Lompat ke kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Panduan untuk Perjumpaan Kehidupan dan Kegiatan Kristian Kita

Panduan untuk Perjumpaan Kehidupan dan Kegiatan Kristian Kita

Kandungan

 

Perenggan

Kata-Kata Pembuka

 2

Harta Karun dalam Firman Tuhan

 3

Jadilah Penginjil yang Lebih Mahir

 4

Kehidupan Kristian Kita

 5

Kata-Kata Penutupan

 6

Curahkan Usaha untuk Membaca dan Mengajar

 7

Memberikan Nasihat

 8

Masa

 9

Kunjungan Penyelia Litar

 10

Minggu Perhimpunan atau Konvensyen

 11

Minggu Peringatan

 12

Penyelia Perjumpaan Kehidupan dan Kegiatan Kristian

 13

Pengerusi Perjumpaan Kehidupan dan Kegiatan Kristian

 14

Koordinator Badan Penatua

 15

Penasihat Tambahan

 16

Kelas Tambahan

 17

Video

 18

1. Perjumpaan Kehidupan dan Kegiatan Kristian akan berlangsung seperti yang dinyatakan dalam Lembaran Kerja Kehidupan dan Kegiatan Kristian dan juga mengikut garis panduan yang berikut. Semua penyiar harus dijemput untuk menyampaikan tugasan pelajar. Mereka yang bergaul dengan sidang secara tetap, bersetuju dengan ajaran Bible, dan hidup selaras dengan prinsipnya, juga layak untuk menyampaikan tugasan.​—be-IN ms. 282.

 2. Kata-Kata Pembuka: Tidak melebihi 3 minit. Setiap minggu, selepas lagu dan doa pembukaan, pengerusi Perjumpaan Kehidupan dan Kegiatan Kristian akan membangkitkan minat hadirin untuk bahagian-bahagian perjumpaan. Dalam kata-kata pembukaannya, dia juga akan menyatakan soalan ulang kaji daripada Kertas Jawapan bagi Perjumpaan Kehidupan dan Kegiatan Kristian.

 3. Harta Karun dalam Firman Tuhan:

  • Ceramah: 10 minit. Tema dan sebuah rangka yang terdiri daripada dua atau tiga isi utama telah disediakan dalam Lembaran Kerja Kehidupan dan Kegiatan Kristian. Ceramah ini patut ditugaskan kepada seorang penatua atau pembantu sidang yang layak. Semasa buku Bible baharu dijadualkan untuk pembacaan Bible mingguan, sebuah video yang memperkenalkan buku itu akan ditayangkan. Penceramah boleh mengaitkan isi video dengan tema ceramah. Namun, dia harus meliputi isi-isi dalam lembaran kerja. Jika masa mengizinkan, dia juga harus menggunakan gambar, prinsip Bible, dan maklumat tambahan yang disediakan khas untuk ceramah tersebut.

  •   Mencari Permata Rohani: 8 minit. Bahagian soal jawab ini akan dikendalikan oleh seorang penatua atau pembantu sidang yang layak. Kata-kata pengenalan dan penutupan tidak diperlukan. Dia dapat membahagikan masanya menurut keperluan sidang. Namun, semua soalan harus ditanya. Saudara yang mengendalikan bahagian ini boleh menentukan sama ada semua ayat yang tertera dalam dua soalan yang pertama perlu dibaca atau tidak. Komen yang diberikan hadirin tidak harus melebihi 30 saat.

  • Pembacaan Bible: Tidak melebihi 4 minit. Tugasan ini akan dikendalikan oleh seorang saudara. Pelajar harus membaca petikan yang ditugaskan tanpa memberikan kata-kata pengenalan atau penutupan. Pengerusi perjumpaan akan berusaha membantu pelajar untuk membaca dalam cara yang berikut: tepat, lancar, gaya yang bersahaja, berhenti apabila perlu, menggunakan penekanan dan alunan suara yang sesuai, dan memahami serta menyampaikan isi pembacaan dengan tepat.

