MATIUS 21:19-27 MARKUS 11:19-33 LUKAS 20:1-8

  • PENGAJARAN TENTANG IMAN DAN POKOK ARA YANG LAYU

  • KUASA YESUS DICABAR

Pada petang hari Isnin, Yesus meninggalkan Yerusalem dan kembali ke Betania, yang terletak di sebelah timur lereng Gunung Zaitun. Dia mungkin bermalam di rumah Lazarus, Maria, dan Marta.

Pada pagi keesokan harinya, 11 Nisan, Yesus dan murid-muridnya pergi ke Yerusalem sekali lagi. Inilah kali terakhir Yesus pergi ke Rumah Tuhan. Selepas itu, dia akan menyambut Perayaan Paska, mengasaskan sambutan Peringatan, dan dihadapkan ke mahkamah lalu dihukum mati.

Semasa dalam perjalanan, Petrus nampak pokok ara yang dikutuk oleh Yesus pada hari sebelumnya. Dia berkata, “Lihatlah! Pokok ara yang Rabbi kutuk itu sudah pun layu.”​—Markus 11:21.

Mengapakah Yesus membuat pokok itu layu? Dia berkata, “Jika kamu beriman dan tidak ragu-ragu, kamu juga dapat melakukan apa yang telah aku lakukan terhadap pokok ara ini. Bukan itu sahaja, jika kamu berkata kepada gunung ini, ‘Terangkatlah dan terbuanglah ke dalam laut,’ hal itu pun akan berlaku. Jika kamu beriman, semua perkara yang kamu minta dalam doa akan kamu terima.” (Matius 21:21, 22) Sebelum ini, dia juga pernah berkata bahawa jika mereka beriman, mereka dapat berkata kepada sebuah gunung, “Beralihlah dari sini ke sana,” lalu gunung itu akan beralih.​—Matius 17:20.

Dengan membuat pokok itu layu, Yesus mengajar pengikutnya bahawa mereka perlu beriman kepada Tuhan. Dia berkata, “Apa sahaja yang kamu mohon dalam doa, berimanlah bahawa kamu akan menerimanya. Maka kamu pun akan menerimanya.” (Markus 11:24) Pengajaran ini amat penting kerana para rasul akan menghadapi cubaan yang besar tidak lama lagi. Tetapi terdapat satu lagi pengajaran yang dapat kita peroleh daripada pokok yang layu itu.

Bangsa Israel seperti pokok ara itu yang berdaun tetapi tidak menghasilkan buah. Mereka telah berjanji untuk menjadi umat Tuhan dan mematuhi Hukum-Nya, tetapi mereka tidak beriman dan tidak menghasilkan buah yang baik. Mereka bahkan menolak Anak Tuhan! Maka Yesus membuat pokok ara itu layu untuk menggambarkan apa yang bakal berlaku kepada bangsa yang tidak beriman itu.

Kemudian Yesus dan murid-muridnya tiba di Yerusalem. Seperti biasa, Yesus pergi ke Rumah Tuhan untuk mengajar orang. Para ketua imam dan pemimpin orang Yahudi ingat akan apa yang telah dilakukan oleh Yesus kepada penukar wang pada hari sebelumnya, maka mereka mencabarnya dengan berkata, “Dari manakah datangnya kuasamu? Siapakah yang memberi kamu kuasa untuk melakukan semua ini?”​—Markus 11:28.

Yesus menjawab, “Aku juga akan tanya kamu satu soalan. Jika kamu menjawabnya, aku akan memberitahu kamu siapa yang memberi aku kuasa untuk melakukan semua ini. Siapakah yang memberi Yohanes kuasa untuk membaptis orang? Tuhan atau manusia? Jawablah soalanku.” Mereka mula berbincang sesama sendiri dan berkata, “Jika kita kata, ‘Tuhan,’ dia akan bertanya, ‘Jadi, mengapakah kamu tidak percaya kepadanya?’ Atau patutkah kita berkata, ‘Manusia’?” Namun, mereka takut berkata demikian kerana orang ramai menganggap Yohanes sebagai seorang nabi.​—Markus 11:29-32.

Mereka tidak mahu menjawab soalan Yesus. Maka mereka berkata, “Kami tidak tahu.” Yesus pun berkata, “Kalau begitu, aku pun tidak akan memberitahu kamu siapa yang memberi aku kuasa untuk melakukan semua ini.”​—Markus 11:33.