Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

 BAB 60

Kristus dalam Cahaya Kemuliaan

Kristus dalam Cahaya Kemuliaan

MATIUS 16:28–17:13 MARKUS 9:1-13 LUKAS 9:27-36

  • KRISTUS DALAM CAHAYA KEMULIAAN

  • PARA RASUL MENDENGAR SUARA TUHAN

Semasa Yesus mengajar orang di Kaisarea Filipi, yang terletak kira-kira 25 kilometer dari Gunung Hermon, dia mengumumkan sesuatu yang mengejutkan kepada para rasulnya. Dia berkata, “Sesungguhnya aku memberitahu kamu bahawa beberapa orang yang berdiri di sini tidak akan mati selagi mereka tidak melihat Anak Manusia datang dalam Kerajaannya.”​—Matius 16:28.

Kira-kira seminggu kemudian, Yesus membawa tiga orang rasul, iaitu Petrus, Yakobus, dan Yohanes, ke atas sebuah gunung. Mereka mengantuk kerana masa itu mungkin sudah lewat malam. Semasa Yesus berdoa, rupanya berubah di depan mereka. Wajahnya bersinar seperti matahari dan jubahnya menjadi terang seperti cahaya.

Tiba-tiba, dua orang yang kelihatan seperti “Musa dan Elia” muncul. Mereka berbual-bual dengan Yesus ‘tentang pemergiannya yang akan berlaku di Yerusalem.’ (Lukas 9:30, 31) “Pemergian Yesus” bererti bahawa dia akan dibunuh dan dibangkitkan. (Matius 16:21) Maka perbualan itu menunjukkan bahawa tidak seperti yang difikirkan oleh Petrus, kematian Yesus ialah sesuatu yang tidak boleh dielakkan.

Sekarang tiga orang rasul itu tidak lagi mengantuk. Mereka melihat dan mendengar dengan penuh perhatian. Nampaknya Petrus begitu khusyuk melihat penglihatan itu sehingga dia berkata, “Rabbi, kami berasa sangat gembira kerana dapat berada di sini. Biarlah kami mendirikan tiga buah khemah: Satu untukmu, satu untuk Musa, dan satu untuk Elia.” (Markus 9:5) Mengapakah Petrus ingin berbuat demikian? Adakah dia ingin penglihatan ini diteruskan lebih lama lagi?

Semasa Petrus masih bercakap, sekepul awan yang bersinar terang meliputi mereka, dan suara dari awan itu berkata, “Inilah Anak-Ku yang Aku kasihi. Aku berkenan kepadanya. Dengarkanlah dia.” Ketika para rasul mendengar suara Tuhan, mereka berasa sangat takut lalu meniarap di tanah, tetapi Yesus berkata kepada mereka, “Bangunlah. Jangan berasa takut.” (Matius 17:5-7) Mereka bangun dan hanya nampak Yesus, kerana penglihatan itu sudah berakhir. Apabila hari sudah siang dan mereka sedang turun dari gunung, Yesus berkata, “Jangan beritahu sesiapa pun tentang penglihatan tadi sehingga Anak Manusia dibangkitkan daripada kematian.”​—Matius 17:9.

Para rasul bingung kerana mereka nampak Elia dalam penglihatan itu. Maka mereka bertanya, “Mengapakah para jurutulis hukum mengatakan bahawa Elia mesti datang terlebih dahulu?” Yesus menjawab, “Elia sudah datang tetapi orang tidak mengenalinya.” (Matius 17:10-12) Yesus sedang merujuk kepada Yohanes Pembaptis kerana dia memainkan peranan yang sama seperti Elia. Elia telah membuka jalan bagi Elisa, sepertimana Yohanes telah membuka jalan bagi Kristus.

Penglihatan itu sememangnya menguatkan Yesus dan para rasulnya! Penglihatan itu menggambarkan kemuliaan Kristus dalam Kerajaan Tuhan. Maka murid-murid Yesus dapat “melihat Anak Manusia datang dalam Kerajaannya” seperti yang telah dijanjikan. (Matius 16:28) Orang Farisi tidak diberikan tanda, tetapi semasa di gunung, murid-murid Yesus telah “menyaksikan kemuliaannya dengan mata sendiri.” Hal ini pasti menguatkan keyakinan mereka akan nubuat-nubuat tentang Kerajaan Tuhan. Maka pada kemudian hari, Petrus dapat menulis, “Keyakinan kami akan nubuat-nubuat yang disampaikan menjadi lebih teguh.”​—2 Petrus 1:16-19.