Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Tunaikanlah Janji Anda!

Tunaikanlah Janji Anda!

“Lakukanlah apa yang telah kamu ikrarkan kepada Yehuwa.”​—MAT. 5:33.

LAGU: 124, 51

1. (a) Apakah persamaan antara Yefta dengan Hana? (Lihat gambar pada permulaan rencana.) (b) Apakah soalan yang akan dibincangkan dalam rencana ini?

YEFTA ialah seorang pemimpin dan pejuang yang perkasa; Hana pula seorang isteri yang taat dan suri rumah yang baik. Apakah persamaan antara mereka berdua? Mereka ialah penyembah Yehuwa yang setia, yang menunaikan ikrar mereka kepada-Nya. Mereka merupakan teladan baik bagi orang Kristian hari ini yang telah berikrar kepada Yehuwa. Namun, mari kita fikirkan soalan-soalan ini terlebih dahulu: Apa itu ikrar? Seberapa pentingkah ikrar kita kepada Tuhan? Apakah yang dapat kita pelajari daripada Yefta dan Hana?

2, 3. (a) Apa itu ikrar? (b) Apakah yang dikatakan Firman Tuhan tentang seberapa pentingnya ikrar kita kepada Tuhan?

2 Dalam Bible, ikrar merupakan janji yang dibuat kepada Tuhan. Seseorang mungkin berikrar, atau berjanji, untuk melakukan suatu tugas, memberi Tuhan sesuatu, menjalankan khidmat tertentu, atau menjauhi sesetengah perkara. Seseorang berikrar kepada Tuhan atas keputusan sendiri. Tetapi dalam mata Tuhan, ikrar itu suci dan mesti ditunaikan. Bagi Tuhan, ikrar sama pentingnya dengan sumpah atau nazar, iaitu janji bahawa seseorang akan atau tidak akan melakukan sesuatu. (Kej. 14:22, 23; Ibr. 6:16, 17) Apakah yang dikatakan Firman Tuhan tentang seberapa pentingnya ikrar kita kepada Tuhan?

 3 Hukum Musa menyatakan, ‘Apabila seorang lelaki bernazar ataupun bersumpah, dia tidak boleh memungkiri janjinya. Dia harus melakukan segala yang dikatakannya.’ (Bil. 30:2) Salomo juga menulis, ‘Apabila berjanji kepada Tuhan, tepatilah janji itu secepat mungkin. Tuhan tidak suka kepada orang bodoh. Tunaikanlah janji.’ (Pkh. 5:3) Yesus juga menunjukkan bahawa ikrar kita sangat serius. Dia berkata, “Kamu juga sudah mendengar apa yang dikatakan kepada orang dahulukala: ‘Jangan berjanji tanpa melakukannya. Lakukanlah apa yang telah kamu ikrarkan kepada Yehuwa.’”​—Mat. 5:33.

4. (a) Seberapa pentingkah ikrar kita kepada Tuhan? (b) Apakah yang akan kita pelajari daripada Yefta dan Hana?

4 Ikrar kita kepada Yehuwa sangat penting, dan sikap kita terhadapnya akan mempengaruhi hubungan kita dengan Tuhan. Daud menulis, ‘Siapakah yang boleh naik ke bukit Yehuwa dan masuk ke dalam Rumah-Nya yang suci? Orang yang tidak membuat janji palsu.’ (Mzm. 24:3, 4) Apakah yang diikrarkan oleh Yefta dan Hana? Apakah pengorbanan yang diperlukan untuk menunaikan ikrar mereka?

MEREKA MENUNAIKAN IKRAR

5. Apakah yang diikrarkan oleh Yefta? Apakah yang berlaku kemudian?

5 Yefta telah membuat satu janji kepada Yehuwa sebelum memerangi orang Amon yang sudah lama menindas umat Tuhan. (Hak. 10:7-9) Yefta ingin mendapat kemenangan, maka dia berikrar, ‘Jika Yehuwa membenarkan aku mengalahkan orang Amon, aku akan mempersembahkan orang yang pertama-tama keluar dari rumahku untuk menyambut aku, sekembalinya aku dari peperangan.’ Apakah yang berlaku kemudian? Orang Amon ditewaskan, dan anak perempuan kesayangan Yefta keluar menyambut kemenangannya. Maka anak perempuan Yefta harus ‘dipersembahkan’ kepada Yehuwa. (Hak. 11:30-34) Apakah pengorbanan yang harus dibuat oleh anaknya?