  4. Jadilah Penginjil yang Lebih Mahir: Tidak melebihi 15 minit. Bahagian perjumpaan ini bertujuan untuk melatih dan meningkatkan kemahiran dalam kerja penyebaran, baik menginjil ataupun mengajar. Pelajar yang mengendalikan tugasan kunjungan pertama, kunjungan kembali, dan kunjungan kembali yang kedua harus merujuk kepada cadangan topik perbualan yang tertera pada muka surat pertama dalam Lembaran Kerja Kehidupan dan Kegiatan Kristian. Penyiar boleh menentukan sama ada ingin memperkenalkan bahan bacaan atau video yang telah disediakan dalam Bahan Utama untuk Mengajar. Masa yang diperuntukkan bagi setiap tugasan dinyatakan dalam Lembaran Kerja Kehidupan dan Kegiatan Kristian, dan ada kalanya, terdapat arahan tambahan untuk tugasan-tugasan pelajar. Pelajar tidak perlu menggunakan maklumat tambahan semata-mata untuk menghabiskan masa yang diperuntukkan. Sesetengah demonstrasi yang disediakan dengan baik dapat disampaikan dalam masa yang lebih singkat, mungkin 1-2 minit lebih pendek daripada masa yang ditetapkan. Jika perlu, tugasan-tugasan boleh diberikan kepada penatua.

  • Video Cadangan Topik Perbualan: Setiap bulan, terdapat video-video cadangan topik perbualan yang akan dimainkan dan dibincangkan. Video-video ini akan menunjukkan kunjungan pertama, kunjungan kembali, dan kunjungan kembali yang kedua. Bahagian ini akan dikendalikan oleh pengerusi Perjumpaan Kehidupan dan Kegiatan Kristian.

  • Kunjungan Pertama: Tugasan ini boleh diberikan kepada seorang saudara atau saudari. Pembantunya haruslah merupakan ahli keluarganya atau seseorang yang sama jantina dengannya. Pelajar dan pembantunya boleh berdiri atau duduk. Pelajar harus bertegur sapa dengan cara yang sesuai dengan kebiasaan tempatan. Pelajar harus menggunakan cadangan topik perbualan sebagai asas perbincangan mereka.

  • Kunjungan Kembali: Tugasan ini boleh dikendalikan oleh seorang saudara atau saudari. Pembantunya haruslah seseorang yang sama jantina dengannya. (km-IN 5/97 ms. 2) Pelajar dan pembantunya boleh berdiri atau duduk. Pelajar harus menunjukkan cara untuk meneruskan perbualan dengan seseorang yang telah menunjukkan minat pada kunjungan pertama. Pelajar harus menggunakan cadangan topik perbualan dalam Lembaran Kerja Kehidupan dan Kegiatan Kristian sebagai asas perbincangan.

  • Kunjungan Kembali yang Kedua: Tugasan ini boleh dikendalikan oleh seorang saudara atau saudari. Pembantunya haruslah seseorang yang sama jantina dengannya. (km-IN 5/97 ms. 2) Pelajar dan pembantunya boleh berdiri atau duduk. Pelajar harus menunjukkan cara untuk meneruskan perbincangan dengan seseorang yang telah menunjukkan minat pada kunjungan kembali pertama. Pelajar harus menggunakan cadangan topik perbualan sebagai asas perbincangan.

  •   Pembelajaran Bible: Tugasan ini boleh dikendalikan oleh seorang saudara atau saudari. Pembantunya haruslah seseorang yang sama jantina dengannya. (km-IN 5/97 ms. 2) Pelajar dan pembantunya boleh berdiri atau duduk. Bahagian ini harus menunjukkan pembelajaran Bible yang sedang berlangsung. Kata-kata pengenalan atau penutupan tidak diperlukan, kecuali pelajar sedang mengusahakan nombor pelajaran yang berkenaan. Pelajar atau pembantunya tidak semestinya perlu membacakan semua bahan yang ditugaskan. Yang penting, seni mengajar yang baik harus ditonjolkan.

  • Ceramah: Seorang saudara harus ditugaskan untuk menyampaikan ceramah ini kepada sidang.

  5. Kehidupan Kristian Kita: Selepas lagu dinyanyikan, 15 minit yang berikutnya akan mempunyai satu atau dua bahagian yang akan membantu hadirin menerapkan ajaran dalam Firman Tuhan. Kecuali apabila dinyatakan, bahagian-bahagian ini boleh ditugaskan kepada penatua atau pembantu sidang yang layak. Namun, bahagian keperluan tempatan patut dikendalikan oleh seorang penatua.

