Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

 BAB 31

Memetik Bulir Gandum pada Hari Sabat

Memetik Bulir Gandum pada Hari Sabat

MATIUS 12:1-8 MARKUS 2:23-28 LUKAS 6:1-5

  • MURID YESUS MEMETIK BULIR GANDUM PADA HARI SABAT

  • YESUS IALAH “TUAN YANG BERKUASA ATAS HARI SABAT”

Yesus dan murid-muridnya sedang menuju ke Galilea. Mereka lalu di sebuah ladang gandum, dan gandum di situ sudah masak. Murid-murid Yesus lapar, maka mereka memetik bulir gandum lalu memakannya. Tetapi hari itu ialah hari Sabat, dan orang Farisi nampak apa yang dilakukan oleh mereka.

Sebelum ini, orang Yahudi di Yerusalem ingin membunuh Yesus kerana mereka mendakwa bahawa dia melanggar hukum Sabat. Sekarang orang Farisi menuduh murid-murid Yesus. Mereka berkata, “Lihatlah! Murid-muridmu sudah melakukan apa yang dilarang pada hari Sabat.”​—Matius 12:2.

Orang Farisi mendakwa bahawa perbuatan memetik bulir gandum dan menggosoknya dengan tangan sama dengan kerja menuai dan mengirik. (Keluaran 34:21) Pandangan mereka ini salah kerana sebenarnya pada hari Sabat, orang patut bersukacita dan bertumpu pada hal-hal rohani. Tetapi orang Farisi menokok tambah peraturan hukum Sabat sehingga hukum itu menjadi beban kepada orang ramai. Maka untuk membetulkan pandangan mereka, Yesus menyatakan dua contoh yang menunjukkan tujuan asal Yehuwa berkenaan hari Sabat.

Contoh pertama mengenai Daud dan anak buahnya. Apabila mereka lapar dan terdesak, mereka pergi ke khemah suci dan imam di situ memberikan roti yang suci kepada mereka. Meskipun hanya para imam yang boleh memakan roti itu, Daud dan anak buahnya tidak dihukum oleh Tuhan.​—Imamat 24:5-9; 1 Samuel 21:1-6.

Yesus memberikan contoh kedua dengan berkata,  “Belum pernahkah kamu membaca dalam Hukum bahawa imam yang bekerja di Rumah Tuhan pada hari Sabat tidak dianggap bersalah?” Biarpun pada hari Sabat, para imam masih menyembelih binatang dan melakukan kerja-kerja lain di Rumah Tuhan. Maka dia berkata, “Aku memberitahu kamu bahawa orang yang lebih penting daripada Rumah Tuhan ada di sini.”​—Matius 12:5, 6; Bilangan 28:9.

Yesus memetik Ayat-Ayat Suci sekali lagi untuk menegaskan isi yang ingin disampaikannya, “Jika kamu memahami maksud ayat ini, ‘Aku mahukan belas kasihan, bukannya korban,’ kamu tidak akan menyalahkan orang yang tidak bersalah.” Dia juga berkata, “Anak Manusia ialah Tuan yang berkuasa atas hari Sabat.” Dia merujuk kepada keadaan damai semasa pemerintahan seribu tahunnya pada masa depan.​—Matius 12:7, 8; Hosea 6:6.

Kini, manusia menderita kerana pemerintahan Syaitan yang sarat dengan peperangan dan keganasan. Tetapi apabila Yesus menjadi raja dan berkuasa atas hari Sabat, dia akan memberkati kita dengan kedamaian yang melimpah!