Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

 KISAH HIDUP

Yehuwa Memberkati Keputusan Saya dengan Berlimpah-limpah

Yehuwa Memberkati Keputusan Saya dengan Berlimpah-limpah

Sinar fajar baru merekah apabila kami menyisipkan risalah di bawah pintu beberapa buah rumah yang terakhir di kawasan penyebaran. Masa itu tahun 1939, dan kami bangun pada tengah malam dan memandu lebih daripada sejam ke Joplin, sebuah bandar kecil di barat daya Missouri, A.S. Sebaik sahaja tugas kami selesai, kami masuk ke dalam kereta dan memandu ke tempat pertemuan bagi semua kumpulan kereta. Namun, mengapakah kami keluar menginjil begitu awal dan tergesa-gesa beredar? Saya akan memberitahu anda nanti.

IBU BAPA saya, Fred dan Edna Molohan, sudah menjadi Pelajar Bible (Saksi-Saksi Yehuwa) yang aktif selama 20 tahun sebelum saya dilahirkan pada tahun 1934. Saya bersyukur kerana mereka menanamkan cinta kepada Tuhan dalam diri saya. Kami tinggal di Parsons, sebuah pekan kecil di tenggara Kansas. Kebanyakan ahli sidang kami merupakan orang Kristian terurap. Keluarga kami menghadiri perjumpaan dan menyebarkan kebenaran Bible dengan tetap. Setiap petang Sabtu, kami biasanya melakukan kesaksian di jalan, kini dipanggil kesaksian awam. Kadang-kadang kami berasa penat, tetapi Ayah selalu membawa kami makan aiskrim selepas itu.

Kawasan penyebaran sidang kecil kami merangkumi beberapa pekan kecil dan banyak kebun di daerah berdekatan. Semasa menginjil kepada pekebun, kami sering menukar bahan bacaan dengan sayur, telur yang diambil terus dari sarang, atau ayam hidup. Memandangkan Ayah sudah memberikan sumbangan untuk bahan bacaan terlebih dahulu, makanan itu telah membantu mengisi perut kami.

KEMPEN KESAKSIAN

Ibu bapa saya menggunakan peti nyanyi dalam kerja penyebaran. Saya terlalu kecil untuk menggunakannya, tetapi saya suka membantu Mak dan Ayah apabila mereka memainkan rakaman ceramah Saudara Rutherford semasa kunjungan kembali dan pembelajaran Bible.

Bersama ibu dan bapa saya di hadapan kereta bunyi kami

Ayah mengubah suai kereta Ford 1936 kami menjadi kereta bunyi yang mempunyai pembesar suara di bumbung. Kereta itu sangat berkesan untuk menyebarkan berita Kerajaan Tuhan. Biasanya rakaman muzik akan dimainkan dahulu untuk menarik perhatian orang, kemudian rakaman ceramah Bible akan disiarkan. Selepas itu, kami menawarkan bahan bacaan kepada orang yang berminat.

Di pekan Cherryvale, Kansas, Ayah meletakkan kereta bunyi di taman awam, tempat ramai  orang bersantai pada hari Ahad, tetapi polis memberitahunya bahawa kereta bunyi hanya boleh diletakkan di luar taman. Maka Ayah memindahkan kereta bunyi ke sebuah lorong di sebelah taman itu supaya orang ramai masih dapat mendengar mesej yang disiarkan. Saya berasa teruja kerana dapat bergiat bersama Ayah dan abang saya Jerry pada waktu sedemikian.

Pada akhir 1930-an, kami mengadakan kempen istimewa di kawasan yang penduduknya menentang kami dengan kuat. Seperti yang dilakukan di Joplin, Missouri, kami akan bangun pada tengah malam dan menyisipkan risalah atau buku di bawah pintu rumah orang dengan senyap-senyap. Kemudian, kami akan berkumpul di luar kota untuk melihat sama ada sesiapa telah ditangkap oleh polis.

Satu lagi aspek kerja penyebaran pada waktu itu merangkumi perarakan. Kami akan memakai papan besar dan berarak melalui kota. Pernah sekali, saudara saudari mengadakan perarakan di pekan kami sambil memakai papan yang bertajuk “Agama Itu Jerat dan Dusta.” Mereka berarak sekitar 1.6 km di pekan lalu pulang ke rumah kami. Perarakan itu menarik perhatian ramai orang, dan mereka tidak menghadapi apa-apa tentangan.

