Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Pujilah Yehuwa dengan Sikap Rela Berkhidmat!

Pujilah Yehuwa dengan Sikap Rela Berkhidmat!

‘Pujilah Yehuwa! Rakyat rela berjuang.’​—HAK. 5:2.

LAGU: 84, 75

1, 2. (a) Apakah yang dikatakan oleh Elifas dan Bildad tentang khidmat kita kepada Yehuwa? (b) Apakah reaksi Yehuwa?

“APAKAH faedahnya bagi Yang Maha Kuasa, jika engkau melakukan kehendak-Nya? Apakah ada keuntungan bagi-Nya jika hidupmu sempurna?” (Ayb. 22:1-3) Semasa Elifas mengajukan soalan-soalan itu kepada Ayub, Elifas percaya bahawa jawapannya ialah “tiada.” Pernahkah anda terfikir hal-hal sebegini? Pernahkah anda tertanya-tanya sama ada kita berguna bagi Tuhan? Ramai yang berasa tidak. Rakan Elifas yang bernama Bildad bahkan menegaskan bahawa manusia tidak mungkin mendapat perkenan Tuhan.​—Baca Ayub 25:4.

2 Elifas dan Bildad mengatakan bahawa biarpun kita berusaha menyembah Yehuwa dengan setia, semuanya langsung tidak bernilai bagi Tuhan, dan di mata Tuhan, kita seperti rama-rama, serangga, atau cacing sahaja. (Ayb. 4:19; 25:6) Mungkin kita berasa bahawa mereka berkata demikian kerana mereka rendah hati. (Ayb. 22:29) Jika kita melihat manusia di bumi dari puncak gunung tinggi atau dari tingkap kapal terbang, manusia memang kelihatan amat kecil. Namun, semasa Yehuwa duduk di atas takhta-Nya di syurga dan melihat kita bekerja keras untuk Kerajaan-Nya, adakah Dia berasa bahawa semua usaha kita kecil  dan tidak penting? Tidak! Yehuwa murka terhadap Elifas, Bildad, dan Zofar, kerana mereka tidak bercakap benar, tetapi Dia bangga dengan ‘hamba-Nya Ayub.’ (Ayb. 42:7, 8) Ya, kita boleh menjadi ‘berguna bagi Tuhan.’

‘ADAKAH ENGKAU MENOLONG TUHAN?’

3. Apakah yang dikatakan oleh Elihu tentang khidmat kita kepada Yehuwa? Apakah maksudnya?

3 Yehuwa tidak menegur Elihu apabila dia bertanya, ‘Adakah engkau menolong Tuhan dengan perbuatan baikmu?’ (Ayb. 35:7) Adakah Elihu menyiratkan bahawa khidmat kita kepada Tuhan sia-sia sahaja? Tidak. Dia bermaksud bahawa Yehuwa tidak memerlukan kita untuk menyembah-Nya. Memandangkan Tuhan memiliki segala-galanya, kita tidak dapat membuat-Nya menjadi lebih kaya atau lebih kuat. Semua bakat, kelebihan, dan sifat baik, yang kita miliki merupakan anugerah Tuhan, dan Dia memerhatikan bagaimana kita menggunakan kurniaan itu.

4. Apabila kita berbuat baik kepada orang, Yehuwa menganggapnya sebagai apa?

4 Apabila seseorang menunjukkan kasih setia kepada penyembah Yehuwa, Tuhan menganggap bahawa orang itu sedang berbuat baik kepada diri-Nya. Amsal 19:17 menyatakan, ‘Menolong orang miskin sama seperti memberikan pinjaman kepada Yehuwa. Yehuwa sendiri akan membalasnya.’ Ya, biarpun Yehuwa ialah Pencipta alam semesta, Dia memerhatikan setiap seorang daripada kita semasa kita berbuat baik kepada orang yang lemah. Bukan itu sahaja, Dia menganggap bahawa Dia sedang meminjam daripada kita, dan Dia pasti membalasnya dengan berkat yang melimpah. Yesus, Anak Tuhan, telah mengesahkan hal itu.​—Baca Lukas 14:13, 14.

