Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

 BAB 13

Contohi Cara Yesus Melawan Godaan

Contohi Cara Yesus Melawan Godaan

Sebaik sahaja Yesus dibaptis, kuasa suci Tuhan memimpin dia ke padang belantara Yudea. Semasa dia dibaptis, “langit terbuka.” (Matius 3:16) Maka dia dapat mengingat kembali apa yang telah dipelajari dan dilakukannya di syurga. Memang ada banyak hal yang perlu direnungkan oleh Yesus!

Yesus berada di padang belantara selama 40 hari dan 40 malam. Sepanjang masa itu, dia tidak makan apa-apa pun. Oleh itu, dia berasa sangat lapar. Pada masa itulah Syaitan datang untuk menggodanya dan berkata, “Jika kamu anak Tuhan, suruhlah batu-batu ini menjadi roti.” (Matius 4:3) Yesus enggan berbuat demikian kerana dia tahu bahawa dia tidak patut menggunakan kuasa Tuhan untuk memenuhi keinginan sendiri.

Tetapi Iblis tidak berputus asa. Dia menggoda Yesus dengan cara lain. Dia menyuruh Yesus untuk terjun dari puncak tembok Rumah Tuhan agar Tuhan mengutus para malaikat untuk menyelamatkannya. Tetapi Yesus enggan berbuat demikian. Dia menjawab Iblis dengan berkata, “Ada tertulis juga, ‘Jangan menguji Yehuwa, Tuhan kamu.’”​—Matius 4:7.

Kemudian Iblis menggoda Yesus buat kali ketiga. Dia menunjukkan kepadanya “semua kerajaan dunia serta kegemilangannya” dan berkata, “Semua ini akan aku berikan kepadamu jika kamu sujud dan menyembah aku.” Yesus menjawab, “Pergilah Syaitan!” (Matius 4:8-10) Yesus melawan godaan Iblis kerana dia tahu bahawa dia patut menyembah Yehuwa sahaja. Ya, Yesus memilih untuk tetap setia kepada Tuhan!

Kita dapat mengambil iktibar daripada godaan-godaan ini dan daripada cara Yesus melawannya. Kita belajar bahawa Iblis bukanlah sifat-sifat jahat dalam diri seseorang. Iblis benar-benar wujud kerana dia telah menggoda Yesus. Kita juga belajar bahawa semua kerajaan di dunia ini berada dalam cengkaman Iblis. Oleh sebab semua kerajaan ini ialah milik Iblis, dia dapat menawarkannya kepada Yesus.

Selain itu, Iblis berkata bahawa dia sanggup memberikan semua kerajaan di dunia ini kepada Yesus, jika Yesus sujud menyembahnya satu kali sahaja. Dalam cara yang sama, Iblis menggoda kita dengan kekayaan, kekuasaan, atau kedudukan di dunia ini. Maka kita patut bertindak bijak dengan mencontohi Yesus dan tetap setia kepada Tuhan. Ingatlah juga bahawa selepas Iblis meninggalkan Yesus, dia “menantikan kesempatan yang lain.” (Lukas 4:13) Iblis juga terus mencari kesempatan untuk menggoda kita, maka kita harus sentiasa berwaspada.