KONVENSYEN PADA MASA ITU

Keluarga kami sering pergi ke Texas untuk menghadiri konvensyen. Ayah bekerja untuk syarikat kereta api, jadi kami dapat menggunakan pas pekerjanya untuk melawat saudara-mara dan menghadiri konvensyen dengan percuma. Abang Mak, Fred Wismar dan isterinya Eulalie, tinggal di Temple, Texas. Pak Cik Fred belajar kebenaran pada awal tahun 1900-an semasa dia muda. Selepas dibaptis, dia mengongsi apa yang dipelajarinya dengan adik-beradiknya, termasuk ibu saya. Saudara saudari di bahagian tengah Texas sangat mengenali Fred kerana dia pernah berkhidmat sebagai pembantu zon (kini penyelia litar) di situ. Dia baik hati, ceria, bersemangat demi kebenaran, dan merupakan pengaruh baik untuk saya semasa saya muda.

Pada tahun 1941, keluarga kami menaiki kereta api ke St. Louis, Missouri, untuk menghadiri konvensyen yang besar. Semua orang muda dijemput untuk duduk di satu kawasan khas bagi mendengar ceramah Saudara Rutherford yang bertajuk “Anak-Anak kepada Raja.” Pada penghujung ceramahnya, Saudara Rutherford dan para pembantunya memberikan buku baharu Children kepada setiap orang di kawasan itu. Pemberian itu sesungguhnya kejutan istimewa bagi 15,000 orang muda pada hari itu.

Pada April 1943, kami menghadiri Perhimpunan “Seruan untuk Bertindak” di Coffeyville, Kansas. Sekolah Penyebaran Teokratik telah diperkenalkan, dan buku kecil yang mengandungi 52 pelajaran untuk sekolah itu telah dikeluarkan. Pada hujung tahun itu, saya telah menyampaikan tugasan buat kali pertama. Perhimpunan itu juga istimewa bagi saya kerana saya dan beberapa  orang lain telah dibaptis di dalam sebuah kolam yang sejuk di kebun berdekatan.

BETHEL​—CITA-CITA SAYA

Selepas tamat sekolah pada tahun 1951, saya perlu memutuskan apa yang hendak saya lakukan. Saya ingin berkhidmat di Bethel, tempat Jerry pernah berkhidmat. Saya telah menghantar permohonan ke pejabat di Brooklyn dan mula berkhidmat di Bethel pada 10 Mac 1952. Keputusan itu membawa banyak berkat rohani.

Saya berharap dapat bekerja di kilang percetakan untuk menghasilkan majalah dan bahan bacaan, tetapi harapan itu tidak pernah tercapai. Saya ditugaskan sebagai pelayan dan kemudian di dapur. Saya suka kerja itu dan belajar banyak perkara. Memandangkan tugas kami dijadualkan mengikut syif, saya ada masa lapang pada siang hari untuk membuat pembelajaran peribadi di perpustakaan Bethel. Hasilnya, kerohanian dan iman saya bertambah kukuh, dan saya bertekad untuk berkhidmat kepada Yehuwa di Bethel seberapa lama yang mungkin. Jerry telah meninggalkan Bethel pada tahun 1949 dan berkahwin dengan Patricia, tetapi mereka tinggal di kawasan Brooklyn. Mereka sentiasa membantu dan menggalakkan saya semasa saya masih baru di Bethel.

Tidak lama selepas saya datang ke Bethel, para saudara mula mencari lebih ramai ahli Bethel yang dapat disenaraikan sebagai penceramah Bethel. Penceramah Bethel akan ditugaskan untuk melawat sidang-sidang di sekitar Brooklyn yang tidak melebihi 322 km jauhnya untuk memberikan ceramah dan menginjil bersama sidang. Saya merupakan salah seorang yang dipilih. Saya berasa gementar semasa mula membuat lawatan sebegini untuk menyampaikan ceramah umum, yang panjangnya sejam pada waktu itu. Biasanya saya akan menaiki kereta api untuk melawat sidang. Saya masih ingat pengalaman pada suatu hari Ahad semasa musim sejuk tahun 1954. Semasa menaiki kereta api untuk pulang ke Bethel di New York, ribut angin dan salji menyebabkan enjin elektrik kereta api kehilangan kuasa. Saya sepatutnya tiba di Bandar Raya New York petang hari Ahad, tetapi kereta api itu tiba jam lima pagi hari Isnin. Dari situ, saya menaiki kereta api bawah tanah ke Brooklyn dan terus mula bekerja di dapur. Saya tiba sedikit lewat dan sangat penat kerana terpaksa duduk semalaman di dalam kereta api. Tetapi pengorbanan sebegini tidak dapat menandingi sukacita yang diraih setelah mengenali ramai sahabat baharu dan berkhidmat untuk mereka sepanjang hujung minggu.

