Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

 BAB 73

Perumpamaan tentang Lelaki Samaria

Perumpamaan tentang Lelaki Samaria

LUKAS 10:25-37

  • CARA MENDAPAT HIDUP KEKAL

  • LELAKI SAMARIA YANG BAIK HATI

Semasa Yesus masih ada dekat Yerusalem, orang Yahudi datang kepadanya. Ada yang mahu mendengar ajarannya, ada pula yang mahu mengujinya. Seorang lelaki yang arif dalam Hukum Musa bertanya kepada Yesus, “Guru, apakah yang harus aku lakukan agar aku dapat meraih kehidupan yang kekal?”​—Lukas 10:25.

Lelaki itu mahu menguji Yesus dan memerangkapnya. Dia berharap agar jawapan Yesus akan menyinggung perasaan orang Yahudi. Yesus tahu lelaki itu mempunyai pandangan sendiri. Maka Yesus menanyakan soalan yang dapat menyingkapkan pandangan lelaki itu.

Yesus bertanya, “Apakah yang tertulis dalam Hukum? Apakah yang kamu faham setelah membacanya?” Lelaki itu memetik ayat-ayat dari Ulangan 6:5 dan Imamat 19:18, lalu menjawab, ‘“Kamu mesti mengasihi Yehuwa, Tuhanmu, dengan segenap hati, dengan segenap jiwa, dengan segenap kekuatan, dan dengan segenap akal” dan “kamu mesti mengasihi orang lain sepertimana kamu mengasihi dirimu sendiri.”’​—Lukas 10:26, 27.

Yesus berkata kepadanya, “Jawapan kamu betul. Teruslah berbuat demikian dan kamu akan mendapat kehidupan kekal.” Tetapi lelaki itu tidak puas hati. Dia mahu “membuktikan bahawa pandangannya betul.” Jadi dia berkata kepada Yesus, “Siapakah yang harus aku kasihi?” (Lukas 10:28, 29) Nampaknya soalan ini juga digunakan untuk memerangkap Yesus. Mengapa?

Orang Yahudi percaya bahawa mereka hanya perlu mengasihi rakan sebangsa mereka. Nampaknya Imamat 19:18 menyokong pandangan ini. Maka orang Yahudi mendakwa bahawa sesiapa yang bergaul dengan orang bukan Yahudi dianggap “melanggar hukum.” (Kisah 10:28) Oleh itu, lelaki itu dan bahkan beberapa orang pengikut Yesus berpandangan bahawa mereka hanya perlu berbuat baik kepada rakan sebangsa mereka, dan tidak perlu berbuat baik kepada orang lain.

Bagaimanakah Yesus dapat membetulkan pandangan lelaki itu dan orang Yahudi yang lain tanpa menyinggung perasaan mereka? Dia menceritakan sebuah perumpamaan. Dia berkata, “Seorang lelaki sedang turun ke Yerikho dari Yerusalem. Di tengah perjalanan, dia diserang oleh penyamun yang mengambil pakaian dan hartanya. Mereka memukulnya sampai setengah mati lalu meninggalkannya di situ. Kebetulan pada masa itu, seorang imam lalu di jalan yang sama. Apabila dia nampak lelaki itu, dia menyeberangi jalan dan meneruskan perjalanan. Selepas itu, seorang Lewi yang lalu di situ nampak lelaki tersebut. Dia juga menyeberangi jalan dan meneruskan perjalanan. Kemudian, seorang lelaki Samaria yang sedang dalam perjalanannya lalu di situ. Apabila dia nampak lelaki tersebut, dia berasa kasihan.”​—Lukas 10:30-33.

Lelaki yang arif tentang Hukum itu pasti tahu bahawa ramai imam dan pembantu imam yang berbangsa Lewi tinggal di Yerikho. Semasa mereka balik dari Rumah Tuhan, mereka perlu berjalan sejauh kira-kira 23 kilometer. Perjalanan ini bahaya kerana mereka mungkin akan dirompak. Dalam perumpamaan Yesus, seorang imam dan seorang Lewi nampak rakan sebangsa mereka ditimpa kesusahan, tetapi mereka enggan membantunya. Sebaliknya seorang lelaki Samaria, yang dibenci oleh orang Yahudi, telah membantu lelaki itu.​—Yohanes 8:48.

Bagaimanakah lelaki Samaria membantu orang Yahudi yang tercedera itu? Yesus berkata, “Dia mendekati lelaki itu dan menuangkan minyak dan wain pada luka-lukanya. Selepas itu, dia membalut luka-lukanya dan menaikkan lelaki itu ke atas keldainya. Dia membawa lelaki itu ke sebuah tempat penginapan dan menjaganya. Pada keesokan harinya, lelaki Samaria itu memberikan dua denari kepada pemilik tempat penginapan itu dan berkata, ‘Jagalah dia, dan jika ada perbelanjaan lain, aku akan membayarnya apabila aku kembali ke sini.’”​—Lukas 10:34, 35.

 Selepas Yesus menceritakan perumpamaan ini, dia menanyakan soalan berikut: “Pada pendapat kamu, siapakah antara tiga orang lelaki ini yang mengasihi lelaki yang dirompak itu?” Mungkin lelaki itu malu untuk menjawab “lelaki Samaria itu,” maka dia berkata, “Lelaki yang menunjukkan belas kasihan terhadapnya.” Kemudian Yesus menonjolkan pengajaran yang ingin disampaikannya. Dia berkata kepada lelaki itu, “Pergilah dan berbuatlah demikian.”​—Lukas 10:36, 37.

Cara Yesus mengajar memang berkesan! Jika Yesus terus memberitahu lelaki itu bahawa dia patut mengasihi orang daripada bangsa lain, adakah lelaki itu dan orang Yahudi lain akan menerima kata-kata Yesus? Mungkin tidak. Tetapi dengan menggunakan perumpamaan yang mudah difahami oleh para pendengarnya, Yesus telah mengajar mereka bahawa mereka patut menunjukkan kasih dan kebaikan hati kepada semua orang, seperti yang tertulis di dalam Ayat-Ayat Suci.