Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

 BAB 5

Kelahiran Yesus—Bila dan Di Mana?

Kelahiran Yesus—Bila dan Di Mana?

LUKAS 2:1-20

  • YESUS DILAHIRKAN DI BETLEHEM

  • PARA GEMBALA MELAWAT YESUS

Kaisar Agustus, iaitu maharaja Roma, telah memerintahkan rakyatnya untuk mendaftarkan diri. Maka Yusuf dan Maria harus pergi ke tempat lahir Yusuf, iaitu kota Betlehem, yang terletak di selatan Yerusalem.

Oleh sebab ramai orang berada di Betlehem, Yusuf dan Maria terpaksa tinggal di dalam sebuah kandang. Yesus dilahirkan di situ. Maria membalut Yesus dengan kain dan meletakkannya di dalam sebuah palung, iaitu tempat menyimpan makanan ternakan.

Ayat-Ayat Suci telah menubuatkan bahawa Betlehem akan menjadi tempat kelahiran Pemerintah yang dijanjikan. (Mikha 5:2) Maka Tuhanlah yang telah menggerakkan Agustus untuk mengeluarkan perintah ini agar Yesus dapat dilahirkan di kampung asal Raja Daud.

Pada malam kelahiran Yesus, cahaya kemuliaan Yehuwa menyinari sekumpulan gembala di padang. Salah satu malaikat memberitahu mereka, “Janganlah takut! Aku datang untuk mengisytiharkan berita baik yang akan membawa sukacita yang besar kepada semua orang. Hari ini, seorang Penyelamat, iaitu Tuan Kristus, telah dilahirkan di kota Daud. Inilah tandanya bagi kamu: Kamu akan menemui seorang bayi yang dibalut dengan kain dan sedang berbaring di dalam palung.” Tiba-tiba, sepasukan besar malaikat menyertai malaikat itu. Mereka berkata, “Semoga Tuhan yang di syurga dimuliakan, dan semoga orang di bumi yang diperkenankan-Nya mendapat kedamaian.”​—Lukas 2:10-14.

Setelah para malaikat beredar, para gembala itu berkata kepada satu sama lain, “Mari kita pergi ke Betlehem sekarang dan melihat perkara yang telah berlaku ini, yang sudah disingkapkan oleh Yehuwa kepada kita.” (Lukas 2:15) Mereka segera pergi lalu menemui Yesus. Mereka menceritakan apa yang dikatakan oleh malaikat tentang Yesus. Semua orang yang mendengar berasa sangat hairan, tetapi Maria menyimpan semua kata-kata itu dalam hatinya dan merenungkan ertinya.

Ramai orang hari ini percaya bahawa Yesus dilahirkan pada 25 Disember. Tetapi pada bulan itu, cuaca di sekitar Betlehem sangat sejuk, dan akan ada hujan dan salji. Para gembala dan biri-biri mereka pasti tidak akan berada di luar pada waktu malam. Maharaja Roma juga pasti tidak akan memerintahkan rakyatnya membuat perjalanan pada musim sejuk untuk mendaftarkan diri, kerana hal itu akan menyebabkan mereka memberontak. Sebenarnya, Yesus lahir sekitar bulan Oktober.