MATIUS 3:13-17 MARKUS 1:9-11 LUKAS 3:21, 22 YOHANES 1:32-34

  • YESUS DIBAPTIS DAN DIURAPI

  • YEHUWA MENGUMUMKAN BAHAWA YESUS IALAH ANAKNYA

Sekitar enam bulan selepas Yohanes mula menginjil, Yesus, yang kini berusia kira-kira 30 tahun, datang kepadanya di Sungai Yordan. Mengapakah Yesus pergi kepada Yohanes? Adakah untuk melawat sepupunya, atau untuk melihat kemajuan kerja penyebaran Yohanes? Tidak, Yesus ingin meminta Yohanes untuk membaptisnya.

Tetapi Yohanes menolak permintaannya dengan berkata, “Sepatutnya kamulah yang harus membaptis aku, tetapi mengapa pula kamu datang kepadaku?” (Matius 3:14) Dia tahu bahawa Yesus ialah Anak Tuhan. Semasa Yohanes dalam kandungan ibunya, dia melonjak kegembiraan apabila Maria, yang sedang mengandungkan Yesus, datang untuk melawat ibunya. Pasti ibu Yohanes telah memberitahunya hal ini. Pasti dia juga tahu tentang malaikat yang mengumumkan kelahiran Yesus, dan tentang para malaikat yang muncul di depan gembala pada malam Yesus dilahirkan.

Yohanes hanya membaptis orang yang bertaubat daripada dosa mereka. Maka dia menolak permintaan Yesus kerana Yesus tidak berdosa. Tetapi Yesus menjawab, “Biarlah demikian untuk kali ini, kerana menerusi cara ini, kita dapat melaksanakan segala yang dikehendaki oleh Tuhan.”​—Matius 3:15.

Mengapakah Yesus harus dibaptis? Dia dibaptis untuk menunjukkan bahawa dia mengabdikan diri untuk melakukan kehendak Bapanya. (Ibrani 10:5-7) Dahulu Yesus seorang tukang kayu, tetapi sekarang dia bersedia untuk melakukan tugas yang diamanahkan oleh Bapanya. Adakah Yohanes sudah tahu apa yang akan berlaku sewaktu dia membaptis Yesus?

Yohanes berkata, “Dia yang mengutus aku untuk membaptis dengan air telah berfirman kepadaku, ‘Apabila kamu melihat kuasa suci Tuhan turun dan tinggal di atas seseorang, dialah orang yang akan membaptis dengan kuasa suci Tuhan.’” (Yohanes 1:33) Ya, Yohanes menantikan kuasa suci Tuhan untuk turun ke atas seseorang. Maka dia tidak hairan apabila ‘kuasa suci Tuhan turun seperti burung merpati ke atas Yesus’ semasa Yesus keluar dari air.​—Matius 3:16.

 Yohanes juga nampak “langit terbuka.” Hal ini mungkin bererti bahawa semasa Yesus dibaptis, dia dapat mengingat kembali kehidupannya di syurga sebagai Anak Tuhan, termasuk kebenaran yang diajarkan oleh Tuhan kepadanya sebelum dia turun ke bumi.

Selain itu, semasa Yesus dibaptis, kedengaran suara dari langit yang berkata, “Inilah Anak-Ku yang Aku kasihi. Aku berkenan kepadanya.” (Matius 3:17) Suara siapakah itu? Tidak mungkin itu suara Yesus kerana dia berada di sisi Yohanes. Suara itu ialah suara Tuhan. Jelaslah bahawa Yesus bukan Tuhan. Dia ialah Anak Tuhan.

Seperti Adam, Yesus ialah anak Tuhan semasa dia di bumi. Lukas menulis, “Yesus berumur kira-kira 30 tahun semasa dia memulakan kerja penyebarannya. Menurut pandangan orang ramai, dia ialah anak Yusuf; . . . anak Daud; . . . anak Abraham; . . . anak Nuh; . . . anak Adam; Adam ialah anak Tuhan.”​—Lukas 3:23-38.

“Adam ialah anak Tuhan,” begitu juga dengan Yesus. Tetapi selepas Yesus dibaptis, dia juga menjadi Anak Tuhan secara rohani kerana dia menjalinkan hubungan baharu dengan Tuhan. Maka dia layak untuk mengajarkan kebenaran Bible dan memimpin kita ke haluan hidup yang sejati. Yesus memulakan kerja penyebarannya, dan akhirnya dia akan mengorbankan nyawanya untuk menebus dosa manusia.