Bersedia untuk membuat siaran dari studio WBBR

Semasa beberapa tahun pertama saya di Bethel, saya dijemput untuk mengambil bahagian dalam siaran radio WBBR. Studio kami terletak di tingkat dua 124 Columbia Heights. Saya ditugaskan sebagai salah satu watak dalam rancangan mingguan bagi program pembelajaran Bible. Saudara A. H. Macmillan, yang telah lama berkhidmat di Bethel, juga sering menyertai program itu. Kami biasanya memanggil dia Saudara Mac. Ketabahannya dalam khidmat Yehuwa telah menjadi teladan yang baik bagi kami, ahli Bethel yang masih muda.

Kami mengedarkan risalah tentang WBBR semasa menginjil untuk menarik minat orang

Pada tahun 1958, saya dijemput untuk membantu lulusan Sekolah Gilead mendapat visa yang diperlukan dan mengatur pengangkutan mereka ke negara yang ditugaskan. Tambang kapal terbang sangat mahal pada masa itu, jadi kebanyakan lulusan yang pergi ke Afrika dan Timur Jauh akan menaiki kapal laut kargo. Apabila tiket penerbangan menjadi lebih murah, kebanyakan mubaligh dihantar ke tugasan mereka melalui jalan udara.

Menyusun diploma Gilead sebelum majlis penyampaian sijil

MENGATURKAN PERJALANAN KE KONVENSYEN

Pada tahun 1960, saya juga ditugaskan untuk mengaturkan penerbangan carter dari Amerika Syarikat ke Eropah bagi konvensyen antarabangsa tahun 1961. Saya telah menghadiri konvensyen di Hamburg, Jerman. Selepas konvensyen, saya dan tiga orang saudara dari Bethel menyewa sebuah kereta dan memandu dari Jerman ke Itali dan melawat pejabat cawangan di Rom. Dari  situ, kami pergi ke Perancis, menyeberangi Pergunungan Pyrenees, dan memasuki Sepanyol, tempat kerja kita diharamkan. Kami dapat menghantar beberapa bahan bacaan kepada rakan seiman di Barcelona setelah membungkusnya seperti hadiah. Kami sungguh teruja untuk berjumpa dengan mereka! Kemudian, kami memandu ke Amsterdam dan menaiki pesawat untuk pulang ke New York.

Sekitar setahun kemudian, saya ditugaskan untuk mengaturkan perjalanan bagi 583 orang saudara saudari yang akan mengelilingi dunia untuk menghadiri siri konvensyen antarabangsa “Berita Baik yang Kekal” tahun 1963. Mereka akan bermula dengan melawat Eropah, kemudian Asia, Pasifik Selatan, Honolulu di Hawaii, dan akhirnya Pasadena, California. Mereka juga akan singgah di Lubnan dan Jordan untuk melawat dan belajar tentang tempat yang disebut dalam Bible. Selain menjadualkan penerbangan dan penginapan di hotel, kami perlu mendapatkan semua visa yang diperlukan untuk beberapa negara.

RAKAN PERJALANAN YANG BAHARU

Tahun 1963 juga merupakan detik bersejarah bagi saya. Pada 29 Jun, saya mengahwini Lila Rogers dari Missouri, yang telah berkhidmat di Bethel selama 3 tahun. Seminggu selepas berkahwin, saya dan Lila menyertai lawatan keliling dunia itu dan melawat Greece, Mesir, dan Lubnan. Kami menaiki kapal terbang dari Beirut ke Jordan. Memandangkan kerja kita di situ disekat, dan kami diberitahu bahawa Saksi-Saksi Yehuwa tidak diberi visa untuk memasuki Jordan, kami tertanya-tanya apa yang akan berlaku apabila kami tiba. Kami sungguh terkejut semasa melihat ramai orang berdiri di bumbung terminal kecil itu sambil mengangkat kain rentang “Selamat Datang Saksi-Saksi Yehuwa”! Kami berpeluang melawat tempat yang didiami Abraham, Ishak, dan Yakub, tempat Yesus dan para rasul menginjil, dan tempat agama Kristian mula tersebar ke hujung bumi. Lawatan yang sungguh mendebarkan!​—Kis. 13:47.

