Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Apabila Kerajaan Tuhan Datang, Apakah yang Akan Dilenyapkan?

Apabila Kerajaan Tuhan Datang, Apakah yang Akan Dilenyapkan?

“Dunia dan segala sesuatu di dalamnya yang diingini oleh manusia sedang berlalu, tetapi orang yang melakukan kehendak Tuhan akan hidup selama-lamanya.”​—1 YOH. 2:17.

LAGU: 139, 144

1, 2. (a) Bagaimanakah sistem dunia ini ibarat seorang banduan yang bakal dihukum mati? (Lihat gambar pada permulaan rencana.) (b) Setelah sistem dunia ini dimusnahkan, apakah reaksi semua makhluk di alam semesta?

BAYANGKAN situasi ini: Seorang penjahat yang terkenal telah dijatuhkan hukuman mati. Kini dia sedang dibawa dari penjaranya untuk dihukum mati. Walaupun dia nampaknya sihat walafiat, tetapi dia seolah-olah sudah mati.

2 Sistem dunia ini ibarat seorang banduan yang bakal dihukum bunuh. Tuhan sudah menjatuhkan hukuman atas dunia jahat ini, dan akhir dunia ini sudah di ambang pintu, kerana Bible menyatakan bahawa dunia ini “sedang berlalu.” (1 Yoh. 2:17) Semasa seorang penjahat dihukum mati, sesetengah pihak mungkin berasa hukuman itu tidak adil, dan ada yang berharap agar dia dibenarkan hidup. Namun, keputusan untuk membinasakan sistem dunia ini dibuat oleh Yehuwa, Pemerintah Alam Semesta yang adil dan saksama. (Ul. 32:4) Hukuman itu tidak akan ditangguhkan ataupun dibatalkan. Selepas itu, semua makhluk di alam semesta akan menghela nafas lega kerana setuju bahawa tindakan Yehuwa memang adil.

3. Apakah empat perkara yang akan lenyap apabila Kerajaan Tuhan datang?

 3 Apakah yang terangkum dalam ‘dunia yang sedang berlalu’ itu? Hal-hal buruk yang dianggap biasa pada hari ini akan berlalu. Sebenarnya, itulah sebahagian daripada “berita baik tentang Kerajaan Tuhan.” (Mat. 24:14) Mari kita lihat empat perkara yang akan lenyap apabila Kerajaan Tuhan datang: Orang jahat, pertubuhan yang jahat, kegiatan yang salah, dan keadaan yang buruk. Kita juga akan mengkaji (1) bagaimana perkara-perkara itu mempengaruhi kita, (2) apa yang akan dilakukan oleh Yehuwa terhadap perkara-perkara itu, dan (3) bagaimana Yehuwa akan menggantikannya dengan perkara yang baik.

ORANG JAHAT

4. Bagaimanakah orang jahat mempengaruhi kita sekarang?

4 Bagaimanakah orang jahat mempengaruhi kita sekarang? Setelah menubuatkan bahawa zaman ini ialah “masa genting yang sukar dihadapi,” Rasul Paulus menambah, “Orang jahat dan penyamar akan menjadi semakin jahat.” (2 Tim. 3:1-5, 13) Adakah kata-kata itu terbukti benar? Ramai antara kita pernah menjadi mangsa kepada pembuli yang ganas, orang yang rasis, dan penjenayah yang kejam. Sesetengah orang berbuat jahat secara terbuka, manakala yang lain berselindung di sebalik topeng keadilan. Biarpun kita bukan mangsa orang sebegini, kita masih berasa meluat ketika mendengar bagaimana mereka menindas kanak-kanak, orang tua, dan orang yang lemah. Sifat mereka yang umpama binatang buas dan roh-roh jahat sungguh menakutkan. (Yak. 3:15) Namun, berita baik dalam Firman Yehuwa memberi kita harapan.

5. (a) Apakah peluang yang diberikan kepada orang jahat? (b) Apakah kesudahan orang jahat yang enggan berubah?

