Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

 BAB 65

Mengajar semasa dalam Perjalanan ke Yerusalem

Mengajar semasa dalam Perjalanan ke Yerusalem

MATIUS 8:19-22 LUKAS 9:51-62 YOHANES 7:2-10

  • ADIK-ADIK YESUS TIDAK BERIMAN KEPADANYA

  • PENTINGNYA MENGUTAMAKAN KERAJAAN TUHAN

Yesus giat menginjil di Galilea kerana sambutan di situ lebih baik berbanding di Yudea, dan kerana orang Yahudi di Yudea “semakin bertekad untuk membunuh dia” setelah dia menyembuhkan seorang lelaki pada hari Sabat di Yerusalem.​—Yohanes 5:18; 7:1.

Sekarang ialah musim luruh tahun 32 M, dan Perayaan Pondok Daun semakin dekat. Perayaan ini berlangsung selama tujuh hari, dan diikuti dengan sebuah perhimpunan pada hari kelapan. Perayaan ini disambut kerana musim menuai sudah berakhir.

Tiga kali setahun orang Yahudi pergi ke Yerusalem untuk menyambut perayaan mereka. Memandangkan kota itu ialah pusat ibadat mereka, kota itu pasti sesak dengan orang. Maka adik-adik Yesus berkata kepadanya, ‘Tinggalkanlah tempat ini dan pergilah ke Yudea, kerana tiada seorang pun yang akan melakukan sesuatu secara rahsia jika dia mahu menjadi terkenal. Oleh sebab kamu melakukan perkara-perkara ini, tunjukkanlah dirimu kepada dunia.’​—Yohanes 7:3, 4.

Sebenarnya, adik-adik Yesus “tidak beriman kepadanya.” Tetapi mereka mahu orang Yahudi di Yerusalem melihat Yesus melakukan mukjizat. Yesus sedar akan bahayanya berbuat demikian, jadi dia berkata, “Dunia ini tidak mempunyai alasan untuk membenci kamu, tetapi dunia ini membenci aku kerana aku memberikan kesaksian bahawa perbuatan dunia ini jahat. Kamu pergilah ke perayaan itu. Aku tidak akan pergi sekarang kerana saatku belum tiba.”​—Yohanes 7:5-8.

Beberapa hari kemudian, adik-adik Yesus bertolak dengan rombongan yang pergi ke Yerusalem, tetapi Yesus dan pengikutnya bertolak secara diam-diam supaya tidak diketahui orang. Mereka mengambil jalan melalui Samaria, dan bukannya jalan biasa dekat Sungai Yordan. Maka Yesus mengutus beberapa orang muridnya ke Samaria terlebih dahulu untuk mencari tempat tinggal. Tetapi orang di situ enggan menyambut mereka kerana Yesus sedang menuju ke Yerusalem untuk menyambut perayaan orang Yahudi. Maka Yakobus dan Yohanes marah dan berkata, “Adakah Tuan ingin kami menyuruh api turun dari langit dan melenyapkan mereka?” (Lukas 9:54) Yesus menegur mereka berdua. Setelah itu, mereka meneruskan perjalanan.

Semasa dalam perjalanan, seorang jurutulis hukum berkata kepada Yesus, “Guru, aku akan mengikut Guru ke mana sahaja Guru pergi.” Yesus menjawab, “Rubah mempunyai lubang dan burung di langit mempunyai sarang, tetapi Anak Manusia tidak mempunyai tempat tidur sendiri.” (Matius 8:19, 20) Yesus sedang memberitahu jurutulis itu bahawa dia akan mengalami kesusahan jika  dia menjadi pengikut Yesus. Tetapi jurutulis itu tidak sanggup hidup susah. Jadi semasa membaca kisah ini, kita harus menanya diri, “Adakah saya sanggup mengikut Yesus meskipun saya akan hidup susah?”

Kemudian Yesus berkata kepada seorang lagi, “Jadilah pengikutku.” Orang itu berkata, “Tuan, izinkanlah aku pergi mengebumikan bapaku terlebih dahulu.” Tetapi Yesus menjawab, “Biarlah orang mati mengebumikan orang mati. Tetapi hendaklah kamu pergi dan mengisytiharkan berita tentang Kerajaan Tuhan di merata tempat.” (Lukas 9:59, 60) Bapa orang itu belum mati, kerana jika bapanya sudah mati, dia tidak akan berada di situ dengan Yesus. Nampaknya dia sedang mencari dalih kerana dia tidak sanggup mengutamakan Kerajaan Tuhan dalam hidupnya.

Selepas itu, seorang lagi berkata kepada Yesus, “Aku akan mengikut Tuan, tetapi izinkanlah aku mengucapkan selamat tinggal kepada anggota rumah tanggaku terlebih dahulu.” Yesus menjawab, “Orang yang memegang bajak tetapi memandang ke belakang tidak sesuai untuk memasuki Kerajaan Tuhan.”​—Lukas 9:61, 62.

Orang yang ingin mengikut Yesus mesti mengutamakan Kerajaan Tuhan. Jika orang yang memegang bajak asyik memandang ke belakang, jalur semaiannya pasti bengkang-bengkok. Jika dia meninggalkan bajaknya dan menoleh ke belakang, kerjanya pasti tidak siap. Begitu juga, orang yang asyik menoleh ke belakang dan memandang sistem dunia yang lama ini mungkin meninggalkan haluan hidup abadi.