HENOKH hidup selama 365 tahun. Jangka hayatnya adalah empat kali lebih lama daripada jangka hayat manusia sekarang. Hal ini sukar untuk dibayangkan. Namun pada zamannya, Henokh sebenarnya tidak tua. Lebih daripada 5,000 tahun dahulu, manusia dapat hidup lebih lama. Lelaki yang pertama, iaitu Adam berusia lebih daripada 600 tahun semasa Henokh dilahirkan. Adam telah hidup lebih daripada 900 tahun. Sesetengah keturunan Adam hidup lebih lama daripadanya. Maka, Henokh masih nampak sihat dan bertenaga pada usia 365 tahun. Tetapi mengapakah hayatnya terhenti di situ?

Henokh berada dalam keadaan bahaya. Bayangkan dia sedang melarikan diri. Dia tidak dapat lupa akan reaksi orang terhadap mesej Tuhan yang disampaikannya. Mereka begitu marah dan membencinya. Mereka menghina mesejnya dan menentang Tuhan yang mengutusnya. Mereka tidak dapat menyerang Tuhan Henokh iaitu Yehuwa, tetapi mereka dapat menyerang Henokh. Henokh mungkin tertanya-tanya sama ada dia dapat bertemu dengan keluarganya lagi. Adakah dia terfikir tentang isterinya dan anak perempuannya atau anak lelakinya Metuselah atau cucunya Lamekh? (Kejadian 5:21, 23, 25) Adakah kehidupan Henokh berakhir begitu sahaja?

Bible tidak memberikan banyak maklumat tentang Henokh. Bible hanya mengandungi tiga petikan yang ringkas tentang dia. (Kejadian 5:21-24; Ibrani 11:5; Yudas 14, 15) Namun, petikan-petikan ini memberikan gambaran yang cukup jelas tentang lelaki yang beriman ini. Adakah anda sedang menyara keluarga? Pernahkah anda bergelut semasa mempertahankan apa yang benar? Jika ya, anda dapat belajar banyak daripada iman Henokh.

‘HENOKH SELALU HIDUP AKRAB DENGAN TUHAN’

Henokh merupakan generasi ketujuh sejak Adam. Manusia pada masa itu penuh dengan kejahatan. Selain itu, manusia pada masa itu dapat hidup lama kerana mereka tidak jauh daripada kehidupan sempurna yang pernah dinikmati Adam dan Hawa. Namun, tahap moral dan kerohanian manusia sangat teruk. Keganasan sangat berleluasa. Keadaan ini bermula sejak generasi kedua Adam apabila Kain membunuh adiknya, Habel. Salah satu keturunan Kain pula lebih ganas daripadanya. Dalam generasi ketiga, kejahatan manusia lebih teruk lagi. Orang mula menggunakan nama Yehuwa tetapi bukan dalam penyembahan kepada-Nya. Mereka telah menggunakan nama Tuhan yang suci dalam cara yang hina dan tidak hormat.​—Kejadian 4:8, 23-26.

Keadaan ini merupakan hal yang biasa pada zaman Henokh. Seraya Henokh membesar, dia perlu membuat pilihan. Adakah dia mahu hidup seperti orang di sekelilingnya? Atau adakah dia akan mencari Tuhan yang benar, Yehuwa, yang telah menciptakan langit dan bumi? Henokh tergerak untuk belajar tentang Habel yang terkorban kerana dia menyembah Yehuwa dalam cara yang diperkenankan-Nya. Dia juga ingin menyenangkan hati Yehuwa. Kejadian 5:22 memberitahu kita, ‘Henokh hidup akrab dengan Tuhan.’ Kata-kata itu jelas memberitahu bahawa Henokh tetap menghormati Tuhan di dunia yang tidak mengendahkan Tuhan.  Dia merupakan manusia pertama dalam Bible yang digambarkan sedemikian.

