Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

 BAB 110

Hari Terakhir Yesus di Rumah Tuhan

Hari Terakhir Yesus di Rumah Tuhan

MATIUS 23:25–24:2 MARKUS 12:41–13:2 LUKAS 21:1-6

  • YESUS MENGUTUK PARA PEMIMPIN AGAMA

  • RUMAH TUHAN AKAN DIMUSNAHKAN

  • SUMBANGAN BALU MISKIN

Semasa Yesus berada di Rumah Tuhan buat kali terakhir, dia terus mendedahkan kemunafikan jurutulis hukum dan orang Farisi. Dia berkata, “Kamu membersihkan bahagian luar cawan dan pinggan tetapi bahagian dalamnya penuh dengan ketamakan dan keinginan hati yang melampau. Hai orang Farisi yang buta, bersihkanlah dahulu bahagian dalam cawan dan pinggan, lalu bahagian luarnya juga akan menjadi bersih.” (Matius 23:25, 26) Orang Farisi terlalu berfokus kepada upacara keagamaan dan hal-hal luaran sehingga mengabaikan hal yang lebih penting, iaitu kesucian hati mereka.

Mereka juga munafik kerana meskipun mereka ialah “keturunan orang yang membunuh para nabi,” mereka mahu membina kubur dan menghiasi makam nabi. (Matius 23:31) Tetapi pada masa yang sama, mereka berusaha untuk membunuh Yesus.​—Yohanes 5:18; 7:1, 25.

Apakah yang akan terjadi kepada mereka jika mereka tidak bertaubat? Yesus berkata, “Kamu ular dan keturunan ular yang berbisa. Bagaimanakah kamu dapat melarikan diri daripada dihakimi lalu dibuang dalam Gehena?” (Matius 23:33) “Gehena” merujuk kepada Lembah Hinom, iaitu tempat membakar sampah. Maka Yesus sedang menunjukkan bahawa mereka akan dibinasakan buat selama-lamanya.

Yesus akan mengutus para pengikutnya sebagai “nabi, orang bijak, dan guru” kepada para pemimpin agama itu, tetapi apakah reaksi mereka? Yesus berkata, “Beberapa orang antara mereka akan kamu bunuh dan gantung pada tiang. Ada yang akan kamu cambuk di rumah ibadat dan ada pula yang akan kamu aniaya dari kota ke kota. Dengan demikian, kamu akan bertanggungjawab atas penumpahan darah semua orang yang melakukan apa yang benar, yang dibunuh di bumi, daripada darah Habel sehingga darah Zakharia.” Yesus memberikan amaran berikut kepada mereka: “Semua dosa itu akan ditanggung oleh generasi ini.” (Matius 23:34-36) Ya, mereka dihukum pada tahun 70 M apabila tentera Roma memusnahkan Yerusalem dan membunuh ribuan orang Yahudi.

Semasa memikirkan situasi ini, Yesus berkata dengan sedih, “Yerusalem, Yerusalem, kamu membunuh para nabi dan merejam orang yang diutus kepada kamu. Sudah banyak kali aku ingin mengumpulkan anak-anak kamu sepertimana seekor ayam betina mengumpulkan anak-anaknya di bawah sayapnya! Tetapi kamu semua tidak mahu. Lihatlah, rumah ini akan terbiar dan diserahkan kepada kamu.” (Matius 23:37, 38) Mereka mungkin tertanya-tanya sama ada “rumah ini” merujuk kepada Rumah Tuhan di Yerusalem, yang nampaknya dilindungi oleh Tuhan.

Yesus menambah, “Mulai sekarang kamu tidak akan melihat aku lagi sehingga kamu berkata, ‘Diberkatilah dia yang datang atas nama Yehuwa!’” (Matius 23:39) Dia sedang memetik ayat di Mazmur 118:26 yang berbunyi, “Diberkatilah dia yang datang atas nama Yehuwa; kami memberkatimu dari Rumah Yehuwa.” Ya, kata-kata itu akan diucapkan tetapi bukan dari Rumah Tuhan di Yerusalem kerana rumah itu akan dimusnahkan.

Selepas itu, Yesus pergi ke tempat peti-peti sumbangan diletakkan. Di situ, dia nampak beberapa orang Yahudi dan orang kaya yang “memasukkan banyak wang.” Kemudian dia nampak seorang balu miskin ‘memasukkan dua keping mata wang yang sangat rendah nilainya.’ (Markus 12:41, 42) Yesus tahu bahawa Tuhan pasti sangat gembira dengan sumbangan balu itu.

Maka dia memanggil para pengikutnya dan berkata kepada mereka, “Apa yang dimasukkan oleh balu yang miskin ini lebih banyak daripada wang yang dimasukkan oleh semua orang ke dalam peti sumbangan.” Apakah maksudnya? Dia menjelaskan,  “Semua orang lain memberikan persembahan daripada lebihan kekayaan mereka, tetapi wanita ini, walaupun dia sangat miskin, dia memberikan segala nafkah hidup yang ada padanya.” (Markus 12:43, 44) Ya, balu itu jauh berbeza daripada para pemimpin agama!

Semasa Yesus keluar dari Rumah Tuhan, salah seorang muridnya berkata, “Guru, lihatlah betapa indahnya batu-batu dan bangunan-bangunan ini!” (Markus 13:1) Tembok Rumah Tuhan dibina daripada batu-batu yang sangat besar, maka bangunan itu kelihatan megah dan kukuh. Oleh itu, murid-murid Yesus pasti hairan apabila dia berkata, “Kamu nampak bangunan-bangunan yang indah ini, bukan? Batu-batu di sini pasti dirobohkan sehingga satu batu pun tidak akan tersusun di atas batu yang lain.”​—Markus 13:2.

Selepas itu, Yesus dan para rasul berjalan melalui Lembah Kidron dan mendaki Gunung Zaitun. Kemudian Petrus, Andreas, Yakobus, dan Yohanes, datang kepadanya. Dari gunung itu, mereka melihat Rumah Tuhan yang tersergam indah.