6. (a) Apakah pengorbanan yang diperlukan untuk menunaikan ikrar Yefta? (b) Apakah pengajaran penting yang anda peroleh daripada Ulangan 23:21, 23 dan Mazmur 15:4?

6 Untuk menunaikan ikrar Yefta, anak perempuannya perlu berkhidmat sepenuh masa kepada Yehuwa di khemah suci-Nya. Adakah ikrar Yefta dibuat secara terburu-buru? Tidak. Sebenarnya dia mungkin sudah menduga bahawa anak perempuannya ialah orang pertama yang akan menyambut kepulangannya. Namun, mereka berdua harus membuat pengorbanan yang sangat besar. Apabila Yefta nampak anak perempuannya, dia “mengoyak-ngoyakkan pakaiannya kerana dukacita” dan berkata, “Hancurlah hatiku!” Anak perempuannya pula ‘bersedih kerana mesti meninggal ketika masih dara.’ Mengapa? Yefta tiada anak lelaki, dan kini anak perempuannya yang tunggal tidak akan berkahwin dan melahirkan cucu untuk mewarisi nama keluarganya. Namun, perkara itu bukanlah hal yang terpenting bagi mereka. Yefta berkata, ‘Aku telah bersumpah kepada Yehuwa dan aku tidak dapat memungkiri janjiku!’ Anak perempuannya menjawab, “Lakukanlah apa saja terhadap diri saya untuk memenuhi janji ayah itu.” (Hak. 11:35-39) Ya, Yefta dan anak perempuannya setia kepada Tuhan. Mereka sama sekali tidak terfikir untuk membatalkan janji yang dibuat kepada Tuhan Yang Maha Tinggi, tidak kira betapa besarnya pengorbanan yang harus dibuat.​—Baca Ulangan 23:21, 23; Mazmur 15:4.

7. (a) Apakah ikrar Hana? Mengapakah dia membuat janji sedemikian, dan apakah yang berlaku kemudian? (b) Bagaimanakah ikrar Hana mempengaruhi Samuel? (Lihat nota kaki.)

 7 Hana juga menunaikan ikrarnya yang dibuat ketika dia sangat runsing dan resah. Pada masa itu, dia susah hati kerana dia mandul dan asyik dicemuh. (1 Sam. 1:4-7, 9, 10, 16) Hana meluahkan isi hatinya kepada Tuhan dan berikrar, ‘Ya Yehuwa Yang Maha Kuasa, perhatikanlah hamba-Mu ini. Lihatlah kesusahanku, dan ingatlah akan aku. Jangan lupakan aku. Jika Engkau memberikan seorang anak lelaki kepadaku, aku berjanji akan menyerahkan dia kepada-Mu seumur hidupnya. Rambutnya tidak akan dipotong.’ * (1 Sam. 1:11) Doa Hana dikabulkan, dan dia melahirkan seorang anak lelaki. Dia pasti girang hati, namun dia tidak melupakan ikrarnya kepada Tuhan. Setelah melahirkan anaknya, dia berkata bahawa anak itu ‘diminta daripada Yehuwa.’​—1 Sam. 1:20.

8. (a) Adakah mudah bagi Hana untuk menunaikan ikrarnya? (b) Bagaimanakah kata-kata Daud dalam Mazmur 61 mengingatkan anda tentang sikap baik Hana?

