Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

 BAB 113

Perumpamaan Talenta dan Sikap Rajin Berusaha

Perumpamaan Talenta dan Sikap Rajin Berusaha

MATIUS 25:14-30

  • PERUMPAMAAN YESUS TENTANG TALENTA

Yesus menceritakan satu lagi perumpamaan kepada empat orang rasulnya di Gunung Zaitun. Beberapa hari yang lalu, semasa di Yerikho, dia telah menceritakan perumpamaan tentang wang mina untuk menunjukkan bahawa Kerajaan Tuhan akan datang pada masa depan. Perumpamaan yang diceritakannya sekarang mempunyai beberapa ciri yang sama dengan perumpamaan wang mina itu, dan merupakan sebahagian daripada jawapannya kepada soalan tentang kehadirannya dan penghujung sistem ini. Perumpamaan ini menekankan pentingnya untuk menjalankan kerja penyebaran dengan rajin.

Yesus berkata, ‘Seorang lelaki akan berangkat ke luar negeri. Dia memanggil hamba-hambanya dan mengamanahkan hartanya kepada mereka.’ (Matius 25:14) Memandangkan Yesus pernah menyamakan dirinya dengan bangsawan yang ‘pergi ke tempat jauh untuk menjadi raja,’ para rasul tahu bahawa Yesus ialah “lelaki” dalam perumpamaan ini.​—Lukas 19:12.

Sebelum lelaki itu berangkat, dia mengamanahkan hartanya kepada hamba-hambanya. Semasa Yesus menginjil di bumi selama tiga tahun setengah, dia berfokus kepada kerja menyebarkan berita baik tentang Kerajaan Tuhan dan melatih para pengikutnya untuk berbuat demikian. Tidak lama lagi, dia akan meninggalkan bumi, dan dia yakin bahawa mereka akan terus melakukan kerja ini.​—Matius 10:7; Lukas 10:1, 8, 9; bandingkan Yohanes 4:38; 14:12.

Bagaimanakah lelaki itu mengamanahkan hartanya? Yesus menjelaskan, “Berdasarkan kebolehan masing-masing, dia memberi seorang hamba lima talenta, seorang dua talenta, dan seorang lagi satu talenta.” (Matius 25:15) Apakah yang akan dilakukan oleh hamba-hamba itu dengan talenta yang diamanahkan kepada mereka? Adakah mereka akan bekerja keras dan menggandakan wang itu? Yesus berkata,

“Hamba yang menerima lima talenta itu segera pergi berniaga lalu mendapat lima talenta lagi. Begitu juga, hamba yang menerima dua talenta mendapat dua talenta lagi. Tetapi hamba yang menerima satu talenta sahaja pergi dan menggali lubang di tanah lalu menyembunyikan wang perak tuannya.” (Matius 25:16-18) Apakah yang akan berlaku apabila lelaki itu kembali?

“Setelah sekian lama,” kata Yesus, “tuan kepada hamba-hamba itu kembali untuk memeriksa apa yang telah dilakukan oleh mereka dengan wangnya.” (Matius 25:19) Dua orang hamba yang pertama berusaha “berdasarkan kebolehan masing-masing.” Mereka rajin, bekerja keras, dan menggandakan wang yang telah diamanahkan. (Pada zaman itu, seseorang harus bekerja selama kira-kira 20 tahun untuk mendapat  upah satu talenta.) Lelaki itu memuji dua orang hambanya, “Bagus, hamba yang baik dan setia! Kamu menguruskan hal yang kecil dengan setia. Jadi, aku akan melantik kamu untuk menguruskan lebih banyak hal. Bersukacitalah bersama tuanmu.”​—Matius 25:21.

Bagaimana pula dengan hamba yang menerima satu talenta? Hamba itu berkata kepada tuannya, “Hamba tahu tuan seorang yang amat tegas. Tuan menuai meskipun tidak menanam, dan memungut hasil meskipun tidak mengusahakannya. Jadi hamba berasa takut dan pergi menyembunyikan talenta tuan di dalam tanah. Lihat, inilah milik tuan.” (Matius 25:24, 25) Dia bahkan tidak memasukkan wang itu ke dalam bank supaya mendapat faedah. Ya, dia sememangnya merugikan tuannya.

Tuannya memanggilnya “hamba yang jahat dan malas.” Kemudian tuannya mengambil talentanya dan memberikan talenta itu kepada hamba yang rajin, lalu berkata, “Bagi setiap orang yang mempunyai sesuatu, dia akan diberi lebih banyak supaya dia memilikinya dengan melimpah. Tetapi bagi orang yang tiada apa-apa, bahkan apa yang dimilikinya juga akan diambil daripadanya.”​—Matius 25:26, 29.

Ada banyak yang perlu difikirkan oleh para pengikut Yesus setelah mendengar perumpamaan ini. Mereka sedar bahawa Yesus telah mengamanahkan sesuatu yang amat berharga kepada mereka, iaitu kerja menjadikan orang muridnya. Yesus ingin mereka melakukan kerja ini dengan tekun dan berusaha “berdasarkan kebolehan masing-masing.” Dia tahu bahawa setiap orang akan membuahkan hasil yang berbeza. Meskipun demikian, Yesus tidak senang hati jika seseorang “malas” dan tidak berusaha dengan tekun.

Para rasul pasti bersukacita kerana Yesus memberikan jaminan berikut: “Bagi setiap orang yang mempunyai sesuatu, dia akan diberi lebih banyak supaya dia memilikinya dengan melimpah.”