MATIUS 16:13-27 MARKUS 8:22-38 LUKAS 9:18-26

  • YESUS MENYEMBUHKAN SEORANG LELAKI BUTA

  • PETRUS MENERIMA KUNCI-KUNCI KERAJAAN TUHAN

  • YESUS MENUBUATKAN KEMATIAN DAN PEMBANGKITANNYA

Yesus dan murid-muridnya tiba di Betsaida. Di situ, seorang lelaki yang buta dibawa kepada Yesus untuk disembuhkan.

Yesus membawa lelaki itu ke luar pekan. Selepas meludah di atas matanya, Yesus bertanya, “Apakah yang dapat kamu lihat?” Lelaki itu berkata, “Aku rasa apa yang aku nampak itu ialah manusia, tetapi mereka kelihatan seperti pokok yang berjalan ke sana sini.” (Markus 8:23, 24) Yesus meletakkan tangannya pada mata lelaki itu, lalu dia dapat melihat segala-galanya dengan jelas. Kemudian Yesus menyuruhnya pulang dan melarangnya masuk ke dalam pekan.

Selepas itu, Yesus dan murid-muridnya pergi ke Kaisarea Filipi. Mereka perlu mendaki lereng bukit sejauh kira-kira 40 kilometer. Pekan di situ terletak 350 meter di atas aras laut, dan Gunung Hermon terletak di sebelah timur laut pekan itu. Perjalanan mereka mungkin mengambil masa beberapa hari.

Dalam perjalanan, Yesus pergi berdoa bersendirian. Dia risau tentang murid-muridnya kerana dalam masa sembilan atau sepuluh bulan lagi, dia akan mati. Baru-baru ini, ramai pengikutnya telah meninggalkannya, dan ada antara mereka yang bingung dan kecewa. Mereka mungkin tidak faham mengapa dia tidak mahu menjadi raja atau tidak mahu melakukan mukjizat untuk membuktikan bahawa dia ialah Mesias.

Apabila murid-muridnya datang kepadanya, dia bertanya kepada mereka, “Menurut orang, siapakah Anak Manusia itu?” Mereka menjawab, “Ada yang berkata Yohanes Pembaptis, yang lain berkata Elia, dan ada juga yang berkata Yeremia atau salah seorang nabi.” Ya, orang percaya bahawa Yesus ialah salah seorang nabi yang telah dibangkitkan. Jadi Yesus berkata kepada mereka, “Bagaimana pula dengan kamu? Menurut kamu, siapakah aku?” Petrus segera menjawab, “Guru ialah Kristus, Anak kepada Tuhan yang hidup.”​—Matius 16:13-16.

Yesus berkata bahawa Petrus diberkati kerana Tuhan telah menyingkapkan hal ini kepadanya. Kemudian dia menyambung, “Kamu ialah Petrus. Di atas batu ini aku akan membina sidangku, dan kuasa maut tidak dapat mengalahkannya.” Hal ini bererti bahawa Yesus akan membina sebuah sidang, dan ahli-ahli sidang itu tidak akan dikalahkan oleh kuasa maut jika mereka tetap setia kepada Tuhan. Dia berjanji kepada Petrus, “Aku akan memberimu kunci-kunci Kerajaan di syurga.”​—Matius 16:18, 19.

Yesus bukannya memberi Petrus kedudukan pertama dalam kalangan rasul yang lain, atau menjadikannya batu asas sidang. Yesus sendiri ialah batu asas itu, dan sidangnya akan didirikan di atasnya. (1 Korintus 3:11; Efesus 2:20) Tetapi Petrus akan menerima tiga kunci yang akan digunakan untuk “membuka” peluang kepada beberapa  kumpulan orang agar mereka dapat memasuki Kerajaan di syurga.

Kunci pertama digunakan pada Pentakosta 33 M untuk orang Yahudi dan para pemeluk agama Yahudi yang bertaubat. Kunci kedua pula digunakan untuk orang Samaria yang beriman. Kemudian, pada 36 M, kunci ketiga digunakan untuk orang bukan Yahudi yang tidak disunat, seperti Kornelius.​—Kisah 2:37, 38; 8:14-17; 10:44-48.

Yesus juga memberitahu para rasul bahawa dia akan diseksa dan dibunuh di Yerusalem. Setelah mendengarnya, mereka sangat susah hati kerana mereka tidak faham bahawa dia akan dibangkitkan ke syurga. Petrus membawanya ke tepi dan menegurnya, “Tuan, janganlah cakap begitu. Perkara sebegini tidak akan sekali-kali menimpamu.” Tetapi Yesus berpaling daripada Petrus lalu berkata, “Jauhkanlah dirimu daripadaku, Syaitan! Kamu ialah batu sandungan bagiku, kerana fikiranmu ialah fikiran manusia, bukan fikiran Tuhan.”​—Matius 16:22, 23.

Kemudian Yesus memanggil murid-muridnya yang lain lalu memberitahu mereka bahawa para pengikutnya akan mengalami kesusahan. Dia berkata, “Jika sesiapa ingin mengikutku, hendaklah dia menolak kepentingan sendiri, memikul tiang seksaannya, dan terus mengikut aku. Sesiapa yang ingin menyelamatkan nyawanya akan kehilangan nyawanya, tetapi sesiapa yang kehilangan nyawanya demi aku dan demi berita baik akan menyelamatkan nyawanya.”​—Markus 8:34, 35.

Ya, orang yang ingin mendapat perkenan Yesus mestilah berani dan rela berkorban. Yesus berkata, “Sesiapa yang berasa malu untuk menjadi muridku dan mempercayai kata-kataku, Anak Manusia juga akan berasa malu untuk menerimanya semasa dia datang dengan kemuliaan yang dikurniakan oleh Bapanya bersama para malaikat yang suci.” (Markus 8:38) Ya, semasa Yesus datang, dia akan “membalas setiap orang mengikut kelakuan masing-masing.”​—Matius 16:27.