8 Sebaik sahaja Samuel bercerai susu, kira-kira pada umur tiga tahun, Hana membawa Samuel ke khemah suci di Silo seperti yang dijanjikannya kepada Tuhan. Dia berkata kepada Imam Agung Eli, ‘Saya minta anak ini daripada Yehuwa, dan Dia sudah mengabulkan permintaan saya. Oleh itu saya menyerahkan anak ini kepada Yehuwa. Anak ini akan menjadi milik Yehuwa seumur hidupnya.’ (1 Sam. 1:24-28) Di sana, ‘Samuel bertambah besar sementara dia mengabdi kepada Yehuwa.’ (1 Sam. 2:21) Apakah pengorbanan yang harus dibuat oleh Hana? Setelah Samuel pergi ke khemah suci, Hana tidak dapat berjumpa dengannya setiap hari. Sudah tentu Hana ingin memangku, mendukung, dan bermain dengan anak kesayangannya. Biarpun Hana telah mengorbankan banyak kegiatan yang menjadi kenangan indah bagi seorang ibu, dia tidak menyesal. Dia menunaikan ikrarnya kepada Yehuwa, dan Yehuwa telah menggembirakan hatinya.​—1 Sam. 2:1, 2; baca Mazmur 61:2, 6, 9.

Adakah anda menunaikan ikrar anda kepada Yehuwa?

9. Apakah soalan-soalan yang akan dijawab?

9 Setelah memahami betapa seriusnya ikrar kita kepada Yehuwa, mari kita bincangkan soalan-soalan ini: Apakah ikrar yang dibuat oleh orang Kristian hari ini? Sejauh manakah kita harus berusaha untuk menunaikan ikrar kita?

IKRAR PEMBAKTIAN ANDA

Ikrar pembaktian (Lihat perenggan 10)

10. Apakah ikrar yang terpenting bagi orang Kristian? Apakah yang terangkum dalam ikrar tersebut?

10 Ikrar terpenting bagi orang Kristian ialah ikrar pembaktian. Semasa membaktikan diri kepada Yehuwa, seseorang berdoa dan berjanji untuk berkhidmat kepada Tuhan buat selama-lamanya, tidak kira susah atau senang. Yesus mengatakan bahawa dengan membaktikan diri, kita “menolak kepentingan sendiri” dan berikrar bahawa kehendak Tuhan akan menjadi keutamaan hidup kita. (Mat. 16:24) Setelah membaktikan diri, seseorang akan menjadi ‘milik Yehuwa.’ (Rm. 14:8) Ikrar pembaktian memang janji yang sangat serius. Seorang pemazmur menulis, ‘Apakah yang dapat aku persembahkan kepada Yehuwa untuk segala kebaikan-Nya terhadap aku? Di hadapan semua umat-Nya, aku akan menunaikan janjiku kepada-Nya.’​—Mzm. 116:12, 14.

11. Apakah janji yang anda buat pada hari pembaptisan anda?

 11 Sudahkah anda membaktikan kehidupan anda kepada Yehuwa dan dibaptis? Jika ya, anda patut dipuji! Cuba ingat kembali hari pembaptisan anda. Anda ditanya di hadapan semua orang sama ada anda sudah membaktikan diri kepada Yehuwa dan memahami bahawa “melalui pembaktian dan pembaptisan anda, anda menjadi salah seorang Saksi-Saksi Yehuwa.” Dengan menjawab “ya,” anda berjanji di hadapan umum untuk membaktikan diri sebagai hamba Tuhan. Sudah pasti, Yehuwa berasa sangat gembira!

12. (a) Apakah soalan-soalan yang dapat kita tanya diri? (b) Menurut Petrus, apakah yang diperlukan untuk terus aktif dalam ibadat kita?

12 Namun, pembaptisan hanyalah titik permulaan. Selepas itu, kita perlu terus menyembah Tuhan dengan setia untuk menunaikan ikrar pembaktian kita. Oleh itu, tanyalah diri, “Sejak dibaptis, adakah saya terus maju secara rohani dan menyembah Yehuwa dengan sepenuh hati? (Kol. 3:23) Adakah saya berdoa, membaca Bible, menghadiri perjumpaan, dan menginjil, secara tetap? Atau, adakah semangat saya untuk melakukan hal-hal ini semakin lemah?” Jika kita ingin terus aktif dalam ibadat  kita, Rasul Petrus menyatakan bahawa kita perlu berusaha untuk meningkatkan pengetahuan, ketabahan, iman, dan pengabdian kepada Tuhan.​—Baca 2 Petrus 1:5-8.

