Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

 BAB 126

Petrus Menyangkal Yesus di Rumah Kayafas

Petrus Menyangkal Yesus di Rumah Kayafas

Apabila Yesus ditangkap di Taman Getsemani, para rasul lari dan meninggalkannya kerana mereka takut. Tetapi dua orang antara mereka, iaitu Petrus dan Yohanes, berpatah balik. (Yohanes 18:15; 19:35; 21:24) Mereka nampak Yesus dibawa ke rumah Hanas. Kemudian apabila Hanas menghantar Yesus kepada Imam Agung Kayafas, Petrus dan Yohanes mengikut dari jauh. Meskipun mereka takut bahawa mereka akan dibunuh, mereka ingin mengetahui apa yang akan berlaku kepada Yesus.

Yohanes dikenali oleh imam agung, jadi dia dibenarkan masuk ke halaman rumah Kayafas. Petrus pula menunggu di luar pintu sehingga Yohanes keluar untuk bercakap dengan hamba perempuan yang menjaga pintu, dan membawanya masuk.

Cuaca malam itu sejuk, maka ada orang menyalakan unggun api di halaman rumah. Petrus duduk bersama mereka untuk memanaskan badan sambil menantikan keputusan perbicaraan Yesus. (Matius 26:58) Nyala unggun api membolehkan hamba perempuan itu melihat wajah Petrus dengan lebih jelas, maka dia menanya Petrus, “Bukankah kamu juga salah seorang murid lelaki itu?” (Yohanes 18:17) Orang lain di situ juga dapat mengecam wajah Petrus dan berkata bahawa dia ialah pengikut Yesus.​—Matius 26:69, 71-73; Markus 14:70.

Petrus menjadi cemas dan berundur dari situ. Dia menafikan bahawa dia ada bersama Yesus. Dia juga berkata, “Aku tidak kenal dia dan tidak faham apa maksud kamu.” (Markus 14:67, 68) Dia bahkan bersumpah bahawa dia tidak mengenal Yesus, dan berkata bahawa jika dia berbohong, Tuhan akan menghukumnya.​—Matius 26:74.

Sementara itu, perbicaraan Yesus sedang berlangsung di bahagian rumah Kayafas yang nampaknya terletak berdekatan halaman itu. Maka Petrus dan orang lain yang menunggu di situ dapat melihat saksi-saksi yang dibawa masuk untuk memberikan keterangan.

Orang di situ tahu bahawa Petrus berbohong kerana loghatnya. Tambahan lagi, salah seorang lelaki di situ ialah sanak saudara Malkhus, yang telinganya dikerat oleh Petrus. Lelaki itu berkata, “Bukankah kamu yang aku nampak di taman itu bersamanya?” Apabila Petrus menafikan hal itu buat kali ketiga, seekor ayam jantan berkokok, tepat seperti yang dinubuatkan.​—Yohanes 13:38; 18:26, 27.

Pada waktu itu, Yesus nampaknya sedang berada di beranda berdekatan halaman itu. Dia berpaling dan memandang Petrus, lalu Petrus teringat kata-kata Yesus beberapa jam sebelum ini di bilik tingkat atas. Bayangkanlah betapa sedihnya Petrus apabila dia sedar apa yang telah dilakukannya! Dia keluar dan menangis tersedu-sedu.​—Lukas 22:61, 62.

Mengapakah Petrus menyangkal Yesus? Bukankah dia sangat yakin bahawa imannya teguh dan bahawa dia tidak akan meninggalkan Yesus? Sekarang kebenaran diputarbelitkan dan Yesus dituduh sebagai seorang penjenayah. Petrus sepatutnya mempertahankan Yesus, tetapi sebaliknya dia telah mengkhianati Tuannya, yang dapat “membawa kehidupan kekal.”​—Yohanes 6:68.

Pengalaman Petrus mengajar kita bahawa orang yang beriman dan setia pun mungkin akan terjatuh jika dia tidak bersedia untuk menghadapi cubaan dan godaan yang tidak diduga. Semoga kita semua mengambil iktibar daripada kesilapan Petrus!