Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Yakinlah kepada Pemimpin Kita​—Kristus

Yakinlah kepada Pemimpin Kita​—Kristus

“Kamu hanya mempunyai seorang Pemimpin, iaitu Kristus.”​—MAT. 23:10.

LAGU: 16, 14

1, 2. Apakah cabaran yang dihadapi Yosua setelah kematian Musa?

KATA-KATA Yehuwa masih kedengaran di telinga Yosua: “Hamba-Ku Musa sudah meninggal. Sekarang, hendaklah engkau dan semua umat Israel bersiap sedia. Seberangilah Sungai Yordan dan pergilah ke tanah yang akan Aku berikan kepada mereka.” (Yos. 1:1, 2) Perubahan yang cukup besar bagi Yosua setelah berkhidmat sebagai pembantu Musa untuk hampir 40 tahun!

2 Memandangkan Musa telah memimpin orang Israel untuk begitu lama, Yosua mungkin risau bahawa umat itu tidak akan menerimanya sebagai pemimpin. (Ul. 34:8, 10-12) Mengenai Yosua 1:1, 2, sebuah buku rujukan Bible menyatakan, “Baik pada zaman kuno mahupun moden, perubahan pucuk pimpinan merupakan detik yang paling berbahaya bagi sesebuah bangsa.”

3, 4. Bagaimanakah kita tahu bahawa keyakinan Yosua kepada Tuhan telah membawa berkat? Apakah soalan yang dapat kita fikirkan?

3 Kerisauan Yosua memang berasas, tetapi dalam masa beberapa hari, dia bertindak tanpa berlengah-lengah. (Yos. 1:9-11) Keyakinannya kepada Tuhan telah membawa berkat. Yehuwa telah  membimbing Yosua dan umat-Nya melalui satu malaikat, yang kemungkinan besar ialah Firman, iaitu Anak Sulung Tuhan.​—Kel. 23:20-23; Yoh. 1:1.

4 Dengan bantuan Yehuwa, umat Israel berjaya menyesuaikan diri dengan pemimpin baharu mereka, Yosua. Pada zaman kita, banyak perubahan besar juga berlaku. Maka, kita mungkin bertanya, “Ketika organisasi Tuhan mara dengan cepat, adakah kita mempunyai sebab yang baik untuk mempercayai Yesus, Pemimpin yang dilantik Tuhan?” (Baca Matius 23:10.) Mari kita perhatikan bagaimana Yehuwa memimpin umat-Nya ketika perubahan terjadi pada masa lampau.

MEMIMPIN UMAT TUHAN KE NEGERI KANAAN

5. Apakah peristiwa luar biasa yang berlaku semasa Yosua menghampiri Yerikho? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

5 Tidak lama setelah orang Israel menyeberangi Sungai Yordan, peristiwa yang luar biasa berlaku kepada Yosua. Berhampiran kota Yerikho, dia nampak seorang lelaki yang memegang sebilah pedang terhunus. Yosua bertanya, “Adakah kamu berada di pihak kami atau di pihak lawan kami?” Dia terkejut ketika lelaki itu memperkenalkan diri sebagai “ketua tentera Yehuwa” yang bersedia mempertahankan umat Tuhan. (Baca Yosua 5:13-15.) Walaupun catatan lain menyatakan bahawa Yehuwa sedang berfirman kepada Yosua, sudah pasti Tuhan melakukannya melalui malaikat, seperti yang sering dilakukan-Nya dahulu.​—Kel. 3:2-4; Yos. 4:1, 15; 5:2, 9; Kis. 7:38; Gal. 3:19.

6-8. (a) Mengapakah sesetengah arahan Yehuwa mungkin kelihatan tidak masuk akal dari sudut pandangan manusia? (b) Apakah yang menunjukkan bahawa arahan itu memang bijak dan diberi tepat pada masanya? (Lihat juga nota kaki.)

6 Malaikat itu memberi Yosua arahan yang jelas tentang cara menawan kota Yerikho. Sesetengah arahan itu mungkin tidak masuk akal pada mulanya. Sebagai contoh, semua lelaki perlu disunat. Maksudnya mereka tidak dapat berperang selama beberapa hari. Adakah itu masa yang sesuai untuk bersunat?​—Kej. 34:24, 25; Yos. 5:2, 8.

7 Para askar Israel mungkin berfikir, “Jika musuh tiba-tiba datang, bagaimanakah kami dapat melindungi keluarga sendiri?” Tetapi hal yang tidak terduga berlaku! “Pintu-pintu gerbang kota Yerikho ditutup rapat kerana orang Israel.” (Yos. 6:1) Tidakkah perubahan sebegini menguatkan keyakinan mereka terhadap arahan Tuhan?