5 Apakah yang akan dilakukan Yehuwa? Walaupun Tuhan sudah menjatuhkan hukuman atas sistem dunia ini, kesudahan setiap individu masih belum ditentukan. Tuhan masih memberi orang jahat peluang untuk berubah. (Yes. 55:7) Tetapi jika orang jahat enggan berubah dan terus menyokong sistem dunia ini, mereka akan dihukum semasa kesengsaraan besar. (Baca Mazmur 37:10.) Pada hari ini, banyak orang jahat pandai menutupi kesalahan sendiri, dan nampaknya mereka berjaya mengelakkan diri daripada dihukum atau menanggung akibat perbuatan sendiri. (Ayb. 21:7, 9) Namun, Bible menyatakan, ‘Tuhan memperhatikan kelakuan manusia, dan meneliti semua langkah mereka. Tiada kegelapan yang cukup gelapnya untuk menyembunyikan orang berdosa.’ (Ayb. 34:21, 22) Tiada apa-apa pun yang dapat disembunyikan daripada Yehuwa. Tiada penyamar yang dapat memperdaya-Nya, dan tiada kegelapan yang dapat mengelabui mata-Nya. Selepas Armagedon, biarpun kita mencari orang jahat, batang hidung mereka pun tidak akan kelihatan, kerana mereka sudah dilenyapkan untuk selama-lamanya!​—Mzm. 37:12-15.

6. Siapakah yang akan menggantikan orang jahat? Mengapakah perkara ini merupakan berita baik?

6 Siapakah yang akan menggantikan orang jahat? Yehuwa berjanji, “Orang yang rendah hati akan mewarisi negeri ini, dan menikmati kemakmuran yang berlimpah-limpah.” Dia juga berkata, “Orang yang salih akan memiliki negeri ini, dan tinggal di sini selama-lamanya.” (Mzm. 37:11, 29) Siapakah orang yang “rendah hati” dan “salih”? Orang yang rendah hati ialah mereka yang  rela menuruti ajaran dan bimbingan Yehuwa, manakala orang yang salih ialah mereka yang melakukan apa yang benar di mata Tuhan Yehuwa. Berbanding dengan orang jahat, orang baik hari ini hanyalah golongan minoriti. Namun dunia baharu nanti akan diduduki orang baik sahaja. Merekalah yang akan mengubah bumi ini menjadi firdaus!

PERTUBUHAN YANG JAHAT

7. Bagaimanakah pertubuhan jahat mempengaruhi kita hari ini?

7 Bagaimanakah pertubuhan jahat mempengaruhi kita hari ini? Dalang utama kejahatan di dunia ini bukanlah individu-individu, tetapi sesetengah pertubuhan. Sebagai contoh, pertubuhan agama menipu jutaan orang dan menyebarkan ajaran yang salah tentang Tuhan, kebenaran Bible, masa depan bumi dan manusia, dan lain-lain lagi. Banyak kerajaan menyokong peperangan dan keganasan etnik, menindas orang miskin yang tidak berdaya, mengamalkan rasuah, dan berat sebelah. Syarikat-syarikat yang tamak pula mencemarkan alam sekitar, menghabiskan sumber semula jadi, dan menipu pengguna. Akibatnya, segelintir orang hidup kaya-raya sedangkan jutaan orang terpaksa hidup melarat. Tidak dapat dinafikan bahawa pertubuhan yang jahat telah menyebabkan banyak kesusahan dalam dunia ini.

8. Menurut Bible, apakah yang akan berlaku kepada kerajaan dan organisasi manusia yang nampaknya kukuh pada hari ini?

8 Apakah yang akan dilakukan oleh Yehuwa terhadap pertubuhan-pertubuhan yang jahat? Kesengsaraan besar akan tercetus apabila kuasa-kuasa politik menyerang dan melenyapkan Babilon Besar, iaitu semua agama palsu. (Why. 17:1, 2, 16; 18:1-4) Bagaimana pula dengan pertubuhan-pertubuhan lain yang jahat? Dalam Bible, kerajaan dan organisasi manusia yang nampaknya kukuh, digambarkan seperti gunung dan pulau. (Baca Wahyu 6:14.) Namun, semua pertubuhan dan kerajaan yang menentang Kerajaan Tuhan akan roboh dan hancur. Hal itu akan berlaku semasa akhir kesengsaraan besar. (Yer. 25:31-33) Semua pertubuhan yang jahat itu akan dilenyapkan sama sekali!

