Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

 BAB 69

Bapa Mereka ialah Abraham atau Si Iblis?

Bapa Mereka ialah Abraham atau Si Iblis?

YOHANES 8:37-59

  • ORANG YAHUDI MENDAKWA BAHAWA ABRAHAM IALAH BAPA MEREKA

  • YESUS WUJUD SEBELUM ABRAHAM

Yesus terus mengajarkan kebenaran di Yerusalem, dan orang Yahudi berkata kepadanya, “Kami keturunan Abraham. Kami tidak pernah menjadi hamba sesiapa pun.” Yesus menjawab, “Aku tahu bahawa kamu keturunan Abraham, tetapi kamu hendak membunuh aku kerana kamu tidak menerima ajaranku. Aku mengatakan apa yang aku lihat semasa aku bersama Bapaku. Tetapi kamu pula melakukan apa yang kamu dengar daripada bapa kamu.”​—Yohanes 8:33, 37, 38.

Yesus ingin menunjukkan bahawa Bapanya berbeza dengan bapa mereka. Tetapi mereka tidak memahaminya, maka mereka mengulang sekali lagi, “Bapa kami Abraham.” (Yohanes 8:39; Yesaya 41:8) Mereka memang keturunan Abraham, jadi mereka sangka bahawa mereka mempunyai iman yang teguh.

Selalunya seorang anak akan meniru bapanya, jadi Yesus berkata, “Jika kamu ialah anak-anak Abraham, lakukanlah apa yang dilakukan oleh Abraham.” Kemudian dia menyambung, “Aku memberitahu kamu kebenaran yang aku dengar daripada Tuhan, tetapi kamu mahu membunuh aku. Abraham tidak berbuat demikian. Kamu melakukan apa yang dilakukan oleh bapa kamu.”​—Yohanes 8:39-41.

Mereka masih tidak memahami kata-kata Yesus. Mereka berkata, “Kami bukanlah anak haram. Bapa kami hanya satu, iaitu Tuhan.” Yesus menjawab, “Jika Tuhan ialah Bapa kamu, kamu akan mengasihi aku, kerana aku diutus oleh Tuhan ke sini. Aku tidak datang dengan kehendakku sendiri, tetapi Dialah yang mengutus aku.” Akhirnya Yesus berkata, “Kamu tidak memahami apa yang aku katakan kerana kamu enggan menerima kata-kataku.”​—Yohanes 8:41-43.

Sebelum ini, Yesus cuba memberitahu mereka apa yang akan berlaku jika mereka menolaknya. Sekarang dia berkata, “Kamu berasal daripada bapa kamu, Si Iblis, dan kamu ingin melakukan kehendak bapa kamu.” Kemudian dia menggambarkan sifat-sifat bapa mereka dengan berkata, “Dia itu pembunuh sejak dia berdusta tentang Tuhan. Dia tidak berpegang teguh pada kebenaran.” Setelah itu, Yesus menambah, “Orang yang berasal daripada Tuhan mendengar firman Tuhan. Kamu tidak mendengar, kerana kamu tidak berasal daripada Tuhan.”​—Yohanes 8:44, 47.

Kata-kata Yesus itu membuat mereka marah. Mereka berkata, “Memang betul apa yang kami katakan: Kamu ini orang Samaria dan dirasuk roh jahat.” Orang Yahudi membenci orang Samaria, maka mereka memanggil Yesus “orang Samaria” kerana ingin menghinanya. Tetapi Yesus tidak mempedulikan hinaan itu, sebaliknya dia berkata, “Aku tidak dirasuk roh jahat. Aku menghormati Bapaku, tetapi kamu menghina aku.” Ya, hidup mati mereka bergantung pada iman mereka terhadap Yesus, kerana dia berjanji, “Jika sesiapa mematuhi ajaranku, dia pasti tidak akan mati.” Hal ini tidak bererti bahawa para rasul dan pengikut Yesus tidak akan mati. Mereka akan mati, tetapi dia akan membangkitkan mereka. Mereka tidak akan mengalami “kematian yang kedua,” iaitu pembinasaan kekal.​—Yohanes 8:48-51; Wahyu 21:8.

Tetapi orang Yahudi masih tidak memahami kata-kata Yesus. Mereka berkata, ‘Sekarang kami tahu bahawa kamu benar-benar dirasuk roh jahat. Abraham sudah mati, begitu juga dengan nabi-nabi. Tetapi kamu berkata, “Jika sesiapa mematuhi ajaranku, dia pasti tidak akan mati.” Adakah kamu lebih besar daripada bapa kami Abraham? Kamu anggap diri kamu siapa?’​—Yohanes 8:52, 53.

Yesus sedang mengatakan bahawa dia ialah Mesias, tetapi dia tidak menjawab soalan mereka secara terus terang. Sebaliknya dia berkata, “Jika aku memuliakan diriku, kemuliaanku tidak berguna. Yang memuliakan aku ialah Bapaku yang kamu anggap sebagai Tuhan kamu. Kamu tidak mengenal-Nya, tetapi aku mengenal-Nya. Sekiranya aku  mengatakan bahawa aku tidak mengenal-Nya, aku seorang pendusta seperti kamu. Tetapi aku memang mengenal-Nya dan mematuhi firman-Nya.”​—Yohanes 8:54, 55.

Kemudian Yesus berkata, “Bapa kamu Abraham sangat bersukacita kerana dia mempunyai harapan untuk melihat zamanku. Dia sudah melihatnya dan dia bersukacita.” Ya, Abraham percaya kepada janji Tuhan dan menantikan kemunculan Mesias. Mereka berkata kepada Yesus, “Umur kamu belum lagi 50 tahun, tetapi kamu sudah melihat Abraham?” Dia pun menjawab, “Ketahuilah: Sebelum Abraham dilahirkan, aku sudah ada.” Dia sedang merujuk kepada hidupnya di syurga sebelum diutus ke bumi.​—Yohanes 8:56-58.

Orang Yahudi marah kerana Yesus berkata bahawa dia hidup sebelum Abraham. Mereka mahu merejamnya, jadi dia pun beredar.