Sambutan Peringatan memberi kita peluang untuk memikirkan berkat masa depan yang boleh menjadi kenyataan kerana tebusan Kristus. Antaranya ialah pembangkitan. Yehuwa tidak menciptakan manusia untuk mati. Itulah sebabnya kita amat bersedih apabila orang yang disayangi meninggal. (1Ko 15:26) Yesus sangat sedih semasa melihat para pengikutnya meratapi kematian Lazarus. (Yoh 11:33-35) Oleh sebab Yesus mencerminkan sifat-sifat Bapanya dengan sempurna, kita boleh pasti bahawa Yehuwa juga sangat sedih melihat kita meratapi kematian orang yang disayangi. (Yoh 14:7) Yehuwa sedang menantikan masanya untuk membangkitkan hamba-Nya dan kita juga harus menantikan masa itu.—Ayb 14:14, 15.

Memandangkan Yehuwa bukan Tuhan yang kacau-bilau, kita boleh pasti bahawa pembangkitan akan dilakukan dengan teratur. (1Ko 14:33, 40) Upacara pengebumian akan digantikan dengan suasana yang gembira kerana kita akan mengalu-alukan orang yang dibangkitkan. Adakah anda merenung tentang pembangkitan, terutamanya semasa anda berdukacita? (2Ko 4:17, 18) Adakah anda berterima kasih kepada Yehuwa kerana menyediakan tebusan dan menyingkapkan dalam Firman-Nya bahawa orang mati akan hidup semula?—Kol 3:15.

  • Siapakah sahabat dan sanak saudara yang ingin sekali anda jumpa?

  • Anda ingin sekali berjumpa dan bercakap dengan watak Bible yang mana?