Dalam Kejadian 5:21, Henokh dikatakan tetap berjalan bersama Yehuwa selepas anaknya, Metuselah, dilahirkan. Maka, kita boleh menyimpulkan bahawa Henokh merupakan seorang ayah sewaktu dia berumur kira-kira 65 tahun. Dia mempunyai seorang isteri yang tidak diketahui namanya, dan dia juga mempunyai “anak-anak lain.” Jika seorang ayah dikatakan berjalan dengan Tuhan semasa menjaga keluarga, dia pasti membimbing keluarganya dalam cara yang diperkenankan Tuhan. Henokh tahu bahawa Yehuwa ingin dia tetap setia kepada isterinya. (Kejadian 2:24) Dia tentu telah mencurahkan usaha untuk mendidik anaknya mengenai Tuhan Yehuwa. Apakah hasilnya?

Bible tidak memberitahu banyak maklumat mengenai iman anak Henokh, iaitu Metuselah. Metuselah merupakan orang yang hidup paling lama. Dia meninggal pada tahun air bah melanda. Namun, Metuselah mempunyai seorang anak yang bernama Lamekh. Lamekh telah hidup sezaman dengan datuknya, Henokh, selama lebih daripada seratus tahun. Lamekh membesar dengan penuh iman. Yehuwa telah mengilhamkan dia untuk menyampaikan nubuat mengenai anaknya, Nuh. Nubuat itu menjadi kenyataan selepas air bah. Nuh juga dikatakan berjalan dengan Tuhan seperti moyangnya, Henokh. Nuh tidak pernah berjumpa dengan Henokh. Tetapi Henokh telah meninggalkan teladan iman yang baik. Nuh dapat mempelajarinya daripada ayahnya, Lamekh, atau datuknya, Metuselah, atau mungkin daripada bapa Henokh, iaitu Yared. Yared telah meninggal sewaktu Nuh berumur 366 tahun.​—Kejadian 5:25-29; 6:9; 9:1.

Fikirkan perbezaan antara Henokh dan Adam. Walaupun Adam sempurna, dia berdosa terhadap Yehuwa dan menyebabkan keturunannya menderita. Walaupun Henokh tidak sempurna, dia tetap berjalan dengan Tuhan dan menetapkan teladan iman yang baik bagi keturunannya. Adam meninggal sewaktu Henokh berusia 308 tahun. Adakah keturunan Adam meratapi kematiannya? Kita tidak tahu. Bagi Henokh, dia ‘selalu hidup akrab dengan Tuhan.’​—Kejadian 5:24.

Jika anda perlu menjaga keluarga, pertimbangkan apa yang dapat anda pelajari daripada iman Henokh. Memang penting untuk menyediakan keperluan fizikal keluarga. Tetapi, menjaga keperluan rohani keluarga adalah lebih penting. (1 Timotius 5:8) Teladan anda sangat penting semasa menjaga keperluan rohani keluarga. Jika anda memilih untuk berjalan dengan Tuhan seperti Henokh dan mengikut standard Tuhan, anda boleh pasti bahawa anda juga dapat menetapkan teladan yang baik untuk dicontohi oleh keluarga.

HENOKH “BERNUBUAT MENGENAI MEREKA”

Sebagai seorang yang beriman, Henokh mungkin berasa sendirian kerana hidup dalam kalangan orang yang tidak beriman. Tetapi adakah Yehuwa memperhatikannya? Sudah tentu. Apabila Tuhan ingin berkomunikasi dengan hamba-Nya, Dia menggunakan Henokh untuk menyampaikan mesej kepada orang yang hidup pada zaman itu. Dengan berbuat demikian, Tuhan melantik Henokh  sebagai nabi-Nya. Henokh merupakan nabi pertama yang mesejnya dicatatkan dalam Bible. Berabad-abad kemudian, Yudas, adik Yesus telah menulis mengenai nubuat yang disampaikan Henokh. *

Apakah yang dinubuat Henokh? Dia berkata, “Lihatlah! Yehuwa datang bersama puluhan ribu malaikat-Nya yang suci untuk mengadili semua orang, dan untuk membuktikan kesalahan semua pendosa yang tidak menghormati-Nya. Tuhan berbuat demikian kerana mereka melakukan bermacam-macam kejahatan dan kerana mereka melemparkan kata-kata celaan terhadap-Nya.” (Yudas 14, 15) Henokh sangat yakin bahawa apa yang dinubuatnya pasti akan berlaku. Baginya, apa yang dinubuat Tuhan seperti sudah terlaksana. Sejak itu, banyak nubuat juga disampaikan dalam cara sedemikian.​—Yesaya 46:10.

