Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

 BAB 47

Gadis Kecil Hidup Semula!

Gadis Kecil Hidup Semula!

MATIUS 9:18, 23-26 MARKUS 5:22-24, 35-43 LUKAS 8:40-42, 49-56

  • YESUS MEMBANGKITKAN ANAK PEREMPUAN YAIRUS

Selepas Yairus nampak Yesus menyembuhkan wanita yang menderita penyakit pendarahan itu, dia rasa yakin bahawa Yesus dapat menyembuhkan anak perempuannya juga. Tetapi sekarang ‘anak perempuannya mungkin sudah mati.’ (Matius 9:18) Dapatkah Yesus membantunya?

Semasa Yesus bercakap dengan wanita itu, beberapa orang dari rumah Yairus datang dan berkata, “Anak perempuan tuan sudah mati! Usahlah menyusahkan Guru lagi.”​—Markus 5:35.

Alangkah sedihnya Yairus selepas mendapat berita itu! Meskipun dia seorang tokoh masyarakat yang berpengaruh, dia tidak berdaya melakukan apa-apa. Tetapi Yesus terdengar berita sedih itu dan berkata kepada Yairus, “Janganlah bimbang. Berimanlah.”​—Markus 5:36.

Maka Yesus mengikut Yairus ke rumahnya. Apabila mereka tiba di rumah Yairus, Yesus mendapati bahawa suasana di situ kecoh. Ada orang yang meratap, memukul dada dengan sedih, dan menangis dengan kuat. Yesus masuk dan berkata, “Gadis ini tidak mati, dia hanya tidur.” (Markus 5:39) Orang di situ ketawa setelah mendengar kata-kata Yesus kerana mereka tahu bahawa gadis itu telah mati. Tetapi dengan kuasa daripada Tuhan, Yesus akan menunjukkan bahawa orang yang sudah mati dapat dibangkitkan, sepertimana orang yang tidur nyenyak dapat dibangunkan.

Yesus menyuruh semua orang keluar kecuali ibu bapa gadis itu, Petrus, Yakobus, dan Yohanes. Kemudian dia membawa mereka berlima ke tempat gadis itu berbaring. Dia memegang tangan gadis itu dan berkata kepadanya, “‘Talita kumi,’ yang bererti ‘Gadis kecil, aku berkata kepada kamu, bangunlah!’” (Markus 5:41) Gadis kecil itu segera bangun dan mula berjalan. Bayangkan betapa gembiranya Yairus dan isterinya! Kemudian Yesus menyuruh mereka untuk memberi gadis itu makanan.

Sebelum ini, Yesus menyuruh orang yang telah disembuhkannya agar tidak memberitahu orang lain tentang apa yang telah berlaku. Dia juga memberikan arahan yang sama kepada ibu bapa gadis itu. Biarpun begitu, berita tentang kejadian itu masih tersebar “ke seluruh kawasan itu.” (Matius 9:26) Jika anda nampak orang yang tersayang dibangkitkan, bukankah anda juga akan menyebarkan berita baik itu? Inilah catatan kedua tentang pembangkitan yang dilakukan oleh Yesus.