MATIUS 3:1-12 MARKUS 1:1-8 LUKAS 3:1-18 YOHANES 1:6-8, 15-28

  • YOHANES MENGINJIL DAN MEMBAPTIS ORANG

  • RAMAI ORANG DIBAPTIS

Kira-kira 17 tahun telah berlalu sejak Yesus mengajukan soalan kepada guru-guru di Rumah Tuhan. Sekarang ialah tahun 29 M. Ramai orang sedang bercakap tentang sepupu Yesus, iaitu Yohanes, yang giat menginjil dekat Sungai Yordan.

Kata-kata dan pakaian Yohanes amat menarik. Pakaiannya diperbuat daripada bulu unta dan tali pinggangnya diperbuat daripada kulit. Dia memakan belalang dan madu hutan. Apakah berita yang disampaikannya? “Bertaubatlah kerana Kerajaan di syurga sudah dekat.”​—Matius 3:2.

Orang “dari Yerusalem, seluruh Yudea, dan semua kawasan di sekitar Sungai Yordan,” datang untuk mendengar berita yang disampaikan oleh Yohanes. (Matius 3:5) Setelah mendengar beritanya, ramai yang sedar bahawa mereka perlu bertaubat dan meninggalkan perbuatan yang tidak disenangi Tuhan. Mereka mengakui dosa mereka dan Yohanes membaptis mereka di Sungai Yordan. Mengapakah dia berbuat demikian?

Dia membaptis orang sebagai lambang bahawa mereka sudah bertaubat atas dosa mereka. (Kisah 19:4) Tetapi bukan semua orang layak dibaptis. Apabila guru-guru agama, iaitu orang Farisi dan Saduki, datang kepadanya, dia memanggil mereka “keturunan ular berbisa.” Dia berkata, “Tunjukkanlah melalui perbuatan kamu bahawa kamu sudah bertaubat. Janganlah membuat andaian dan berkata dalam hati kamu, ‘Abraham ialah bapa kami.’ Ketahuilah bahawa Tuhan mampu memberi Abraham keturunan daripada batu-batu ini. Kapak sudah diletakkan di pangkal pokok. Setiap pokok yang tidak menghasilkan buah yang baik akan ditebang lalu dibuang ke dalam api.”​—Matius 3:7-10.

Yohanes menyampaikan berita yang menggemparkan dan membaptis banyak orang. Maka para imam dan orang Lewi datang kepadanya dan bertanya, “Siapakah kamu?”

“Aku bukan Kristus,” jawab Yohanes.

“Kalau begitu, siapakah kamu? Adakah kamu Elia?” tanya mereka.

Dia menjawab, “Bukan.”

“Adakah kamu Nabi itu?” tanya mereka. Mereka merujuk kepada nabi yang dinubuatkan oleh Musa.​—Ulangan 18:15, 18.

“Bukan!” jawab Yohanes.

Mereka bertanya lagi, “Siapakah kamu? Beritahulah kami supaya kami dapat memberikan jawapan kepada orang yang mengutus kami. Apakah yang dapat kamu katakan tentang dirimu?” Dia menjawab, “Akulah orang yang berseru di padang belantara, ‘Hendaklah kamu meluruskan jalan bagi Yehuwa,’ seperti yang dikatakan oleh Nabi Yesaya.”​—Yohanes 1:19-23.

Mereka berkata, “Kamu bukan Kristus, Elia, atau Nabi itu. Jadi, mengapakah kamu membaptis orang?” Yohanes menjawab, “Aku membaptis dengan air. Tetapi dia yang tidak kamu kenal berdiri dalam kalangan kamu. Dia datang selepas aku.”​—Yohanes 1:25-27.

Ya, Yohanes diutus untuk mempersiapkan hati orang supaya mereka menerima kedatangan Mesias. Tentang Mesias, dia berkata, “Dia lebih berkuasa daripada aku, dan aku tidak layak untuk menanggalkan kasutnya.” (Matius 3:11) Dia juga berkata, “Orang yang datang selepas aku telah berada di hadapanku, kerana dia wujud sebelum aku.”​—Yohanes 1:15.

Maka memang sesuai Yohanes menyampaikan berita berikut: “Bertaubatlah kerana Kerajaan di syurga sudah dekat.” (Matius 3:2) Berita ini menunjukkan bahawa Yesus, iaitu Raja Kerajaan Tuhan, akan memulakan kerja penyebarannya.