Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

 BAB 115

Yesus Merayakan Paska Buat Kali Terakhir

Yesus Merayakan Paska Buat Kali Terakhir

MATIUS 26:1-5, 14-19 MARKUS 14:1, 2, 10-16 LUKAS 22:1-13

  • YUDAS ISKARIOT DIUPAH UNTUK MENGKHIANATI YESUS

  • DUA RASUL MEMBUAT PERSEDIAAN UNTUK PASKA

Yesus baru selesai mengajar empat orang rasulnya tentang kehadirannya dan penghujung sistem ini.

Dia sangat sibuk sepanjang 11 Nisan. Mungkin semasa dalam perjalanan pulang ke Betania, dia memberitahu rasulnya, “Kamu tahu bahawa dua hari lagi, Perayaan Paska akan disambut dan Anak Manusia akan diserahkan kepada musuh untuk dihukum bunuh.”​—Matius 26:2.

Yesus telah mengutuk para pemimpin agama dan mendedahkan kejahatan mereka. Mereka ingin membunuhnya. Maka pada keesokan harinya, iaitu 12 Nisan, hari Rabu, nampaknya Yesus meluangkan masa bersama rasul-rasulnya. Dia tidak pergi ke tempat awam agar dia dapat menyambut Perayaan Paska bersama mereka pada 14 Nisan.

Para ketua imam dan pemimpin orang Yahudi pula sangat sibuk. Mereka marah kerana Yesus telah mendedahkan perbuatan jahat mereka. Maka mereka berkumpul di halaman rumah Imam Agung Kayafas, dan berkomplot “untuk menangkap Yesus dengan cara yang licik dan membunuhnya.” Mereka berkata, “Kita tidak patut melakukannya semasa perayaan supaya orang ramai tidak menimbulkan huru-hara.” (Matius 26:4, 5) Mereka tidak berani menangkap Yesus di hadapan umum kerana dia disukai ramai.

Pada waktu itu, seorang lelaki datang kepada mereka. Mereka terkejut kerana lelaki itu ialah salah seorang rasul Yesus, iaitu Yudas Iskariot. Syaitan telah menanam niat jahat dalam hatinya supaya dia mengkhianati Yesus. Yudas bertanya kepada mereka, “Apakah yang akan kamu berikan kepadaku jika aku mengkhianati Yesus dan menyerahkannya kepada kamu?” (Matius 26:15) Dengan gembira, mereka “bersetuju untuk memberinya wang perak.” (Lukas 22:5) Mereka berjanji  untuk memberinya 30 keping wang perak, iaitu harga untuk membeli seorang hamba. (Keluaran 21:32) Dengan demikian, mereka menunjukkan bahawa mereka memandang hina terhadap Yesus. Sejak itu, Yudas ‘mula mencari kesempatan untuk mengkhianatinya dan menyerahkannya kepada mereka tanpa diketahui orang ramai.’​—Lukas 22:6.

Tiga belas Nisan bermula sewaktu matahari terbenam pada petang hari Rabu. Inilah hari terakhir Yesus bermalam di Betania. Pada keesokan harinya, persiapan untuk menyambut Perayaan Paska akan dibuat. Seekor biri-biri perlu disembelih dan dipanggang untuk jamuan Paska pada 14 Nisan. Di manakah Yesus dan para rasulnya akan mengadakan jamuan itu? Siapakah yang akan menyediakan jamuan itu? Yesus tidak memberikan apa-apa keterangan kepada para rasulnya, maka Yudas tidak dapat menyampaikan sebarang maklumat kepada para ketua imam.

Barangkali pada awal petang hari Khamis, Yesus berkata kepada Petrus dan Yohanes, “Pergilah dan sediakanlah jamuan Paska untuk kita.” Mereka bertanya, “Di manakah Guru mahu kami membuat persiapan?” Yesus berkata, “Semasa kamu masuk ke kota, kamu akan berjumpa dengan seorang lelaki yang membawa sebuah tembikar air. Ikutlah dia ke dalam rumah yang dimasukinya dan beritahulah tuan rumah itu, ‘Guru bertanya kepadamu, “Di manakah bilik yang dapat aku gunakan untuk makan jamuan Paska bersama murid-muridku?”’ Dia akan menunjukkan sebuah bilik besar di tingkat atas yang lengkap dengan perabot. Sediakanlah jamuan Paska di situ.”​—Lukas 22:8-12.

Tuan rumah itu ialah pengikut Yesus, dan dia mungkin sudah menjangkakan bahawa Yesus akan pergi ke rumahnya untuk mengadakan jamuan Paska. Maka semasa dua orang rasul itu tiba di Yerusalem, mereka mendapati semuanya berlaku seperti yang dikatakan oleh Yesus. Mereka pun menyediakan bebiri dan membuat persediaan yang lain bagi jamuan Paska untuk 13 orang, iaitu Yesus dan 12 orang rasulnya.