8 Selain itu, orang Israel disuruh berkawad mengelilingi kota Yerikho sekali sehari untuk enam hari dan tujuh kali pada hari ketujuh, tanpa melancarkan serangan. Sesetengah askar mungkin berfikir, “Buang masa dan tenaga sahaja!” Tetapi Yehuwa, Pemimpin Israel, tahu apa yang sedang dilakukan-Nya. Strategi Yehuwa bukan sahaja menguatkan iman orang Israel, malah mengelakkan pertembungan antara mereka dengan para pahlawan Yerikho.​—Yos. 6:2-5; Ibr. 11:30. *

9. Mengapakah kita patut mengikut arahan daripada organisasi Tuhan? Berikan contoh.

9 Apakah yang dapat kita pelajari daripada kisah ini? Ada kalanya, kita tidak memahami cara baharu yang digunakan oleh organisasi Yehuwa. Misalnya, dahulu kita mungkin berasa bahawa penggunaan alat elektronik untuk pembelajaran peribadi, menginjil, dan perjumpaan, bukanlah idea  yang bagus. Tetapi setelah menyaksikan kesan positif daripada perubahan sebegini, iman dan perpaduan kita bertambah kukuh.

KRISTUS MEMIMPIN ORANG KRISTIAN ABAD PERTAMA

10. Siapakah sebenarnya yang mengaturkan mesyuarat bersejarah badan pimpinan di Yerusalem?

10 Sekitar 13 tahun selepas Kornelius menjadi orang Kristian, sesetengah orang Kristian berbangsa Yahudi masih berpegang pada amalan sunat. (Kis. 15:1, 2) Apabila pertikaian tercetus di Antiokhia, Paulus membawa isu itu kepada badan pimpinan di Yerusalem. Tetapi mengapakah Paulus mengambil langkah itu? Dia berkata, “Kerana Tuan menyingkapkan bahawa aku harus berbuat demikian.” Jelaslah, Kristus sedang mengaturkan agar badan pimpinan menyelesaikan isu itu.​—Gal. 2:1-3.

Kristus memimpin sidang Kristian abad pertama (Lihat perenggan 10, 11)

11. (a) Bagaimanakah orang Kristian berbangsa Yahudi memandang isu sunat? (b) Bagaimanakah Paulus menunjukkan bahawa dia menyokong para penatua di Yerusalem dengan rendah hati? (Lihat juga nota kaki.)

11 Di bawah pimpinan Kristus, badan pimpinan menjelaskan bahawa orang Kristian bukan Yahudi tidak perlu disunat. (Kis. 15:19, 20) Tetapi bertahun-tahun ekoran itu, ramai orang Kristian berbangsa Yahudi masih menyunat anak mereka. Kemudian, para penatua di Yerusalem mendengar khabar angin bahawa Paulus tidak mematuhi Hukum Musa. Maka mereka menyuruhnya melakukan sesuatu yang mungkin tidak disangkanya. * (Kis. 21:20-26) Paulus disuruh membawa empat orang ke Rumah Tuhan, supaya orang lain dapat melihat bahawa dia “hidup selaras dengan Hukum.” Paulus boleh berkata, “Tindakan itu tidak masuk akal! Orang Kristian berbangsa Yahudi yang tidak memahami isu sunat, merekalah punca masalah ini!” Tetapi Paulus tahu bahawa para penatua ingin menguatkan perpaduan antara rakan seiman, maka dia menyokong usaha mereka dan mengikut arahan mereka dengan rendah hati. Namun, kita mungkin bertanya, “Mengapakah Yesus membiarkan  isu sunat berlanjutan padahal kematiannya sudah memansuhkan Hukum Musa puluhan tahun yang lalu?”​—Kol. 2:13, 14.

12. Apakah mungkin sebabnya Kristus membiarkan suatu jangka masa berlalu sebelum menyelesaikan isu sunat?

12 Sesetengah orang memerlukan masa untuk menerima pemahaman terkini. Orang Kristian berbangsa Yahudi memerlukan masa untuk mengubah pandangan sendiri. (Yoh. 16:12) Ada yang berasa susah untuk menerima hakikat bahawa sunat bukan lagi tanda bagi hubungan istimewa dengan Tuhan. (Kej. 17:9-12) Yang lain pula tidak mahu kelihatan berbeza daripada masyarakat Yahudi kerana takut dianiaya. (Gal. 6:12) Namun, Kristus kemudian memberikan arahan selanjutnya melalui surat Paulus.​—Rm. 2:28, 29; Gal. 3:23-25.

KRISTUS MASIH MEMIMPIN SIDANG

13. Apakah yang dapat membantu kita menghargai cara Yesus memimpin kita hari ini?

13 Jika kita tidak memahami sebabnya organisasi kita membuat perubahan tertentu, renungkanlah bagaimana Kristus memimpin umat Tuhan pada zaman lampau. Tidak kira pada masa Yosua atau pada abad pertama, Kristus sentiasa memberikan arahan yang bijak untuk melindungi umat Tuhan, meneguhkan iman mereka, dan untuk memelihara perpaduan mereka.​—Ibr. 13:8.

14-16. Bagaimanakah arahan daripada “hamba yang setia dan bijaksana” menunjukkan bahawa Kristus mengambil berat terhadap kerohanian kita?

14 Kasih dan keprihatinan Yesus terhadap kita ditunjukkan melalui “hamba yang setia dan bijaksana,” yang memberi kita arahan tepat pada masanya. (Mat. 24:45) Marc, bapa kepada empat orang anak, berkata, “Syaitan sedang menyerang keluarga agar dapat melemahkan sidang. Galakan untuk mengadakan penyembahan keluarga setiap minggu merupakan mesej yang jelas kepada ketua keluarga: Lindungilah keluargamu!”

