Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

 BAB 51

Dibunuh semasa Hari Jadi Herodes

Dibunuh semasa Hari Jadi Herodes

MATIUS 14:1-12 MARKUS 6:14-29 LUKAS 9:7-9

  • HERODES MEMANCUNG KEPALA YOHANES PEMBAPTIS

Sementara para rasul menginjil di Galilea, Yohanes Pembaptis meringkuk dalam penjara. Sudah hampir dua tahun dia dipenjarakan.

Yohanes telah mengumumkan bahawa Raja Herodes Antipas bersalah kerana mengahwini Herodias, iaitu isteri kepada abangnya Filipus. Herodes bercerai dengan isteri pertamanya agar dapat mengahwini Herodias. Herodes mendakwa bahawa dia mengikut Hukum Musa, tetapi menurut Hukum Musa, perkahwinannya tidak sah dan dia dianggap berzina. Oleh sebab Yohanes telah menegur dia, dia memenjarakan Yohanes untuk menyenangkan hati Herodias.

Herodes tidak tahu apa yang harus dilakukannya. Dia takut kerana orang ramai “menganggap Yohanes sebagai seorang nabi.” (Matius 14:5) Herodias pula “menaruh dendam terhadap Yohanes dan mahu membunuhnya.” (Markus 6:19) Akhirnya peluang yang dinanti-nantikan Herodias tiba pada hari jadi Herodes.

Sebelum Paska tahun 32 M, Herodes mengadakan majlis hari jadinya. Dia menjemput para pegawai tinggi, ketua pasukan tentera, dan orang yang berpengaruh di Galilea. Semasa jamuan itu, Salome, iaitu anak perempuan Herodias dan bekas suaminya Filipus, menari untuk para tetamu. Mereka semua terpesona dengan tariannya.

Herodes sangat gembira, maka dia berkata kepada anak tirinya itu, “Mintalah apa sahaja dan beta akan memberikannya kepadamu.” Dia bahkan bersumpah, “Apa sahaja yang kamu minta, beta akan memberikannya, biarpun kamu meminta separuh daripada kerajaan beta.” Oleh itu, gadis itu pergi kepada ibunya dan bertanya, “Apakah yang patut saya minta?”​—Markus 6:22-24.

Inilah peluang keemasan Herodias! Dia segera menjawab, “Mintalah kepala Yohanes Pembaptis.” Tanpa berlengah-lengah, gadis itu menghadap Herodes dan memohon, “Berilah saya kepala Yohanes Pembaptis di atas sebuah dulang sekarang juga.”​—Markus 6:24, 25.

Permintaan itu membuat Herodes sangat gelisah. Tetapi memandangkan dia telah bersumpah di depan semua tetamunya, dia mengutus orang ke penjara untuk memancung kepala Yohanes kerana dia tidak mahu kehilangan air muka. Tidak lama kemudian, kepala Yohanes diberikan kepada Salome di atas sebuah dulang, dan dia menyerahkannya kepada ibunya.

Selepas itu, murid-murid Yohanes datang untuk mengambil mayatnya dan mengebumikannya. Kemudian mereka memberitahu Yesus apa yang telah berlaku.

Herodes sangat bingung apabila dia mendengar bahawa Yesus menyembuhkan orang dan mengusir roh-roh jahat. Dia tertanya-tanya sama ada Yesus ialah Yohanes yang “telah dibangkitkan daripada kematian.” (Lukas 9:7) Maka Herodes Antipas ingin sekali bertemu dengan Yesus. Tujuannya bukanlah untuk mendengar ajaran Yesus, tetapi untuk mengetahui sama ada sangkaannya tepat atau tidak.