  • Pembelajaran Bible Sidang: 30 minit. Bahagian ini patut ditugaskan kepada seorang penatua yang layak. (Sidang yang tidak mempunyai ramai penatua boleh menugaskan bahagian ini kepada pembantu sidang yang layak dan mengikut keperluan.) Badan penatua harus menentukan siapa yang layak untuk mengendalikan bahagian ini. Saudara yang dipilih harus mempunyai kemahiran untuk mengendalikan pembelajaran dengan cara yang bermakna, menegaskan ayat-ayat Bible yang penting, membantu semua untuk menghargai nilai-nilai praktikal, dan mengadakan perbincangan dalam masa yang ditetapkan. Panduan atau prinsip yang berguna untuk mengajar boleh dijumpai dalam bahan bacaan yang menerangkan cara mengendalikan Pembelajaran Menara Pengawal. Jika dapat, tugaskanlah saudara yang berlainan untuk mengendalikan pembelajaran dan menjadi pembaca setiap minggu. Jika pengerusi perjumpaan meminta agar pembelajaran ini disingkatkan, saudara yang mengendalikan pembelajaran harus menentukan bahagian mana yang harus dipendekkan. Dia boleh memilih sama ada perenggan tertentu perlu dibaca atau tidak.

  6. Kata-Kata Penutupan: Tidak melebihi 3 minit. Pengerusi perjumpaan akan mengulang kaji isi-isi penting daripada perjumpaan, dan menyebutkan soalan dan jawapan dalam Kertas Jawapan bagi Perjumpaan Kehidupan dan Kegiatan Kristian. Semasa meninjau apa yang akan dibincangkan pada minggu seterusnya, dia boleh menyebutkan satu soalan yang akan dijawab semasa perjumpaan itu. Jika masa mengizinkan, dia juga boleh menyebutkan nama-nama pelajar yang mempunyai tugasan pada minggu berikutnya. Kecuali apabila dinyatakan, semua pengumuman dan surat harus dibacakan oleh pengerusi pada bahagian ini. Namun, aturan yang tetap, seperti aturan aktiviti penyebaran dan jadual pembersihan harus dipaparkan pada papan kenyataan dan tidak diumumkan dari pentas. Jika masa yang diperuntukkan tidak mengizinkan pengerusi untuk membuat pengumuman atau membacakan surat, dia patut meminta saudara-saudara yang mengendalikan bahagian Kehidupan Kristian Kita untuk memendekkan bahagian mereka. (Lihat  perenggan 5 dan  9.) Perjumpaan akan berakhir dengan lagu dan doa.

 7. Curahkan Usaha untuk Membaca dan Mengajar: Bermula minggu 7 Januari 2019, pengerusi bagi Perjumpaan Kehidupan dan Kegiatan Kristian harus menggunakan brosur Mengajar semasa memberikan nasihat atau pujian kepada pelajar. Setiap tugasan dalam Lembaran Kerja Kehidupan dan Kegiatan Kristian akan menyatakan nombor pelajaran yang harus diusahakan oleh  pelajar. Nombor pelajaran akan dinyatakan dalam tanda kurung. Pada minggu pertama setiap bulan, pengerusi bagi Perjumpaan Kehidupan dan Kegiatan Kristian akan membincangkan satu pelajaran daripada brosur Mengajar bersama hadirin. Bahagian “Catatkan Kemajuan Anda” dalam brosur adalah untuk kegunaan pelajar dan tidak seharusnya ditandakan oleh pengerusi perjumpaan.

  8. Memberikan Nasihat: Selepas setiap tugasan pelajar, pengerusi perjumpaan mempunyai kira-kira satu minit untuk memberikan pujian dan nasihat berdasarkan brosur Mengajar. Semasa memperkenalkan tugasan pelajar, pengerusi tidak akan mengumumkan nombor pelajarannya. Namun, selepas tugasan pelajar itu selesai dan setelah memberikan pujian yang sewajarnya, pengerusi boleh menyatakan nombor pelajaran itu. Kemudian dia boleh menjelaskan sebabnya pelajar telah melakukan tugasannya dengan baik, atau sebabnya pelajar harus memberikan lebih banyak perhatian kepada nombor pelajaran yang ditugaskan. Menurut keperluan setiap pelajar, pengerusi boleh memberikan nasihat tambahan daripada brosur Mengajar atau buku “Sekolah Penyebaran” (be-IN) secara peribadi selepas perjumpaan atau pada masa yang lain. Dia mungkin memberikan nasihat tambahan tentang pelajaran yang ditugaskan atau nombor pelajaran yang lain.​—Lihat  perenggan 13 dan  16 untuk maklumat lanjut mengenai peranan penyelia Perjumpaan Kehidupan dan Kegiatan Kristian dan penasihat tambahan.

