Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

 BAB 24

Meluaskan Kerja Penyebaran di Galilea

Meluaskan Kerja Penyebaran di Galilea

MATIUS 4:23-25 MARKUS 1:35-39 LUKAS 4:42, 43

  • YESUS MENJELAJAH GALILEA BERSAMA EMPAT ORANG MURIDNYA

  • KERJA PENYEBARAN YESUS DIKETAHUI RAMAI

Yesus dan empat orang muridnya sibuk di Kapernaum. Pada petang hari, penduduk di situ membawa orang sakit kepada Yesus untuk disembuhkan. Dia tiada masa untuk bersendirian dan berdoa kepada Bapanya.

Maka pada awal pagi ketika hari masih gelap, Yesus bangun dan pergi ke suatu tempat yang sunyi agar dia dapat berdoa. Tetapi apabila “Simon dan murid-murid yang lain” mendapati bahawa Yesus sudah tiada, mereka mencarinya. Mungkin Petruslah yang mengetuai usaha mencari Yesus kerana Yesus tinggal di rumahnya.​—Markus 1:36; Lukas 4:38.

Apabila mereka menemui Yesus, Petrus berkata, “Semua orang sedang mencari Guru.” (Markus 1:37) Penduduk Kapernaum mahu Yesus tinggal di situ. Mereka amat menghargai apa yang telah dilakukan oleh Yesus, maka mereka cuba “menghalangnya daripada meninggalkan mereka.” (Lukas 4:42) Tetapi adakah Yesus datang ke bumi hanya untuk menyembuhkan orang sakit? Adakah dia akan menginjil di kawasan ini sahaja? Mari kita lihat jawapannya.

Yesus berkata kepada murid-muridnya, “Marilah kita pergi ke tempat lain, ke pekan-pekan yang berhampiran. Aku hendak menyebarkan berita baik di sana juga, kerana itulah sebabnya aku datang.” Dia bahkan memberitahu orang yang menghalangnya, “Berita baik tentang Kerajaan Tuhan harus aku khabarkan juga di kota-kota lain, kerana untuk tugas itulah aku diutus.”​—Markus 1:38; Lukas 4:43.

Tujuan utama Yesus diutus ke bumi adalah untuk menyebarkan berita baik Kerajaan Tuhan. Kerajaan itulah yang akan menyucikan nama Bapanya dan menyelesaikan semua masalah manusia. Seperti Musa, Yesus melakukan mukjizat untuk membuktikan bahawa dia diutus oleh Tuhan.​—Keluaran 4:1-9, 30, 31.

Maka Yesus meninggalkan Kapernaum dan pergi ke kota-kota lain untuk menginjil. Dia disertai oleh empat orang muridnya, iaitu Petrus, Andreas, Yohanes, dan Yakobus. Pada minggu sebelumnya, Yesus telah menjemput mereka untuk mengikutnya.

Kerja penyebaran mereka di kawasan Galilea membuahkan hasil yang baik! ‘Berita tentang Yesus tersebar ke merata Siria,’ dan bahkan ke seberang Sungai Yordan. Orang yang tinggal di Dekapolis, iaitu wilayah yang merangkumi 10 buah kota, juga mendengar tentang Yesus. (Matius 4:24, 25) Ramai orang, termasuk orang dari Yudea, mengikut Yesus dan murid-muridnya. Banyak orang yang sakit dan dirasuk roh-roh jahat juga dibawa kepada Yesus, dan dia menyembuhkan mereka semua.