13. Apakah sepatutnya pandangan seorang Kristian terhadap ikrar pembaktian?

13 Ikrar pembaktian kita tidak dapat dibatalkan. Maka, jika seseorang berasa jemu menyembah Yehuwa atau mengikut haluan hidup Kristian, dia tidak boleh berkata bahawa pembaktian dan pembaptisannya tidak sah. * Semasa dibaptis, dia telah menyatakan di hadapan umum bahawa dia sudah membaktikan diri kepada Tuhan. Jadi, dia bertanggungjawab kepada Tuhan dan sidang atas apa sahaja dosa serius yang mungkin dilakukannya. (Rm. 14:12) Kita tidak ingin Yesus menegur kita dan berkata, “Kasih yang kamu miliki pada mulanya sudah hilang.” Sebaliknya, kita ingin Yesus memuji kita dan berkata, “Aku mengetahui perbuatan kamu, kasih kamu, iman kamu, khidmat kamu, dan ketabahan kamu. Selain itu, aku tahu bahawa perbuatan kamu belakangan ini lebih banyak daripada perbuatan kamu pada mulanya.” (Why. 2:4, 19) Semoga kita terus menggembirakan hati Yehuwa dan hidup selaras dengan ikrar pembaktian kita.

IKRAR PERKAHWINAN ANDA

Ikrar perkahwinan (Lihat perenggan 14)

14. Apakah ikrar yang kedua penting, dan mengapa?

14 Ikrar perkahwinan merupakan ikrar yang kedua penting kerana perkahwinan itu suci. Di hadapan Tuhan dan saksi, pengantin lelaki dan perempuan melafazkan ikrar perkahwinan dan berjanji untuk mencintai, menyayangi, dan menghormati satu sama lain “selama [mereka] berdua hidup bersama di bumi.” Setelah melafazkan ikrar itu, seorang lelaki dan wanita menjadi suami isteri untuk seumur hidup. (Kej. 2:24; 1 Kor. 7:39) “Oleh itu, mereka yang telah disatukan oleh Tuhan tidak boleh dipisahkan oleh manusia.” Maka, pasangan yang melangkah ke alam perkahwinan tidak harus menganggap perceraian sebagai jalan keluar untuk menyelesaikan masalah.​—Mrk. 10:9.

15. Mengapakah orang Kristian tidak patut meremehkan perkahwinan?

15 Sudah tentu perkahwinan yang sempurna tidak pernah wujud. Memandangkan suami dan isteri tidak sempurna, Bible menyatakan bahawa orang yang berkahwin akan “menghadapi banyak kesusahan.” (1 Kor. 7:28) Sedihnya, ramai orang memandang remeh perkahwinan. Ketika hubungan suami isteri menjadi renggang, mereka meninggalkan pasangan hidup mereka tanpa berfikir panjang. Namun, perbuatan sebegini bukanlah amalan orang Kristian, kerana memungkiri ikrar perkahwinan tiada bezanya dengan berbohong kepada Tuhan. Ingatlah, Tuhan membenci orang yang menipu. (Im. 19:12; Ams. 6:16-19) Rasul Paulus menulis, “Jika kamu sudah beristeri, jangan lagi mencari jalan untuk berpisah dengannya.” (1 Kor. 7:27) Paulus berkata demikian kerana dia tahu bahawa Yehuwa membenci orang yang menggunakan tipu helah untuk bercerai.​—Mal. 2:13-16.

16. Apakah yang dijelaskan oleh Bible mengenai perceraian dan perpisahan?

16 Yesus mengajarkan bahawa perceraian hanya dibenarkan di sisi Bible jika seorang suami atau isteri telah berzina, dan pasangannya yang tidak bersalah enggan memaafkannya. (Mat. 19:9; Ibr. 13:4) Bagaimana  pula dengan perpisahan? Pendirian Bible juga jelas. (Baca 1 Korintus 7:10, 11.) Bible tidak menyatakan dasar yang membolehkan seseorang berpisah dengan pasangannya. Namun, sesetengah orang Kristian berasa bahawa mereka harus berpisah disebabkan situasi yang melampau, misalnya jika nyawa atau kerohanian mereka terancam, jika mereka didera, atau jika pasangan mereka menjadi murtad. *