Selama 55 tahun, Lila merupakan teman setia saya dalam semua tugasan kami. Kami telah melawat Sepanyol dan Portugal beberapa kali semasa kerja penyebaran diharamkan di sana, supaya kami dapat menggalakkan rakan seiman dan membawa bahan bacaan atau barang keperluan lain untuk mereka. Kami bahkan dapat mengunjungi sesetengah rakan seiman yang dipenjarakan di dalam kubu lama di Cádiz, Sepanyol. Hati saya cukup girang kerana dapat menyampaikan ceramah untuk menggalakkan mereka.

Bersama Patricia dan Jerry Molohan dalam perjalanan ke konvensyen “Kedamaian di Bumi” tahun 1969

Sejak tahun 1963, saya berpeluang mengaturkan perjalanan untuk konvensyen antarabangsa di Afrika, Australia, Amerika Tengah dan Selatan, Eropah, Timur Jauh, Hawaii, New Zealand, dan Puerto Rico. Saya dan Lila telah menikmati banyak konvensyen yang sukar dilupakan, termasuk  konvensyen di Warsaw, Poland, pada tahun 1989. Ramai saudara saudari dari Rusia telah menghadiri konvensyen besar itu, dan itulah konvensyen mereka yang pertama. Kami berjumpa dengan saudara saudari yang dipenjarakan selama bertahun-tahun oleh pihak Soviet kerana iman mereka.

Saya amat menghargai peluang untuk melawat pejabat cawangan di serata dunia untuk menggalakkan keluarga Bethel dan para mubaligh. Semasa lawatan terakhir kami di Korea Selatan, kami berjumpa dengan 50 orang saudara yang dipenjarakan di Suwon. Mereka bersikap positif dan menantikan masanya untuk bergiat semula dalam kerja penyebaran. Kami sangat digalakkan setelah berjumpa dengan mereka.​—Rm. 1:11, 12.

PERTAMBAHAN MEMBAWA SUKACITA

Saya telah menyaksikan bagaimana Yehuwa menyebabkan umat-Nya bertambah banyak, daripada sekitar 100,000 orang penyiar pada waktu saya dibaptis pada tahun 1943, hingga lebih daripada 8,000,000 orang penyiar sekarang di 240 kawasan. Para lulusan Gilead yang menerajui kerja penyebaran telah memberikan sumbangan yang besar kepada pertambahan ini. Saya gembira kerana berpeluang bekerja bersama ramai mubaligh dan membantu mereka tiba di tempat tugasan mereka!

Saya bersyukur kerana memutuskan untuk meluaskan khidmat kepada Yehuwa semasa muda dan memohon untuk khidmat Bethel. Saya telah menyaksikan berkat Yehuwa yang melimpah dalam setiap langkah kehidupan saya. Selain sukacita daripada khidmat Bethel, saya dan Lila juga menikmati kerja penyebaran bersama sidang-sidang di Brooklyn selama puluhan tahun dan mengenali ramai sahabat sejati.

Saya masih berkhidmat di Bethel dengan adanya bantuan Lila setiap hari. Usia saya sudah menjangkau 84 tahun, tetapi saya masih mempunyai tugas yang bermakna di pejabat cawangan dalam kerja surat-menyurat.

Bersama Lila hari ini

Alangkah gembiranya kami kerana dapat menyertai organisasi Yehuwa dan melihat perbezaan antara orang yang menyembah Yehuwa dengan mereka yang tidak. Kami lebih memahami kata-kata di Maleakhi 3:18, “Mereka akan melihat lagi perbezaan antara orang baik dengan orang jahat, serta antara orang yang menyembah Aku dengan yang tidak.” Setiap hari, kami melihat dunia Syaitan semakin hancur dan dipenuhi orang yang putus harapan dan hilang sukacita. Tetapi orang yang mengasihi dan menyembah Yehuwa hidup bahagia pada waktu yang genting ini dan memiliki harapan cerah yang terjamin. Tidakkah kita berbesar hati kerana diberi penghormatan untuk menyebarkan berita baik tentang Kerajaan Tuhan? (Mat. 24:14) Kita menantikan masanya, yang sudah di ambang pintu, apabila Kerajaan Tuhan akan melenyapkan dunia lama ini dan mendatangkan dunia baharu yang dilimpahi berkat, termasuk kesihatan yang sempurna dan kehidupan yang kekal, untuk dinikmati hamba-hamba Yehuwa di bumi buat selama-lamanya.