5. Apakah soalan-soalan yang akan kita kaji?

5 Yehuwa sudi menggunakan manusia untuk melakukan kehendak-Nya. Semasa Dia menjemput Yesaya untuk menjadi jurucakap-Nya, Yesaya menjawab, “Inilah aku. Utuslah aku!” (Yes. 6:8-10) Kini, ribuan orang juga menunjukkan semangat yang sama. Mereka rela menerima tugasan yang mencabar daripada Yehuwa. Namun, ada yang mungkin berfikir, “Saya berbesar hati kerana Yehuwa memberi saya penghormatan untuk berkhidmat kepada-Nya, tetapi adakah usaha peribadi saya penting? Bukankah kerja Yehuwa akan terlaksana juga tanpa usaha saya?” Mari kita mencari jawapannya melalui kisah Debora dan Barak.

TUHAN MENGUATKAN ORANG YANG DICENGKAM KETAKUTAN

6. Apakah perbezaan antara orang Israel dengan tentera Raja Yabin?

6 Selama 20 tahun, orang Israel dijajah “dengan kejam dan ganas” oleh Raja Yabin. Pada masa itu, penduduk kampung tidak berani keluar dari rumah. Orang Israel tidak mempunyai senjata untuk menyerang musuh ataupun mempertahankan diri, manakala tentera Yabin mempunyai 900 buah kereta kuda.​—Hak. 4:1-3, 13; 5:6-8. *

7, 8. (a) Apakah perintah Yehuwa kepada Barak? (b) Bagaimanakah tentera Raja Yabin ditewaskan? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

7 Melalui Debora, nabi wanita itu, Yehuwa memberikan perintah berikut kepada Barak: ‘Kerahlah 10,000 orang daripada suku Naftali dan suku Zebulon, dan pimpinlah mereka ke Gunung Tabor. Aku akan menyebabkan Sisera, panglima tentera Raja Yabin, berperang dengan engkau di Sungai Kison. Walaupun dia mempunyai  kereta kuda dan tentera, Aku akan memberi engkau kemenangan.’​—Hak. 4:4-7.

8 Apabila perintah itu diumumkan, 10,000 orang sukarelawan telah berkumpul di Gunung Tabor, dan Barak memimpin mereka ke medan perang seperti yang disuruh Yehuwa. (Baca Hakim-Hakim 4:14-16.) Semasa mereka bertempur di Taanakh, tiba-tiba hujan lebat turun sehingga medan perang menjadi padang lumpur. Kemudian Barak mengejar tentera Sisera sejauh 24 km sampai ke Haroset. Dalam perjalanan itu, Sisera meninggalkan kereta kudanya dan berlari ke Zaanaim yang terletak berhampiran Kedes. Dia bersembunyi di dalam khemah Yael, isteri Heber, orang Keni itu. Apabila Sisera tertidur kerana sangat letih, Yael telah memberanikan diri untuk membunuhnya. (Hak. 4:17-21) Akhirnya, musuh orang Israel ditewaskan! *

SIKAP YANG SANGAT BERBEZA

9. Apakah maklumat yang dinyatakan di Hakim-Hakim 5:20, 21 tentang peperangan untuk melawan Sisera?

9 Apabila kita mengkaji Hakim-Hakim bab 4 dan 5, kita akan mendapat maklumat yang lebih terperinci. Contohnya, Hakim-Hakim 5:20, 21 menyatakan, “Dari tempat peredaran bintang di angkasa, bintang turut berjuang melawan Sisera. Air deras Sungai Kison menghanyutkan musuh.” Kita tidak pasti sama ada bintang itu merujuk kepada malaikat atau hujan meteor. Tetapi yang pasti, Tuhan telah membantu mereka, kerana hujan lebat itu turun di tempat dan pada masa yang tepat sehingga 900 buah kereta kuda musuh dihanyutkan. Jelaslah bahawa penyelamatan itu bukan jasa 10,000 orang askar Israel. Sebanyak tiga kali, Hakim-Hakim 4:14, 15 menyatakan bahawa kemenangan itu diberikan oleh Yehuwa.

10, 11. Mengapakah kota Meros dikutuk?