Henokh dengan berani menyebarkan mesej Tuhan kepada masyarakat yang ganas

Apakah perasaan Henokh semasa dia menyebarkan mesej penghakiman itu? Henokh menggunakan perkataan seperti “tidak menghormati,” “kejahatan,” dan “kata-kata celaan” untuk mengutuk perbuatan jahat orang pada zaman itu. Sejak manusia disingkirkan dari Taman Eden, mereka jahat belaka. Masyarakat jahat itu akan dimusnahkan oleh ‘puluhan ribu malaikat Tuhan yang suci.’ Walaupun bersendirian, Henokh dengan berani menyampaikan mesej penghakiman ini! Maka tidak hairanlah jika Lamekh yang masih muda pada masa itu mengagumi datuknya.

Teladan Henokh boleh mendorong kita untuk meneliti sama ada kita memandang dunia seperti Yehuwa memandangnya. Mesej penghakiman Henokh masih boleh ditujukan kepada dunia hari ini. Selaras dengan nubuat itu, Tuhan telah mendatangkan air bah ke atas manusia yang tidak setia pada zaman Nuh. Pembinasaan itu menjadi amaran tentang apa yang bakal berlaku. (Matius 24:38, 39; 2 Petrus 2:4-6) Tuhan dan puluhan ribu malaikat-Nya bersedia untuk menghakimi dunia yang jahat ini. Maka kita harus memberikan perhatian kepada nubuat Henokh dan mengongsinya kepada orang lain. Kita mungkin bersendirian kerana sahabat dan keluarga tidak menyokong kita. Namun, Tuhan tidak mengabaikan umat-Nya yang setia sepertimana Dia tidak pernah mengabaikan Henokh!

“DIPINDAHKAN SUPAYA DIA TIDAK MENDERITA KETIKA DIA MATI”

Bagaimanakah Henokh meninggal? Kita tidak tahu secara spesifik. Kisah dalam buku Kejadian berkata, ‘Henokh selalu hidup akrab dengan Tuhan, dia menghilang kerana diambil oleh Tuhan.’ (Kejadian 5:24) Bagaimanakah Henokh diambil oleh Tuhan? Rasul Paulus menjelaskan, “Kerana beriman, Henokh dipindahkan supaya dia tidak menderita ketika dia mati. Henokh tidak dijumpai di mana-mana kerana Tuhan telah memindahkannya. Sebelum dia dipindahkan, Tuhan telah memberikan kesaksian kepada Henokh bahawa dia sudah menyenangkan hati Tuhan.” (Ibrani 11:5) Apakah maksud Paulus apabila dia berkata bahawa Henokh “dipindahkan supaya dia tidak menderita ketika dia mati”? Sesetengah terjemahan Bible berkata bahawa Tuhan mengambil Henokh ke syurga. Namun, hal itu mustahil. Bible menunjukkan bahawa Yesus Kristus ialah orang pertama yang dibangkitkan ke syurga.​—Yohanes 3:13.

