MATIUS 26:57-68 MARKUS 14:53-65 LUKAS 22:54, 63-65 YOHANES 18:13, 14, 19-24

  • YESUS DIBAWA KEPADA HANAS, BEKAS IMAM AGUNG

  • MAJLIS ORANG YAHUDI MENGADAKAN PERBICARAAN YANG TIDAK ADIL

Yesus diikat seperti seorang penjenayah dan dibawa kepada Hanas. Dahulu, iaitu apabila Yesus berusia 12 tahun, dia pernah membuat guru-guru agama di Rumah Tuhan kagum dengan pemahamannya. Pada waktu itu, Hanas ialah imam agung. (Lukas 2:42, 47) Tetapi sekarang menantunya, iaitu Kayafas, menjadi imam agung.

Sementara Yesus berada di rumah Hanas, Kayafas mengumpulkan Majlis Orang Yahudi. Majlis itu terdiri daripada 71 orang, termasuk imam agung dan bekas-bekas imam agung.

Hanas menyoal Yesus “tentang murid-muridnya dan tentang ajarannya.” Yesus menjawab, “Aku sentiasa bercakap di hadapan umum. Aku tidak pernah menyatakan sesuatu secara rahsia. Aku selalu mengajar di rumah ibadat dan Rumah Tuhan, iaitu tempat semua orang Yahudi berkumpul. Jadi, mengapakah kamu menyoal aku? Soallah mereka yang sudah mendengar kata-kataku. Mereka tahu apa yang aku katakan.”​—Yohanes 18:19-21.

Salah seorang pengawal menampar muka Yesus lalu berkata, “Begitukah caranya kamu menjawab ketua imam?” Tetapi Yesus tahu bahawa dia tidak bersalah, maka dia menjawab, “Jika aku mengatakan sesuatu yang salah, beritahulah aku kesalahan itu. Tetapi jika apa yang aku katakan benar, mengapakah kamu memukul aku?” (Yohanes 18:22, 23) Kemudian Hanas menyuruh orang untuk membawa Yesus kepada menantunya Kayafas.

 Seluruh Majlis Orang Yahudi, iaitu imam agung, para pemimpin orang Yahudi, dan jurutulis hukum, sudah berkumpul di rumah Kayafas. Menurut Hukum Tuhan, mereka tidak sepatutnya mengadakan perbicaraan pada malam Perayaan Paska, tetapi mereka tidak ingin melepaskan peluang ini untuk mencapai tujuan jahat mereka.

Perbicaraan ini memang tidak adil. Selepas Yesus membangkitkan Lazarus, mereka memutuskan bahawa Yesus patut mati. (Yohanes 11:47-53) Beberapa hari sebelum ini, mereka juga berkomplot untuk menangkap Yesus dan membunuhnya. (Matius 26:3, 4) Jadi sebelum perbicaraan ini bermula, mereka sudah pun memutuskan bahawa Yesus harus mati.

Selain itu, mereka mencari saksi-saksi palsu untuk menuduh Yesus. Walaupun banyak saksi palsu tampil, kesaksian mereka saling bercanggah. Akhirnya dua orang datang dan berkata, “Kami pernah mendengar dia berkata, ‘Aku akan merobohkan Rumah Tuhan ini yang dibuat dengan tangan manusia, dan dalam masa tiga hari, aku akan membina Rumah Tuhan yang tidak dibuat dengan tangan manusia.’” (Markus 14:58) Tetapi dalam hal ini pun kesaksian mereka saling bercanggah.

Kayafas menanya Yesus, “Mengapakah kamu tidak menjawab? Tidakkah kamu mendengar tuduhan yang dilontarkan terhadap kamu?” (Markus 14:60) Memandangkan Yesus berdiam diri, Kayafas menukar taktiknya.

Kayafas tahu bahawa orang Yahudi tidak suka jika seseorang mendakwa bahawa dia ialah Anak Tuhan. Sebelum ini, apabila Yesus memanggil Tuhan sebagai Bapanya, orang Yahudi mahu membunuhnya kerana mereka mendakwa bahawa dia “menyamakan dirinya dengan Tuhan.” (Yohanes 5:17, 18; 10:31-39) Maka dengan licik, Kayafas berkata kepada Yesus, “Bersumpahlah demi Tuhan yang hidup dan beritahulah kami sama ada kamu ialah Kristus, iaitu Anak Tuhan, atau tidak!” (Matius 26:63) Yesus pernah mengakui bahawa dia ialah Anak Tuhan. (Yohanes 3:18; 5:25; 11:4) Jika dia tidak berbuat demikian sekarang, hal ini akan membuktikan bahawa dia bukanlah Anak Tuhan dan Kristus. Maka Yesus menjawab, “Ya, dan kamu semua akan melihat Anak Manusia datang atas awan di langit dan duduk di sebelah kanan Dia Yang Berkuasa.”​—Markus 14:62.

Kayafas pun mengoyakkan jubah luarnya lalu berkata, “Dia telah menghina Tuhan! Adakah kita memerlukan saksi lagi? Kamu semua sudah mendengar kata-katanya yang menghina Tuhan. Apakah pendapat kamu?” Seluruh Majlis Orang Yahudi menjawab, “Dia patut mati.”​—Matius 26:65, 66.

Kemudian mereka mentertawakan Yesus dan menumbuknya. Ada juga yang meludahinya dan menampar mukanya. Setelah mereka menutup mukanya dan menamparnya, mereka berkata, “Wahai nabi, beritahulah kami siapa yang memukulmu.” (Lukas 22:64) Ya, mereka mengadakan perbicaraan haram dan menghina Anak Tuhan!