Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

 NASIHAT KUNO BAGI ZAMAN MODEN

Jangan Khuatir

Jangan Khuatir

PRINSIP BIBLE: “Jangan khuatir lagi tentang hidupmu.”—Matius 6:25.

Apakah maksudnya? Yesus mengucapkan kata-kata itu semasa Ceramah Di Atas Gunung. Menurut sebuah kamus Bible, ungkapan Yunani bagi “kekhuatiran” boleh merujuk kepada “tindak balas manusia yang biasa terhadap kemiskinan, kelaparan, dan masalah lain.” Kekhuatiran merangkumi perasaan risau tentang masa depan. Perasaan risau tentang keperluan materi dan keperluan orang yang kita kasihi merupakan perkara biasa. (Filipi 2:20) Tetapi, apabila Yesus berkata “jangan khuatir,” dia menasihati pengikutnya untuk mengelakkan kerisauan yang keterlaluan. Kerisauan tentang hari esok akan menyebabkan kita hilang sukacita pada hari ini.—Matius 6:31, 34.

Masih praktikal hari ini? Adalah baik untuk mengikut nasihat Yesus. Mengapa? Kajian menunjukkan bahawa sistem saraf simpatetik akan selalu aktif jika seseorang sentiasa risau. Hal ini boleh menyebabkan penyakit seperti ulser, sakit jantung, dan asma.

Mengapakah Yesus memberikan nasihat di atas? Kerana kekhuatiran yang keterlaluan adalah sia-sia. Yesus berkata, “Siapakah antara kamu yang dapat memanjangkan hayat walaupun sedikit dengan berasa khuatir?” (Matius 6:27) Mutu hidup dan jangka hayat kita tidak akan meningkat jika kita selalu khuatir. Selain itu, perkara buruk yang dibayangkan biasanya tidak berlaku. Seorang pakar berkata, “Kebimbangan mengenai masa depan adalah sia-sia. Apa yang sebenarnya berlaku biasanya tidak seteruk apa yang kita bayangkan.”

Bagaimanakah kita boleh mengelakkan kekhuatiran? Pertama, percayalah kepada Tuhan. Tuhan menyediakan makanan bagi burung dan memberikan pakaian indah kepada bunga. Tidakkah Tuhan akan menjaga keperluan anda jika anda mengutamakan-Nya? (Matius 6:25, 26, 28-30) Kedua, jalanilah hidup sehari demi sehari. Yesus berkata, “Janganlah khuatir tentang hari esok, kerana hari esok mempunyai kekhuatirannya sendiri.” Tidakkah anda setuju dengan kata-kata Yesus: “Cukuplah masalah untuk hari ini”?—Matius 6:34.

Dengan mengikut nasihat Yesus, kita akan meraih manfaat secara fizikal dan menikmati ketenangan batin, iaitu “kesejahteraan daripada Tuhan.”—Filipi 4:6, 7.