10 Namun, semasa menyanyikan lagu untuk memuji Yehuwa, Debora dan Barak menyatakan sesuatu yang menarik: ‘“Kutuklah Meros,” sabda malaikat Yehuwa, “kutuklah, kutuklah penduduk di sana. Mereka tidak datang memberikan bantuan sebagai pahlawan yang berjuang untuk Yehuwa.”’​—Hak. 5:23.

11 Nampaknya kutukan yang menimpa Meros begitu dahsyat sehingga kita tidak tahu lokasi Meros hari ini. Barangkali Meros ialah nama kota yang penduduknya tidak datang untuk membantu Barak. Mereka pasti ada mendengar perintah Yehuwa, kerana 10,000 orang askar telah menawarkan diri untuk melawan musuh. Jika Meros ialah kawasan yang dilalui Sisera semasa dia melarikan diri, penduduk Meros mempunyai peluang keemasan untuk memberkas musuh Yehuwa. Seandainya mereka berbuat demikian, mereka pasti diberkati Yehuwa kerana bertindak selaras dengan tujuan-Nya. Namun pada saat genting itu, mereka duduk berpeluk tubuh dan langsung tidak ambil peduli. Sikap mereka sangat berbeza daripada Yael yang bertindak dengan berani!​—Hak. 5:24-27.

12. Apakah perbezaan sikap yang digambarkan di Hakim-Hakim 5:9, 10? Apakah pengajarannya untuk kita?

12 Hakim-Hakim 5:9, 10 juga membandingkan sikap orang yang berjuang bersama-sama Barak dengan sikap mereka yang tidak menyertainya. Debora dan Barak “bangga dengan para panglima Israel dan dengan rakyat yang rela berjuang.” Para pejuang itu sangat berbeza dengan orang  yang “menunggang keldai putih,” yang “duduk di atas pelana,” dan yang “berjalan kaki.” Bagi mereka, berperang bersama Barak di cerun Gunung Tabor dan tanah becak di Lembah Kison terlalu menyusahkan. Maka kata-kata dalam nota kaki di ayat 10 menggesa mereka, “Fikirkanlah hal itu.” Ya, orang yang suka hidup senang-lenang itu harus memikirkan hakikat bahawa mereka telah melepaskan peluang untuk berkhidmat kepada Yehuwa. Begitu juga, kita harus memikirkan sama ada kita rela berkhidmat kepada Yehuwa dengan sedaya upaya atau tidak.

13. Bagaimanakah sikap suku Ruben, Dan, dan Asyer, berbeza daripada suku Zebulon dan Naftali?

13 Orang Israel yang rela berkhidmat telah menyaksikan bagaimana Yehuwa mempertahankan kedaulatan-Nya. Mereka pasti berbesar hati semasa ‘memberitakan kemenangan Yehuwa.’ (Hak. 5:11) Hakim-Hakim 5:15-17 menyatakan bahawa suku Ruben, Dan, dan Asyer, terlalu mementingkan ternakan dan kapal-kapal mereka sehingga mereka mengetepikan kerja Yehuwa. Tetapi “suku Zebulon dan suku Naftali mempertaruhkan nyawa” untuk menyokong Debora dan Barak. (Hak. 5:18) Sikap mereka patut menjadi teladan bagi kita semua.

‘PUJILAH YEHUWA!’

14. Bagaimanakah kita menyokong kedaulatan Yehuwa pada hari ini?

14 Dewasa ini, kita tidak dijemput untuk bertempur di medan perang. Namun kita diberi penghormatan besar untuk melakukan aktiviti penyebaran dengan berani dan bersemangat. Keperluan organisasi Yehuwa untuk pekerja sukarela semakin meningkat. Jutaan saudara saudari, baik yang tua mahupun yang muda, telah menawarkan diri untuk berkhidmat sebagai perintis, ahli Bethel, pembantu pembinaan Dewan Perjumpaan, dan pekerja sukarela bagi perhimpunan dan konvensyen. Selain itu, ramai penatua memikul tanggungjawab yang berat dalam Jawatankuasa Perhubungan Hospital dan membantu  mengaturkan konvensyen. Adakah anda juga menawarkan diri dalam khidmat sebegini? Jika ya, yakinlah bahawa Yehuwa sangat menghargai kerelaan anda; Dia tidak akan melupakannya sama sekali.​—Ibr. 6:10.

