Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

 BAB 45

Berkuasa atas Roh-Roh Jahat

Berkuasa atas Roh-Roh Jahat

MATIUS 8:28-34 MARKUS 5:1-20 LUKAS 8:26-39

  • ROH-ROH JAHAT MASUK KE DALAM KAWANAN BABI

Apabila Yesus tiba di seberang tasik, dua orang lelaki yang dirasuk roh jahat datang dari kuburan dan berlari ke arahnya! Tetapi Bible hanya berfokus kepada salah seorang daripada mereka kerana lelaki itu mungkin lebih ganas daripada temannya dan telah dirasuk buat masa yang lebih lama.

Lelaki itu tidak berpakaian, dan “siang malam dia menjerit-jerit di kuburan dan di pergunungan.” Dia juga “melukai dirinya dengan batu.” (Markus 5:5) Dia begitu ganas sehingga tiada sesiapa pun yang berani lalu di jalan itu. Orang cuba merantai tangannya dan membelenggu kakinya, tetapi dia memutuskan rantai dan meremukkan belenggu itu. Tiada orang yang cukup kuat untuk menahannya.

Apabila dia bersujud di hadapan Yesus, roh-roh jahat yang merasuknya membuatnya menjerit, “Hai Yesus, Anak Tuhan Yang Maha Tinggi, apa kena-mengena aku dengan kamu? Bersumpahlah demi Tuhan bahawa kamu tidak akan menyeksa aku.” Yesus menunjukkan bahawa dia berkuasa atas mereka dan berkata, “Roh jahat, keluarlah daripada lelaki ini!”​—Markus 5:7, 8.

Sebenarnya lelaki itu dirasuk oleh banyak roh jahat. Apabila Yesus bertanya, “Siapakah nama kamu?” roh jahat itu menjawab, “Nama aku Legiun kerana bilangan kami banyak sekali.” (Markus 5:9) “Legiun” ialah unit bagi pasukan tentera Roma yang terdiri daripada ribuan askar. Hal ini menunjukkan bahawa banyak roh jahat telah merasuk lelaki itu dan membuatnya menderita. Mereka merayu agar Yesus “tidak menghalau mereka ke jurang yang dalam.” Nampaknya mereka tahu apa yang bakal terjadi kepada mereka dan Syaitan, ketua mereka.​—Lukas 8:31.

Ketika itu, ada kira-kira 2,000 ekor babi yang sedang makan. Babi ialah binatang najis dan orang Yahudi tidak patut menternak binatang ini. Roh-roh jahat itu merayu, “Izinkanlah kami masuk ke dalam babi-babi itu.” (Markus 5:12) Yesus membenarkan mereka berbuat demikian. Maka semua babi itu terjun dan mati lemas di dalam tasik.

 Apabila orang yang menjaga kawanan babi itu nampak apa yang berlaku, mereka melaporkan hal itu di kota dan di desa. Maka orang ramai pergi untuk melihat apa yang terjadi. Mereka nampak lelaki yang sudah dibebaskan daripada roh-roh jahat itu sudah berpakaian, berfikiran waras, dan sedang duduk dekat kaki Yesus.

Orang ramai dicengkam perasaan takut kerana mereka tidak faham apa yang berlaku. Jadi mereka merayu kepada Yesus supaya meninggalkan kawasan mereka. Semasa Yesus menaiki perahu, lelaki itu merayu supaya dibenarkan mengikut Yesus. Tetapi Yesus berkata kepadanya, “Pulanglah kepada sanak saudaramu. Beritahulah mereka semua yang telah dilakukan oleh Yehuwa untukmu dan bagaimana Dia menunjukkan belas kasihan terhadapmu.”​—Markus 5:19.

Biasanya Yesus melarang orang yang disembuhkannya untuk memberitahu sesiapa pun tentang apa yang berlaku. Tetapi kali ini, dia menyuruh lelaki itu untuk memberitahu orang tentang hal ini kerana lelaki itu dapat memberikan kesaksian kepada orang yang tidak pernah berjumpa dengan Yesus. Kesaksian yang diberikan oleh lelaki itu juga mungkin boleh mengubah pandangan buruk orang tentang kawanan babi yang mati lemas itu. Maka lelaki itu pergi dan memberitahu penduduk Dekapolis segala-gala yang dilakukan oleh Yesus untuknya.