9. Mengapakah kita yakin bahawa bumi baharu akan diatur dengan baik?

9 Apakah yang akan menggantikan pertubuhan-pertubuhan yang jahat? Selepas Armagedon, adakah bumi masih mempunyai apa-apa organisasi? Bible menyatakan, “Kita menantikan apa yang sudah dijanjikan Tuhan, iaitu langit baru dan bumi baru. Di situ perkara-perkara yang baik akan berkekalan.” (2 Ptr. 3:13) Langit lama, iaitu kerajaan-kerajaan yang jahat, dan bumi lama, iaitu manusia yang dikawal oleh semua kerajaan itu, akan dilenyapkan. Semua itu akan digantikan dengan “langit baru dan bumi baru,” iaitu kerajaan dan rakyat yang baharu. Kerajaan baharu itu ialah Kerajaan Tuhan yang diperintah oleh Yesus Kristus dan 144,000 orang pembantunya. Bumi yang baharu pula merujuk kepada masyarakat yang diperintah oleh Kerajaan Tuhan. Pemerintahan Yesus dan Kerajaannya akan mencerminkan sifat-sifat Yehuwa, Tuhan yang teratur. (1 Kor. 14:33, 40) Di bawah bimbingan Yesus dan 144,000 orang pembantunya, wakil-wakil akan dilantik untuk menjaga dan mengurus hal-hal di “bumi baru.” (Mzm. 45:17) Bayangkan masanya apabila semua pertubuhan yang jahat digantikan dengan sebuah organisasi yang murni dan bersatu padu!

 KEGIATAN YANG SALAH

10. Apakah kegiatan-kegiatan jahat yang sering terjadi di kawasan anda? Bagaimanakah kegiatan sedemikian menjejaskan kehidupan anda dan keluarga anda?

10 Bagaimanakah kegiatan yang salah mempengaruhi kita sekarang? Dunia kita sarat dengan penipuan, perbuatan yang tidak bermoral, dan keganasan yang melampau. Akibatnya, ibu bapa terpaksa bertungkus lumus untuk melindungi anak-anak mereka. Dunia hiburan pula semakin gemar merendah-rendahkan piawaian Yehuwa tentang apa yang salah dan betul, dan memaparkan salah laku sebagai perbuatan yang hebat. (Yes. 5:20) Oleh itu, orang Kristian harus berusaha untuk melawan arus dunia yang jahat. Biarpun orang di sekeliling mereka tidak menghormati piawaian Yehuwa, mereka bertekad untuk tetap setia kepada Tuhan.

11. Apakah yang dapat kita pelajari daripada tindakan Yehuwa terhadap Sodom dan Gomora?

11 Apakah yang akan dilakukan Yehuwa terhadap kegiatan yang salah? Mari kita fikirkan apa yang berlaku di Sodom dan Gomora. Semasa tinggal di situ, Lot, seorang yang baik, merana kerana melihat perbuatan jahat yang terjadi di sekeliling keluarganya. (Baca 2 Petrus 2:6-8.) Oleh sebab penduduk Sodom dan Gomora begitu jahat, Yehuwa telah memusnahkan seluruh kawasan tersebut. Namun, tindakan-Nya itu bukan untuk mengakhiri kejahatan di sebuah kawasan sahaja. Bible menyatakan bahawa tindakan Yehuwa merupakan ‘amaran tentang apa yang bakal berlaku kepada orang yang tidak menghormati Tuhan.’ Sepertimana Yehuwa mengakhiri segala perbuatan yang tidak bermoral pada masa lampau, Dia akan membanteras semua kegiatan yang salah apabila Dia menghukum sistem dunia ini.

12. Selepas dunia lama ini lenyap, apakah kegiatan yang anda nanti-nantikan?

12 Apakah yang akan menggantikan kegiatan yang salah? Penduduk bumi Firdaus akan menikmati pelbagai kegiatan yang menggembirakan. Bayangkan betapa seronoknya kita semasa mengubah bumi menjadi Firdaus dan membina rumah untuk diri kita dan orang tersayang! Kita juga berpeluang menyambut jutaan orang yang akan dibangkitkan, dan kita akan mengajar mereka tentang haluan Yehuwa dan segala yang telah dilakukan-Nya demi umat manusia. (Yes. 65:21, 22; Kis. 24:15) Kita akan sangat sibuk di dunia baharu nanti, tetapi semua kegiatan kita akan mendatangkan sukacita kepada kita dan membawa pujian kepada Yehuwa!

