnya dia memutuskan untuk sengaja bermain cinta. Tetapi tabiat itu membuatnya tidak senang hati. “Hal itu berbahaya kerana membuat saya sangat pentingkan diri,” katanya.

Samuel kemudian membaca sebuah rencana untuk kaum muda dari laman web jw.org. Dia juga berfikir tentang Amsal 20:11 yang menyatakan, “Kelakuan seorang anak menunjukkan sama ada dia murni atau tidak. Ya, perbuatannya membuktikan sama ada dia tulus atau tidak.” Ayat itu menyedarkan Samuel bahawa bermain cinta bukanlah perbuatan yang murni atau tulus. Dia berkata, “Saya belajar bahawa orang muda yang bermain cinta akhirnya akan menjadi pasangan hidup yang teruk. Saya mula berfikir tentang bakal isteri saya dan perasaannya jika saya bermain cinta dengan gadis lain. Maka, saya sedar bahawa meskipun bermain cinta itu mudah, hal itu berbahaya dan salah.” Samuel telah mengubah perangainya. Dengan berhenti bermain cinta, dia juga mengelakkan perbuatan seks yang tidak bermoral.

Antonio pula menghadapi ancaman yang lebih besar: Ketagihan pornografi. Meskipun dia sangat mencintai isterinya, dia mengulangi tabiat itu berkali-kali. Tetapi dia dibantu setelah memikirkan 1 Petrus 5:8 yang menyatakan, “Teruslah memelihara daya pemikiran kamu dan berjaga-jagalah. Si Iblis, musuh kamu, sedang merayau-rayau seperti seekor singa yang mengaum sambil mencari mangsa untuk dibaham.” Antonio berkata, “Gambar-gambar lucah terdapat di mana-mana sahaja, dan dapat melekat di minda. Ayat itu mengingatkan saya tentang dalang di sebalik semua godaan itu. Saya perlu segera mengaitkan gambar-gambar lucah itu dengan Si Iblis yang keji. Sekarang saya tahu bahawa hanya Yehuwa dapat membantu saya ‘terus berjaga-jaga’ dan menangkis serangan terhadap minda, hati, dan perkahwinan saya.” Antonio telah mendapat bantuan yang diperlukan dan dia akhirnya berjaya membuang tabiat buruknya. Dengan itu, dia terhindar daripada masalah yang lebih besar lagi.

Jelaslah, nasihat Bible yang praktikal dapat membantu kita mengelakkan masalah yang serius. Bagaimana pula dengan masalah yang sudah berakar umbi dan susah diatasi? Mari kita lihat cara Firman Tuhan dapat bantu kita.

Nasihat Bible praktikal dan dapat membantu kita mengelakkan sesetengah masalah