Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

 BAB 43

Perumpamaan tentang Kerajaan di Syurga

Perumpamaan tentang Kerajaan di Syurga

MATIUS 13:1-53 MARKUS 4:1-34 LUKAS 8:4-18

  • YESUS MENCERITAKAN PERUMPAMAAN TENTANG KERAJAAN DI SYURGA

Setelah Yesus menegur orang Farisi di Kapernaum, dia pergi ke Tasik Galilea. Ramai orang datang kepadanya, maka dia menaiki sebuah perahu dan mula mengajar mereka tentang Kerajaan Tuhan di syurga. Dia menggunakan beberapa perumpamaan, atau cerita ibarat, yang mudah difahami untuk menjelaskan pelbagai aspek Kerajaan Tuhan.

Yesus bermula dengan perumpamaan tentang seorang petani yang menabur benih. Ada benih yang jatuh di jalan lalu burung datang dan memakannya. Ada benih yang jatuh di tempat berbatu dan segera bertunas, tetapi semasa matahari terbit, tunas-tunas itu layu lalu kering. Benih lain jatuh di antara semak berduri. Semak berduri itu tumbuh dan membantutkan tumbuhan tersebut. Akhirnya, ada benih yang jatuh di atas tanah yang subur dan mula berbuah. “Ada yang hasilnya 100 kali ganda, ada yang 60 kali ganda, dan ada yang 30 kali ganda.”​—Matius 13:8.

Dalam perumpamaan kedua, Yesus berkata bahawa Kerajaan Tuhan bagaikan seorang lelaki yang menabur benih. Tidak kira lelaki itu tidur atau bangun, benih-benih itu bertumbuh, tetapi dia “tidak tahu bagaimana hal itu berlaku.” (Markus 4:27) Benih-benih itu bertumbuh dan akhirnya dia dapat menuai hasilnya.

Kemudian Yesus menceritakan perumpamaan ketiga tentang kerja menabur. Seorang lelaki menabur benih yang baik di ladangnya, tetapi “semasa semua orang tidur,” musuhnya datang dan menabur benih lalang di antara gandum lalu beredar. Hamba lelaki itu bertanya sama ada mereka patut mencabut semua lalang itu. Lelaki itu menjawab, ‘Tidak kerana semasa kamu mencabut lalang, mungkin gandum juga tercabut. Biarlah kedua-duanya tumbuh bersama sehingga musim  menuai. Pada musim menuai, aku akan memberitahu penuai: Kumpulkan lalang terlebih dahulu dan ikatlah lalang itu untuk dibakar. Selepas itu kumpulkan gandum ke dalam jelapang aku.’​—Matius 13:24-30.

Banyak pendengar Yesus tahu tentang pertanian, maka Yesus juga menceritakan perumpamaan tentang biji sawi. Dia berkata, “Kerajaan di syurga bagaikan biji sawi yang diambil oleh seseorang untuk ditanam di ladangnya.” (Matius 13:31) Biji sawi sangat kecil, tetapi dapat bertumbuh menjadi sebatang pokok yang besar sehingga burung-burung dapat membuat sarang di dahan-dahannya. Tujuan Yesus menceritakan perumpamaan ini bukanlah untuk mengajar mereka tentang tumbuh-tumbuhan. Sebaliknya dia sedang menjelaskan bahawa sesuatu yang sangat kecil dapat bertumbuh sehingga menjadi sesuatu yang sangat besar.

Kemudian Yesus menyebut tentang proses membuat roti. Dia berkata, “Kerajaan di syurga bagaikan ragi yang diambil oleh seorang wanita untuk dicampurkan dengan tiga bekas tepung.” (Matius 13:33) Kita tidak dapat melihat bagaimana ragi bertindak balas dengan tepung, tetapi kita tahu bahawa ragi itu akan membuat seluruh adunan itu naik. Ya, ragi itu menyebabkan adunan berubah meskipun kita tidak dapat melihatnya.

Selepas itu, Yesus menyuruh orang ramai bersurai lalu dia masuk ke dalam rumah. Murid-muridnya memintanya menjelaskan erti semua perumpamaan itu.

BELAJAR DARIPADA PERUMPAMAAN YESUS

Murid-murid Yesus pernah mendengar Yesus menceritakan perumpamaan, tetapi inilah kali pertama dia menceritakan begitu banyak perumpamaan sekali gus. Maka mereka bertanya kepadanya, “Mengapakah Guru bercakap kepada mereka dengan menggunakan perumpamaan?”​—Matius 13:10.

Salah satu sebab Yesus berbuat demikian adalah supaya nubuat Bible menjadi kenyataan. Buku Matius menyatakan, “Dia tidak akan bercakap kepada mereka tanpa menggunakan perumpamaan supaya berlakulah apa yang dikatakan oleh seorang nabi: ‘Mulutku akan mengucapkan perumpamaan. Aku akan mengumumkan hal-hal yang tersembunyi sejak permulaan.’”​—Matius 13:34, 35; Mazmur 78:2.