KEADAAN YANG BURUK

13. Bagaimanakah pemberontakan Syaitan, Adam, dan Hawa, mempengaruhi kita semua hari ini?

13 Bagaimanakah keadaan yang buruk mempengaruhi kita sekarang? Orang jahat, pertubuhan yang jahat, dan kegiatan yang salah di dunia ini, menyebabkan keadaan hidup kita bertambah buruk. Siapakah antara kita yang tidak dipengaruhi peperangan, kemiskinan, atau prasangka kaum? Siapakah antara kita yang kebal terhadap penyakit dan kematian? Pemberontakan Syaitan, Adam, dan Hawa, merupakan akar umbi semua masalah itu. Disebabkan perbuatan tiga individu itu, tiada seorang pun yang terkecuali daripada hidup yang sengsara.

14. Apakah yang akan dilakukan Yehuwa terhadap keadaan yang buruk? Berikan contoh.

14 Apakah yang akan dilakukan Yehuwa terhadap keadaan yang buruk? Yehuwa telah berjanji untuk menghentikan peperangan  buat selama-lamanya. (Baca Mazmur 46:9, 10.) Adakah penyakit akan dilenyapkan? Bible menyatakan bahawa tiada orang yang akan “mengeluh kerana sakit.” (Yes. 33:24) Bagaimana pula dengan kematian? Yehuwa akan “melenyapkan kematian buat selama-lamanya.” (Yes. 25:8) Dia juga akan membasmi kemiskinan. (Mzm. 72:12-16) Ya, Yehuwa akan menyingkirkan segala onak dan duri dalam kehidupan kita. Biarpun pengaruh buruk Syaitan dan roh-roh jahat menyelubungi seluruh dunia ini bagai udara yang tercemar, semuanya akan lenyap sama sekali.​—Ef. 2:2.

Bayangkan dunia tanpa peperangan, kesakitan, atau kematian! (Lihat perenggan 15)

15. Apakah yang tidak diperlukan lagi selepas Armagedon?

15 Bayangkan dunia tanpa peperangan, penyakit, dan kematian. Tiada lagi tentera darat, laut, mahupun udara! Tiada lagi senjata dan tugu peringatan untuk askar yang terkorban. Tiada lagi hospital, doktor, jururawat, insurans kesihatan, bilik mayat, upacara pengebumian, ataupun kuburan! Tanpa jenayah, kita tidak lagi memerlukan sistem keselamatan dan polis. Barangkali, mangga dan kunci pun tidak diperlukan ketika itu! Semua perkara yang merunsingkan kita itu tidak akan wujud lagi.

16, 17. (a) Bagaimanakah rasanya kehidupan selepas Armagedon? Berikan contoh untuk menjelaskannya. (b) Apakah yang harus kita lakukan supaya kita tidak lenyap bersama dunia lama ini?

16 Bagaimanakah rasanya kehidupan tanpa keadaan yang buruk? Memang bukan senang untuk membayangkannya. Mengapa? Fikirkan contoh ini: Orang yang tinggal berdekatan stesen kereta api mungkin sudah biasa dengan bunyi kereta api. Mereka yang tinggal berdekatan tempat pembuangan sampah pula mungkin sudah biasa dengan bau sampah. Demikian juga, kita sudah hidup begitu lama dalam dunia Syaitan sehingga kita menjadi biasa dengan keadaan dunia yang teruk ini. Tetapi bayangkan betapa leganya hati kita apabila semua keadaan yang buruk itu menjadi kisah silam!

17 Apakah yang akan menggantikan segala kekhuatiran hidup sekarang? Mazmur 37:11 menyatakan, “Orang yang rendah hati akan mewarisi negeri ini, dan menikmati kemakmuran yang berlimpah-limpah.” Tidakkah ayat ini menyentuh hati anda? Itulah masa depan yang disediakan oleh Yehuwa untuk anda. Maka, berpautlah pada Yehuwa dan organisasi-Nya semasa hari-hari terakhir yang genting ini! Hargailah harapan anda, renungkannya selalu, beritahulah orang lain tentangnya, dan pastikan harapan itu sentiasa membara di hati dan minda anda! (1 Tim. 4:15, 16; 1 Ptr. 3:15) Dengan melakukannya, anda tidak akan lenyap bersama dunia lama ini. Sebaliknya, anda akan terus hidup dan bersukacita untuk selama-lamanya!