    9. Masa: Semua bahagian, termasuk komen daripada pengerusi perjumpaan, tidak patut melebihi masa yang ditetapkan. Tugasan-tugasan pelajar patut dihentikan dengan sopan apabila masa sudah tamat. Jika bahagian-bahagian perjumpaan lain melebihi masa, penasihat tambahan patut memberikan nasihat secara peribadi. Seluruh perjumpaan, termasuk lagu dan doa, harus tamat dalam jangka masa 1 jam dan 45 minit.

 10. Kunjungan Penyelia Litar: Semasa kunjungan penyelia litar, Pembelajaran Bible Sidang akan digantikan dengan ceramah penyelia litar yang panjangnya 30 minit. Selain perubahan ini, seluruh perjumpaan harus diadakan seperti yang dinyatakan dalam Lembaran Kerja Kehidupan dan Kegiatan Kristian. Sebelum ceramah penyelia litar bermula, pengerusi perjumpaan akan mengulang kaji isi-isi penting yang baru dipelajari dan menyebut isi-isi penting untuk perjumpaan minggu berikutnya, serta membuat pengumuman atau membacakan surat, lalu memperkenalkan penyelia litar. Selepas menyampaikan ceramah, penyelia litar akan mengakhiri perjumpaan itu dengan lagu yang dipilihnya. Semasa kunjungan penyelia litar, kelas tambahan dalam bahasa yang sama dengan bahasa sidang tidak akan diadakan. Kumpulan bahasa asing boleh terus mengadakan perjumpaan seperti biasa semasa penyelia litar mengunjungi sidang. Namun, kumpulan bahasa asing harus bergabung dengan sidang semasa penyelia litar menyampaikan ceramahnya.

 11. Minggu Perhimpunan atau Konvensyen: Pada minggu perhimpunan atau konvensyen, sidang tidak akan mengadakan perjumpaan. Program untuk perjumpaan pada minggu itu boleh dikaji secara peribadi atau bersama keluarga.

 12. Minggu Peringatan: Jika hari Peringatan jatuh pada hari biasa dan bukan pada hujung minggu, perjumpaan Kehidupan dan Kegiatan Kristian tidak akan diadakan. Tetapi, perjumpaan sebelum aktiviti penyebaran masih harus diadakan pada hari Peringatan.

  13. Penyelia Perjumpaan Kehidupan dan Kegiatan Kristian: Seorang penatua yang dipilih oleh badan penatua akan berkhidmat sebagai penyelia bagi Perjumpaan Kehidupan dan Kegiatan  Kristian. Dia bertanggungjawab untuk memastikan bahawa perjumpaan itu diaturkan dengan baik dan diadakan mengikut panduan ini. Dia harus mempunyai komunikasi yang baik dengan penasihat tambahan. Sebaik sahaja Lembaran Kerja Kehidupan dan Kegiatan Kristian diterbitkan, penyelia harus menyediakan jadual tugasan pelajar untuk bulan itu. (Lihat  perenggan 4.) Setiap tugasan pelajar harus dituliskan dalam borang Tugasan Perjumpaan Kehidupan dan Kegiatan Kristian Kita (S-89) dan diberikan sekurang-kurangnya tiga minggu sebelum tarikh tugasan.