Sebab kedua Yesus menggunakan perumpamaan adalah untuk menyingkapkan sikap orang. Ramai orang mengikut Yesus semata-mata kerana dia pandai bercerita dan selalu melakukan mukjizat. Mereka tidak mengakui Yesus sebagai Tuan yang patut dipatuhi dan dicontohi. (Lukas 6:46, 47) Mereka tidak mahu mengubah pandangan dan cara hidup mereka yang salah. Ya, mereka tidak mahu menerima ajaran Yesus.

Oleh itu, Yesus menjawab murid-muridnya, ‘Walaupun mereka melihat, mereka tidak dapat nampak, dan walaupun mereka mendengar, mereka tidak dapat faham. Itulah sebabnya aku menggunakan perumpamaan semasa bercakap kepada mereka. Apa yang dinubuatkan oleh Yesaya telah berlaku kepada mereka. Nubuat itu berbunyi, “Hati umat ini sudah menjadi tidak peka.”’​—Matius 13:13-15; Yesaya 6:9, 10.

Tetapi bukan semua pendengar Yesus bersikap sedemikian. Dia menjelaskan kepada mereka, “Berbahagialah kamu kerana matamu dapat melihat dan telingamu dapat mendengar. Sesungguhnya aku berkata kepada kamu: Banyak nabi dan orang yang melakukan apa yang benar di mata Tuhan ingin melihat apa yang sedang kamu lihat tetapi tidak dapat melihatnya. Mereka ingin mendengar  apa yang sedang kamu dengar tetapi tidak dapat mendengarnya.”​—Matius 13:16, 17.

Kesemua 12 orang rasul dan murid-murid yang lain berhati jujur dan ingin belajar. Yesus berkata kepada mereka, “Tuhan sudah mengizinkan kamu untuk memahami rahsia suci tentang Kerajaan di syurga, tetapi mereka tidak diizinkan.” (Matius 13:11) Kemudian Yesus menjelaskan erti perumpamaan tentang petani.

Untuk membantu kita memahami erti perumpamaan ini, Yesus berkata, “Benih itu ialah firman Tuhan,” dan tanah pula ialah hati seseorang.​—Lukas 8:11.

Berkenaan benih yang jatuh di jalan, dia menjelaskan, “Iblis datang dan merampas firman yang ditanam dalam hati mereka supaya mereka tidak percaya dan tidak diselamatkan.” (Lukas 8:12) Benih yang jatuh di atas batu pula ialah orang yang mendengar firman Tuhan dan menyambutnya dengan sukacita. Tetapi firman itu tidak berakar dalam hati mereka. ‘Sebaik sahaja mereka mengalami kesengsaraan atau penganiayaan kerana perkhabaran itu,’ mereka tidak lagi percaya. Ya, “semasa ditimpa cubaan,” seperti tentangan daripada keluarga atau orang lain, mereka meninggalkan kebenaran.​—Matius 13:21; Lukas 8:13.

Bagaimana pula dengan benih yang jatuh di semak berduri? Yesus berkata bahawa mereka ialah orang yang mendengar perkhabaran itu, tetapi “kekhuatiran hidup sistem dunia ini dan tipu daya kekayaan membantutkan perkhabaran itu sehingga tidak berbuah.” (Matius 13:22) Perkhabaran itu berakar dalam hati mereka, tetapi perkhabaran itu terbantut dan tidak berbuah.

Akhirnya, Yesus bercakap tentang tanah yang subur. Tanah ini merujuk kepada “orang yang memiliki hati yang baik dan jujur. Setelah mendengar firman itu, mereka menyimpannya di hati dan membuahkan hasil.” Tetapi kerana beberapa faktor seperti umur dan kesihatan, mereka tidak  dapat membuahkan hasil yang sama; ada yang hasilnya 100 kali ganda, ada yang 60 kali ganda, dan ada yang 30 kali ganda. Biarpun begitu, Tuhan akan memberkati mereka kerana mereka “membuahkan hasil dengan tabah.”​—Lukas 8:15.

Pastinya murid-murid yang datang kepada Yesus berasa kagum dengan penjelasan ini! Kini mereka dapat memahami perumpamaan ini dengan lebih mendalam. Yesus mahu mereka berkongsi kebenaran ini dengan orang lain. “Orang tidak akan meletakkan pelita di bawah bakul atau di bawah katil, bukan? Pelita harus diletakkan di atas kaki pelita, bukan?” kata Yesus. Maka dia memberikan nasihat berikut: “Hendaklah orang yang bertelinga, mendengar dengan teliti.”​—Markus 4:21-23.

MEMINTA LEBIH BANYAK PENJELASAN

Setelah mendengar penjelasan tentang petani, murid-murid Yesus ingin tahu lebih banyak. Maka mereka berkata, “Jelaskanlah kepada kami maksud perumpamaan tentang lalang di ladang.”​—Matius 13:36.

