MATIUS 9:18-22 MARKUS 5:21-34 LUKAS 8:40-48

  • SEORANG WANITA SEMBUH SETELAH MENYENTUH JUBAH YESUS

Orang Yahudi yang tinggal di barat laut Tasik Galilea mendapat berita bahawa Yesus akan kembali dari Dekapolis. Mungkin ramai antara mereka telah mendengar bahawa Yesus meredakan ribut di tasik itu dan menyembuhkan lelaki-lelaki yang dirasuk. Maka “ramai orang” berkumpul di tepi tasik itu, mungkin di sekitar Kapernaum. (Markus 5:21) Mereka tidak sabar-sabar ingin menyambut kepulangan Yesus.

Salah seorang antara mereka ialah ketua rumah ibadat yang bernama Yairus. Dia bersujud di depan kaki Yesus dan terus merayu, “Anak perempuanku yang masih kecil sakit tenat. Tolonglah datang dan letakkanlah tangan Guru ke atasnya supaya dia sembuh dan tidak mati.” (Markus 5:23) Yairus hanya mempunyai seorang anak perempuan. Anak itu berusia 12 tahun dan dia sangat menyayangi anak itu. Apakah reaksi Yesus terhadap rayuannya?​—Lukas 8:42.

Semasa Yesus dalam perjalanan ke rumah Yairus, ramai orang berasak-asak mengikutnya kerana mereka ingin menyaksikan mukjizat Yesus. Dalam kalangan mereka, ada seorang wanita yang menghidap penyakit yang serius.

Wanita ini menderita masalah pendarahan selama 12 tahun. Dia sudah dirawat oleh banyak doktor dan telah menghabiskan semua wangnya. Namun begitu dia tidak sembuh, malah keadaannya “bertambah parah.”​—Markus 5:26.

Wanita ini sangat lemah, dan dia juga berasa malu kerana penyakitnya. Menurut Hukum Musa, seorang wanita yang mengalami pendarahan akan dianggap najis. Sesiapa yang menyentuh dia atau pakaiannya mesti mandi dan turut dianggap najis sehingga matahari terbenam.​—Imamat 15:25-27.

Wanita ini telah “mendengar apa yang dikatakan orang tentang Yesus,” maka sekarang dia pergi mencari Yesus. Oleh sebab dia dianggap najis, dia berjalan di antara orang ramai secara diam-diam. Dia berkata dalam hati, “Jika aku menyentuh jubah luarnya, aku pasti sembuh.” Apabila dia menyentuh jubah Yesus, pendarahannya berhenti serta-merta! Dia “sudah sembuh daripada penyakit yang teruk itu.”​—Markus 5:27-29.

Yesus bertanya, “Siapakah yang menyentuh aku?” Petrus menjawab, “Guru, orang ramai sedang berasak-asak dan menghimpit Guru.” Mengapakah Yesus menanya soalan itu? Dia berkata, “Ada orang yang menyentuh aku kerana aku sedar bahawa kuasa telah keluar daripada aku.” (Lukas 8:45, 46) Ya, Yesus dapat merasakan bahawa kuasa telah keluar daripadanya apabila penyakit wanita itu disembuhkan. Sekarang wanita itu pasti berasa sangat takut.

Dia sedar bahawa perbuatannya diketahui oleh Yesus. Maka dengan gementar, dia bersujud di depan Yesus. Di depan semua orang, dia bercakap tentang penyakitnya dan berkata bahawa dia baru sahaja disembuhkan. Yesus menenangkan hatinya dengan berkata, “Hai anakku, kamu sembuh kerana kamu beriman. Pergilah dengan damai dan sembuhlah daripada penyakitmu yang teruk itu.”​—Markus 5:34.

Sememangnya, Tuhan telah memilih seorang raja yang baik hati dan berbelas kasihan untuk memerintah bumi. Raja ini bukan sekadar prihatin terhadap orang, tetapi dia juga berkuasa untuk membantu mereka!