15 Dengan menyedari cara Kristus memimpin kita, kita dapat merasai keprihatinannya terhadap kemajuan rohani kita. Patrick, seorang penatua, berkata, “Pada mulanya, ada yang berasa bahawa aturan kumpulan kecil untuk kerja penyebaran hujung minggu kurang menggalakkan.” Tetapi dia menambah bahawa aturan ini mencerminkan keprihatinan Yesus terhadap setiap ahli sidang, termasuk mereka yang pemalu atau yang kurang aktif. Aturan ini membuat mereka berasa dihargai dan berguna, dan telah membantu mereka bertumbuh secara rohani.

16 Selain menjaga keperluan rohani kita, Kristus membantu kita agar tetap berfokus kepada kerja yang terpenting di bumi hari ini. (Baca Markus 13:10.) André, seorang penatua baharu, sentiasa peka terhadap arahan baharu daripada organisasi Tuhan. Dia berkata, “Pengurangan pekerja di pejabat cawangan mengingatkan kita bahawa akhir sudah sangat dekat dan bahawa kita perlu menumpukan usaha kita kepada kerja penyebaran.”

MENYOKONG ARAHAN KRISTUS DENGAN SETIA

17, 18. Jika kita merenungkan manfaat yang diraih setelah mengikut arahan terkini, apakah hasilnya?

17 Arahan yang diberikan Raja kita, Yesus Kristus, bertujuan mempersiapkan kita untuk masa depan. Maka, bertumpulah kepada manfaat yang kita raih setelah mengikut arahan terkini. Semasa penyembahan keluarga, bincangkanlah bagaimana perubahan dalam perjumpaan atau kerja penyebaran telah membantu anda.

Adakah anda membantu keluarga dan orang lain maju seiring dengan organisasi Yehuwa? (Lihat perenggan 17, 18)

18 Jika kita sentiasa ingat bahawa arahan  daripada organisasi Yehuwa adalah untuk kebaikan kita, kita akan mengikut arahan itu dengan gembira. Kita sedar bahawa pengurangan jumlah bahan bacaan bercetak dapat menjimatkan wang. Maksudnya, penggunaan teknologi baharu akan membolehkan organisasi menyebarkan berita baik dengan lebih meluas lagi. Maka dapatkah kita menggunakan bahan terbitan elektronik dengan lebih kerap? Inilah salah satu cara untuk menyokong Kristus, yang ingin kita menggunakan sumber organisasi dengan bijak.

19. Mengapakah kita patut menyokong arahan Kristus?

19 Apabila kita menyokong arahan Kristus dengan sepenuh hati, kita dapat mengukuhkan iman orang lain dan menyumbang kepada perpaduan rakan seiman. Mengenai pengurangan saiz keluarga Bethel di serata dunia, André berkata, “Semangat yang ditunjukkan bekas ahli Bethel ketika menghadapi perubahan membuat saya menghormati mereka dan bertambah yakin kepada pimpinan Kristus. Mereka maju seiring dengan kenderaan Yehuwa dan tetap bersukacita tidak kira apa tugasan yang diberikan.”

TERUSLAH BERIMAN DAN YAKIN KEPADA PEMIMPIN KITA

20, 21. (a) Mengapakah kita dapat yakin kepada Kristus, Pemimpin kita? (b) Apakah soalan yang akan dijawab dalam rencana berikutnya?

20 Tidak lama lagi, Pemimpin kita, Yesus Kristus, akan “menakluki musuhnya” dan ‘melakukan perkara-perkara yang menakjubkan.’ (Why. 6:2; Mzm. 45:4) Kini, dia sedang mempersiapkan kita untuk kehidupan di dunia baharu, kerana pada masa pembangkitan nanti, terdapat kerja pendidikan dan pembinaan berskala besar yang menantikan kita.

21 Raja kita yang terurap pasti memimpin kita ke dunia baharu, tetapi kita mesti tetap yakin kepadanya tidak kira apa pun yang terjadi. (Baca Mazmur 46:1-3.) Namun, apabila hidup kita dilanda perubahan yang tidak terduga, bagaimanakah kita dapat tetap tenang dan yakin sepenuhnya kepada Yehuwa? Rencana berikut akan menjawab soalan ini.

^ per. 8 Para ahli kaji purba menjumpai banyak bijirin dalam runtuhan Yerikho. Hal ini menunjukkan bahawa kota itu tidak dikepung untuk masa yang lama, dan bahawa kota itu tidak kehabisan makanan. Memandangkan orang Israel dilarang mengambil barang dari Yerikho, serangan mereka dilancarkan pada masa yang tepat, kerana itulah musim menuai dan terdapat banyak makanan di ladang.​—Yos. 5:10-12.

^ per. 11 Lihat kotak “Paulus dengan Rendah Hati Menyambut Ujian” dalam Menara Pengawal terbitan 15 Mac 2003, ms. 24, dalam bahasa Indonesia.