17. Apakah yang dapat dilakukan oleh pasangan Kristian supaya perkahwinan mereka kekal?

17 Semasa pasangan yang menghadapi masalah perkahwinan meminta nasihat penatua, para penatua akan menggalakkan mereka untuk menonton video Apa Itu Cinta Sejati? dan mengkaji brosur Keluarga Anda Boleh Bahagia. Prinsip-prinsip yang terkandung dalam bahan-bahan itu dapat menguatkan perkahwinan mereka. Satu pasangan berkata, “Sejak mengkaji brosur ini, perkahwinan kami bertambah bahagia.” Seorang isteri yang hampir bercerai setelah berkahwin selama 22 tahun berkata, “Kami berdua sudah dibaptis, tetapi kami berasa sangat jauh secara emosi. Video itu memenuhi keperluan kami tepat pada masanya! Hubungan kami jauh lebih baik sekarang.” Adakah anda sudah berkahwin? Jika ya, berusahalah menerapkan prinsip-prinsip Yehuwa dalam perkahwinan anda. Dengan berbuat demikian, anda dapat menunaikan ikrar perkahwinan dengan sukacita!

IKRAR PEKHIDMAT KHAS SEPENUH MASA

18, 19. (a) Banyak ibu bapa Kristian menggalakkan anak-anak mereka untuk buat apa? (b) Bagaimanakah pekhidmat khas sepenuh masa memandang ikrar mereka?

18 Apakah persamaan lain antara Yefta dengan Hana? Oleh sebab ikrar yang dibuat mereka, anak-anak mereka dikhaskan untuk berkhidmat di khemah suci. Hasilnya, anak mereka menikmati haluan hidup yang sangat memuaskan. Hari ini, banyak ibu bapa Kristian menggalakkan anak-anak mereka untuk berkhidmat sepenuh masa dan mengutamakan kerja Tuhan. Mereka memang patut dipuji kerana berbuat demikian.​—Hak. 11:40; Mzm. 110:3.

Ikrar pekhidmat khas sepenuh masa (Lihat perenggan 19)

19 Kini, terdapat kira-kira 67,000 orang ahli dalam Persaudaraan Sedunia bagi Pekhidmat Khas Sepenuh Masa Saksi-Saksi Yehuwa. Mereka bekerja sebagai ahli Bethel, pembantu projek pembinaan, penyelia litar, pengajar sekolah teokratik di luar Bethel, perintis khas, mubaligh, atau penjaga kemudahan Dewan Perhimpunan atau sekolah Bible. Mereka semua telah menandatangani “Ikrar untuk Patuh dan Hidup Sederhana,” dan berjanji untuk melakukan apa sahaja tugasan yang diberikan untuk memajukan kerja Tuhan, untuk hidup sederhana, dan untuk tidak melakukan kerja sekular tanpa izin. Tugas mereka sangat istimewa, maka mereka harus hidup menurut ikrar itu selagi mereka merupakan pekhidmat khas sepenuh masa.

20. Apakah yang harus kita lakukan “setiap hari,” dan mengapa?

20 Kita telah membincangkan tiga jenis ikrar dalam rencana ini. Jika anda telah membuat ikrar-ikrar itu, janganlah memandang remeh ikrar anda. (Ams. 20:25) Jika kita memungkiri janji kita kepada Yehuwa, kita akan membangkitkan kemurkaan-Nya. (Pkh. 5:5) Maka, marilah kita ‘selalu menyanyikan pujian kepada Yehuwa, dan menepati janji kita setiap hari.’​—Mzm. 61:9.

^ per. 7 Menurut ikrar Hana, jika dia mendapat seorang anak, anak itu akan menjadi orang Nazir seumur hidupnya. Maksudnya, anak itu akan dikhaskan, dibaktikan, dan dikhususkan, untuk berkhidmat kepada Yehuwa.​—Bil. 6:2, 5, 8.

^ per. 13 Memandangkan para penatua mengambil langkah yang teliti untuk memastikan bahawa seseorang layak dibaptis, pembaptisan yang tidak sah jarang berlaku.

^ per. 16 Lihat lampiran yang bertajuk “Pandangan Bible tentang Perceraian dan Perpisahan” dalam buku “Terus Hidup di Bawah Naungan Kasih Tuhan.”