Sebelum membuat keputusan, fikirkanlah kesannya kepada keluarga dan sidang anda (Lihat perenggan 15)

15. Apakah yang boleh kita lakukan untuk memastikan bahawa kita tetap melakukan kerja Tuhan dengan bersemangat?

15 Kita masing-masing harus bertanya kepada diri sendiri, “Adakah saya membiarkan orang lain memikul kebanyakan tugas? Adakah saya terlalu mementingkan kebendaan sehingga semangat kerelaan saya menjadi semakin lemah? Seperti Barak, Debora, Yael, dan 10,000 orang pejuang yang rela berkhidmat, adakah saya menunjukkan iman dan keberanian untuk melakukan kehendak Yehuwa dengan sedaya upaya? Jika saya sedang berfikir untuk berpindah ke kota atau negara lain kerana menginginkan pendapatan yang lebih tinggi, sudahkah saya berdoa dan berfikir masak-masak tentang bagaimana keputusan saya akan mempengaruhi keluarga dan sidang saya?” *

16. Apakah yang dapat kita berikan kepada Yehuwa?

16 Sejak zaman Adam dan Hawa, Si Iblis ingin menggoda manusia untuk berpihak kepadanya. Tetapi, kita diberi peluang untuk menunjukkan dengan jelas bahawa kita sedang menyokong pemerintahan Yehuwa. Bukankah hal itu suatu penghormatan yang besar daripada Yehuwa? Iman dan kesetiaan di sebalik semangat kerelaan kita sangat menyenangkan hati Yehuwa. (Ams. 23:15, 16) Apabila kita menyokong Yehuwa melalui tindakan kita, kita membuat hati-Nya gembira dan membolehkan-Nya menjawab celaan Syaitan. (Ams. 27:11) Bagi Yehuwa, ketaatan dan kesetiaan kita merupakan pemberian yang amat berharga.

17. Apakah yang dinubuatkan di Hakim-Hakim 5:31?

17 Tidak lama lagi, semua orang di bumi akan menyokong kedaulatan Yehuwa. Sudah pasti kita menanti-nantikan masa itu! Seperti Debora dan Barak, kita akan berseru, ‘Semoga semua musuh-Mu, ya Yehuwa, mati seperti Sisera; tetapi semoga sahabat-Mu megah seperti suria di angkasa!’ (Hak. 5:31) Yehuwa akan mengabulkan permohonan itu semasa Dia mengakhiri dunia jahat Syaitan. Ketika perang Armagedon bermula, kita tidak perlu menawarkan diri untuk melawan musuh. Itulah masanya kita ‘mengambil tempat kita dan melihat Yehuwa memberi kita kemenangan.’ (2 Taw. 20:17) Namun sebelum hari itu tiba, marilah kita menggunakan setiap peluang yang ada untuk menyokong Yehuwa dengan berani dan penuh semangat!

18. Bagaimanakah sikap rela berkhidmat anda mendorong orang lain?

18 ‘Pujilah Yehuwa! Rakyat rela berjuang.’ Lagu kemenangan Debora dan Barak bermula dengan pujian kepada Tuhan Yang Maha Tinggi, bukan kepada manusia. (Hak. 5:1, 2) Semoga kerelaan anda untuk berkhidmat juga menggerakkan orang lain untuk memuji Yehuwa!

^ per. 6 Kereta kuda Yabin dilengkapi dengan pedang besi yang dipasang pada roda. Kereta kuda sedemikian pasti sangat menggerunkan.

^ per. 8 Untuk maklumat yang lanjut tentang kisah ini, sila baca rencana “‘Aku Bangkit Sebagai Ibu di Israel’” dalam majalah Menara Pengawal, terbitan 1 Ogos 2015 dalam bahasa Indonesia.

^ per. 15 Lihat rencana “Khuatir tentang Wang” dalam majalah Menara Pengawal edisi umum terbitan 1 Julai 2015 yang bertajuk “Cara Menangani Kekhuatiran.”