 14. Pengerusi Perjumpaan Kehidupan dan Kegiatan Kristian: Setiap minggu, seorang penatua akan menjadi pengerusi untuk Perjumpaan Kehidupan dan Kegiatan Kristian Kita. (Sidang yang tidak mempunyai ramai penatua boleh menugaskan bahagian ini kepada pembantu sidang yang layak mengikut keperluan.) Dia bertanggungjawab menyediakan kata-kata pembukaan dan penutupan, memperkenalkan semua bahagian perjumpaan, dan mengendalikan perbincangan video cadangan topik perbualan dan video mengenai nombor pelajaran yang berdasarkan brosur Mengajar. Bergantung pada bilangan penatua dalam sidang, dia juga mungkin perlu mengendalikan bahagian perjumpaan yang lain. Komen pengerusi bagi setiap bahagian haruslah singkat. Badan penatua akan menentukan penatua-penatua yang layak untuk menjadi pengerusi perjumpaan. Penatua-penatua yang layak biasanya akan ditugaskan sebagai pengerusi secara bergilir-gilir. Bergantung pada keadaan tempatan, penyelia Perjumpaan Kehidupan dan Kegiatan Kristian boleh menjadi pengerusi dengan lebih kerap berbanding dengan penatua-penatua lain yang layak. Jika seorang penatua boleh mengendalikan Pembelajaran Bible Sidang, kemungkinan besar dia juga layak menjadi pengerusi perjumpaan. Namun, sila ingat bahawa penatua yang menjadi pengerusi perlu memberikan pujian dan nasihat yang bermanfaat kepada pelajar dalam cara yang pengasih. Pengerusi juga harus memastikan bahawa perjumpaan tidak melebihi masa. (Lihat  perenggan 6 dan  9.) Jika terdapat ruang yang cukup di pentas dan jika pengerusi menginginkannya, sebuah mikrofon berdiri boleh diletakkan di atas pentas supaya dia dapat memperkenalkan bahagian seterusnya ketika saudara yang ditugaskan sedang bersiap sedia di podium. Semasa bahagian Pembacaan Bible dan Jadilah Penginjil yang Lebih Mahir, pengerusi juga boleh duduk di meja yang terletak di atas pentas. Cara-cara begini mungkin dapat menjimatkan masa.

 15. Koordinator Badan Penatua: Koordinator badan penatua akan menugaskan semua bahagian perjumpaan kecuali tugasan pelajar. Dia juga perlu menugaskan saudara-saudara yang dipersetujui oleh badan penatua sebagai pengerusi perjumpaan setiap minggu. Koordinator badan penatua harus bekerjasama dengan penyelia Perjumpaan Kehidupan dan Kegiatan Kristian dan memastikan bahawa jadual tugasan untuk seluruh perjumpaan dipaparkan di papan kenyataan.

  16. Penasihat Tambahan: Seboleh-bolehnya, peranan ini harus dilakukan oleh seorang penatua yang merupakan penceramah yang berpengalaman. Apabila diperlukan, penasihat tambahan akan memberikan nasihat secara peribadi kepada penatua dan pembantu sidang mengenai tugasan mereka, termasuk bahagian dalam Perjumpaan Kehidupan dan Kegiatan Kristian, ceramah umum, dan pembacaan atau pengendalian Pembelajaran Menara Pengawal atau Pembelajaran Bible Sidang. (Lihat  perenggan 9.) Jika sidang mempunyai beberapa orang penatua yang merupakan penceramah dan pengajar yang mahir, penatua yang berlainan boleh menjadi penasihat tambahan setiap tahun. Penasihat tambahan tidak perlu memberikan nasihat untuk setiap tugasan.

 17. Kelas Tambahan: Bergantung pada bilangan pelajar, sidang boleh mengadakan kelas tambahan untuk tugasan pelajar. Setiap kelas tambahan harus mempunyai penasihat yang layak  (seboleh-bolehnya seorang penatua). Jika perlu, seorang pembantu sidang yang layak juga boleh menjadi penasihat. Badan penatua harus menentukan siapa yang mampu menjalankan tugas ini dan sama ada para saudara yang layak harus melakukan tugas ini secara bergilir-gilir. Penasihat harus mengikut prosedur yang dijelaskan di  perenggan 8. Jika kelas tambahan diadakan, para pelajar akan beredar ke kelas itu selepas acara Mencari Permata Rohani. Selepas bahagian Jadilah Penginjil yang Lebih Mahir, mereka harus kembali ke dewan utama. Semasa perbincangan video diadakan, saudara saudari yang menyertai kelas tambahan harus menonton video dan mendengar perbincangan itu di bilik tersebut, jika dapat. Jika tidak, penasihat kelas tambahan harus mengendalikan bahagian itu menggunakan alat mudah alih.

 18. Video: Video-video tertentu yang akan dimainkan semasa perjumpaan akan disediakan dalam aplikasi JW Library dan dapat ditonton melalui pelbagai alat elektronik. Ada kalanya, video tentang cadangan topik perbualan yang sudah ditayangkan semasa Perjumpaan Kehidupan dan Kegiatan Kristian juga boleh dimainkan semasa perjumpaan sebelum aktiviti penyebaran.