Sikap mereka berbeza dengan orang ramai yang berada di tepi tasik. Orang di situ mendengar perumpamaan Yesus, tetapi mereka tidak berminat untuk mengetahui ertinya atau menerapkan pengajarannya. Mereka sudah berpuas hati dengan sedikit maklumat yang ada dan tidak ingin memahami dengan lebih mendalam. Yesus menunjukkan bahawa murid-muridnya mempunyai sikap yang baik dengan berkata,

“Kamu harus menumpukan perhatian kepada apa yang sedang kamu dengar. Sukatan yang kamu gunakan untuk orang, juga akan digunakan untuk kamu. Malah, kamu akan menerima lebih banyak lagi.” (Markus 4:24) Murid-murid Yesus menumpukan perhatian kepada apa yang diajarkan oleh Yesus. Mereka sangat ingin belajar, maka Yesus memberi mereka lebih banyak pengetahuan. Dia menjelaskan erti perumpamaan gandum dan lalang kepada mereka.

“Orang yang menabur benih yang baik itu ialah Anak Manusia. Ladang ialah dunia. Benih yang baik ialah anak-anak Kerajaan Tuhan, manakala lalang ialah anak-anak Si Jahat. Musuh yang menanam lalang ialah Iblis. Musim menuai ialah penghujung sistem dunia ini, dan penuai ialah para malaikat.”​—Matius 13:37-39.

Yesus menjelaskan apa yang akan berlaku seterusnya. Dia berkata bahawa pada penghujung sistem dunia ini, ‘para malaikat’ (penuai) akan mengasingkan orang Kristian palsu (lalang) daripada “anak-anak Kerajaan Tuhan” yang mendapat perkenan-Nya. Anak-anak ini akan dikumpulkan lalu mereka akan bersinar terang “dalam Kerajaan Bapa mereka.” Sebaliknya, “anak-anak Si Jahat” akan “menangis dan menggertakkan gigi” kerana mereka akan dimusnahkan.​—Matius 13:41-43.

Kemudian Yesus menceritakan tiga lagi perumpamaan. Perumpamaan pertama berbunyi, “Kerajaan di syurga bagaikan harta yang terpendam di  ladang. Seorang lelaki menemuinya dan menyembunyikannya. Dengan sukacita, dia menjual segala yang dimilikinya dan membeli ladang itu.”​—Matius 13:44.

Perumpamaan kedua berbunyi, “Kerajaan di syurga juga seperti seorang saudagar yang menjelajah ke merata tempat untuk mencari mutiara yang bermutu. Semasa dia menemui sebutir mutiara yang bermutu tinggi, dia segera pergi dan menjual segala yang dimilikinya untuk membeli mutiara itu.”​—Matius 13:45, 46.

Menerusi kedua-dua perumpamaan ini, Yesus menonjolkan sikap rela berkorban. Saudagar itu segera “pergi dan menjual segala yang dimilikinya” untuk membeli sebutir mutiara yang bermutu tinggi, begitu juga dengan seorang lelaki yang menemui harta yang terpendam di ladang. Lelaki itu “menjual segala yang dimilikinya” dan membeli ladang itu. Ya, saudagar itu dan lelaki itu menemui sesuatu yang sangat bernilai dan sanggup mengorbankan segala-galanya untuk memilikinya. Hal ini boleh disamakan dengan seseorang yang membuat pengorbanan untuk memenuhi keperluan rohaninya. (Matius 5:3) Segelintir orang yang mendengar perumpamaan-perumpamaan Yesus telah menunjukkan sikap ini. Mereka sanggup membuat pengorbanan besar untuk memenuhi keperluan rohani mereka dan menjadi pengikut Yesus yang sejati.​—Matius 4:19, 20; 19:27.

Dalam perumpamaan ketiga, Yesus berkata bahawa Kerajaan di syurga seperti pukat yang dilabuhkan ke dalam laut lalu mendapat bermacam-macam ikan. (Matius 13:47) Kemudian nelayan akan menyimpan ikan yang baik di dalam bekas, tetapi ikan yang tidak sesuai untuk dimakan akan dibuang. Yesus berkata bahawa hal yang sama akan berlaku pada penghujung sistem dunia. Pada waktu itu, para malaikat akan memisahkan orang jahat daripada orang baik.

Yesus berkata bahawa dia akan menjadikan murid-muridnya “penjala manusia,” dan dia sendiri juga melakukan kerja yang sama. (Markus 1:17) Tetapi perumpamaan tentang pukat itu akan terjadi pada masa depan, iaitu “semasa penghujung sistem dunia.” (Matius 13:49) Jadi para rasul dan murid-murid Yesus tahu bahawa akan ada perkembangan yang menarik pada masa depan.

Pengetahuan rohani mereka diperkaya kerana Yesus sudi “menjelaskan segala-galanya kepada mereka.” (Markus 4:34) Dia “bagaikan tuan rumah yang mengeluarkan benda-benda yang baharu dan lama dari tempat penyimpanan hartanya.” (Matius 13:52) Yesus berbuat demikian bukan kerana dia ingin menunjuk-nunjuk, tetapi kerana dia mahu berkongsi kebenaran yang bernilai dengan murid-muridnya. Dia sememangnya layak digelar sebagai guru yang agung.