Jadi, apakah yang dimaksudkan bahawa Henokh “dipindahkan supaya dia tidak menderita ketika dia mati”? Nampaknya, Yehuwa telah menyebabkan dia tidur dalam kematian secara beransur-ansur supaya  dia tidak perlu menderita. Tetapi sebelum Henokh menghembuskan nafas terakhirnya, “Tuhan telah memberikan kesaksian kepada Henokh bahawa dia sudah menyenangkan hati Tuhan.” Bagaimana? Dia mungkin menerima penglihatan daripada Tuhan tentang bumi firdaus. Hal ini menunjukkan bahawa Tuhan memperkenankannya. Mengenai Henokh serta lelaki dan wanita setia yang lain, Paulus menulis, “Semua orang ini beriman sampai mati.” (Ibrani 11:13) Musuh-musuh Henokh mungkin mencari-cari mayatnya, tetapi mayatnya “tidak dijumpai di mana-mana.” Yehuwa mungkin telah menghilangkan mayat Henokh supaya mayatnya tidak digunakan untuk tujuan yang salah atau untuk penyembahan agama palsu. *

Maka, mari kita bayangkan apa yang mungkin berlaku pada saat-saat terakhir kehidupan Henokh. Gambaran ini hanyalah satu kemungkinan. Henokh sedang berlari dan sangat keletihan. Musuh-musuhnya yang mengejarnya berasa berang kerana mesej penghakiman yang disampaikannya. Henokh menemui tempat bersembunyi untuk berehat seketika. Tetapi dia tahu bahawa musuhnya akan menjumpainya. Dia tahu kematian yang dahsyat sedang menantikannya. Semasa dia sedang berehat, dia berdoa kepada Tuhan. Kemudian, dia dipenuhi perasaan tenang. Henokh mengalami suatu penglihatan yang sangat jelas dan nyata.

Henokh mungkin berhadapan dengan kematian yang dahsyat sebelum Tuhan mengambilnya

Bayangkan, Henokh dapat melihat sebuah dunia yang sangat berbeza daripada dunianya. Dia mungkin melihat suatu tempat yang secantik Taman Eden, tetapi tiada kerub-kerub yang mengawal tempat itu. Tempat itu penuh dengan lelaki dan wanita yang sihat dan cergas. Mereka menikmati kedamaian, dan tiada kebencian mahupun penganiayaan seperti yang dialami Henokh. Bagi Henokh, dia merasai kasih dan perkenan Yehuwa. Dia berasa sangat selesa dan selamat di tempat itu. Kemudian dengan hati yang tenang, Henokh memejamkan matanya lalu tidur dalam kematian.

Sehingga ke hari ini, Henokh berada dalam ingatan Tuhan Yehuwa! Seperti yang telah dijanjikan Yesus, masa akan tiba apabila semua orang dalam ingatan Tuhan akan mendengar suara Kristus lalu keluar dari kuburan. Mereka akan membuka mata dan melihat dunia baharu yang indah dan damai.​—Yohanes 5:28, 29.

Inginkah anda berada di sana? Bayangkan betapa menakjubkan jika kita berjumpa dengan Henokh. Fikirkan perkara yang kita dapat belajar daripadanya. Dia boleh memberitahu kita sama ada apa yang kita bayangkan mengenai saat-saat terakhir kehidupannya itu benar atau tidak. Namun, kita boleh belajar daripada teladannya sekarang. Selepas menyebut tentang Henokh, Paulus berkata, “Tanpa iman, tidak ada seorang pun dapat menyenangkan hati Tuhan.” (Ibrani 11:6) Ya, kita memang mempunyai sebab yang kukuh untuk meniru iman Henokh!

^ per. 14 Beberapa pakar Bible mendakwa bahawa Yudas memetik daripada sebuah buku apokrifa yang dipanggil Buku Henokh. Kesahihan buku ini diragui dan sumbernya tidak diketahui, tetapi kononnya ditulis oleh Henokh. Buku Henokh memang mengandungi catatan tepat mengenai nubuat Henokh. Namun, buku ini mungkin ditulis berdasarkan sumber kuno, sama ada dalam bentuk tulisan atau lisan, yang tidak lagi wujud sekarang. Yudas mungkin juga telah merujuk kepada sumber ini, atau mempelajari tentang Henokh daripada Yesus yang telah memerhatikan kehidupan Henokh dari syurga.

^ per. 20 Tuhan mungkin juga memastikan agar mayat Musa dan Yesus tidak digunakan bagi tujuan sedemikian.​—Ulangan 34:5, 6; Lukas 24:3-6; Yudas 9.