Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

 BAB 111

Para Rasul Meminta Tanda

Para Rasul Meminta Tanda

MATIUS 24:3-51 MARKUS 13:3-37 LUKAS 21:7-38

  • EMPAT ORANG PENGIKUT MEMINTA TANDA

  • NUBUAT-NUBUAT MENJADI KENYATAAN

  • KITA PERLU TERUS BERJAGA-JAGA

Hari Selasa, 11 Nisan, sudah hampir berakhir, begitu juga dengan kerja penyebaran Yesus di bumi. Pada siang hari, dia mengajar di Rumah Tuhan, dan banyak orang “datang untuk mendengarkannya.” Pada waktu malam pula, dia keluar dari sana dan tinggal di luar kota. (Lukas 21:37, 38) Kini Yesus duduk di atas Gunung Zaitun bersama empat orang rasulnya, iaitu Petrus, Andreas, Yakobus, dan Yohanes.

Yesus baru sahaja berkata bahawa batu-batu Rumah Tuhan pasti dirobohkan sehingga satu batu pun tidak akan tersusun di atas batu yang lain. Maka mereka datang kepada Yesus kerana ingin tahu apa yang akan berlaku kepada Rumah Tuhan. Sebelum itu, Yesus memberitahu mereka, “Pastikan bahawa kamu sentiasa bersedia, kerana Anak Manusia akan datang pada waktu yang tidak kamu jangkakan.” (Lukas 12:40) Dia juga menyebut tentang “hari Anak Manusia menampakkan diri.” (Lukas 17:30) Maka mereka ingin tahu sama ada perkara-perkara ini berkaitan dengan Rumah Tuhan atau tidak. Mereka bertanya, “Beritahulah kami bila hal-hal ini akan berlaku, dan apakah tanda bagi kehadiranmu dan penghujung sistem ini?”​—Matius 24:3.

Mereka ingin tahu bila Rumah Tuhan akan dimusnahkan. Selain itu, mereka bertanya tentang kehadiran Anak Manusia, kerana mereka mungkin ingat akan perumpamaan Yesus tentang ‘seorang bangsawan yang pergi ke tempat jauh untuk menjadi raja, dan kemudian kembali.’ (Lukas 19:11, 12) Mereka juga ingin tahu apa yang akan berlaku pada “penghujung sistem ini.”

Yesus memberikan satu tanda kepada mereka. Tanda itu akan menunjukkan bila Yerusalem dan Rumah Tuhan akan dimusnahkan. Tanda itu juga akan membantu orang Kristian pada masa hadapan untuk mengetahui masa ‘kehadirannya’ dan “penghujung sistem ini.”

Seraya masa berlalu, para rasul melihat bagaimana nubuat Yesus itu menjadi kenyataan. Ya, banyak nubuat itu terjadi pada zaman mereka. Maka orang Kristian yang sentiasa berjaga-jaga tidak terkejut apabila Yerusalem dan Rumah Tuhan dimusnahkan pada tahun 70 M. Tetapi nubuat Yesus juga akan menjadi kenyataan pada masa depan. Pada waktu itu, apakah yang akan menunjukkan bahawa dia menjadi raja? Marilah kita lihat kata-kata Yesus yang seterusnya.

Yesus menubuatkan bahawa akan ada “peperangan di pelbagai tempat” dan “satu bangsa akan menyerang bangsa yang lain, dan satu kerajaan akan menyerang kerajaan yang lain.” (Matius 24:6, 7) ‘Gempa bumi yang dahsyat akan berlaku, dan kebuluran dan wabak akan terjadi secara berturut-turut di merata tempat.’ (Lukas 21:11) Dia juga berkata bahawa para pengikutnya akan ‘ditangkap dan dianiaya.’ (Lukas 21:12) Nabi-nabi palsu akan muncul dan menyesatkan banyak orang. Kejahatan akan semakin bertambah, dan kasih kebanyakan orang akan mendingin. Selain itu, Yesus berkata bahawa “berita baik tentang Kerajaan Tuhan akan disebarkan ke seluruh bumi sebagai kesaksian kepada semua bangsa. Kemudian, barulah akhir akan datang.”​—Matius 24:14.

 Nubuat Yesus menjadi kenyataan sebelum dan semasa Yerusalem dimusnahkan oleh orang Roma, tetapi adakah nubuat ini akan berlaku pada skala yang lebih besar pada masa depan? Adakah anda sedar bahawa nubuat Yesus sedang terjadi dewasa ini?

Tanda kehadiran Yesus merangkumi kemunculan “benda jijik yang membawa kemusnahan.” (Matius 24:15) Pada tahun 66 M, “benda jijik” ini muncul apabila tentera Roma membawa bendera dan lambang mereka untuk mengepung Yerusalem. (Lukas 21:20) “Benda jijik” ini dikatakan “berdiri di tempat yang suci” kerana orang Yahudi menganggap Yerusalem sebagai tempat yang suci.

Kemudian Yesus berkata, “Akan berlakunya kesengsaraan besar yang tidak pernah berlaku semenjak permulaan dunia sehingga sekarang, dan yang tidak akan berlaku lagi.” Pada tahun 70 M, tentera Roma memusnahkan Yerusalem. Kejadian ini digambarkan sebagai kesengsaraan besar kerana “kota suci” orang Yahudi, termasuk Rumah Tuhan, telah dibinasakan dan banyak orang terbunuh pada waktu itu. (Matius 4:5; 24:21) Mereka tidak pernah mengalami pembinasaan yang begitu teruk. Mereka tidak dapat beribadat di Rumah Tuhan lagi, seperti yang telah dilakukan oleh mereka selama berabad-abad sebelum ini. Apabila nubuat ini menjadi kenyataan dalam skala yang lebih besar pada masa depan, kita akan melihat kesengsaraan yang lebih besar.

PENGHUJUNG SISTEM INI

Yesus terus mengajar para rasul tentang tanda kehadirannya dan penghujung sistem ini. Dia memberitahu mereka bahawa “Kristus palsu dan nabi palsu” akan muncul dan mencuba menyesatkan orang, bahkan “umat Tuhan yang terpilih.” (Matius 24:24) Tetapi umat ini tidak akan disesatkan kerana mereka tahu bahawa kehadiran Kristus palsu dapat dilihat, manakala kehadiran Yesus tidak dapat dilihat.

Berkenaan kesengsaraan yang akan berlaku pada penghujung sistem ini, Yesus berkata, “Matahari akan menjadi gelap dan bulan tidak akan bercahaya. Bintang-bintang akan jatuh dari langit, dan kuasa-kuasa di langit akan digoncang.” (Matius 24:29) Para rasul tidak dapat membayangkan apa yang akan berlaku, tetapi mereka tahu bahawa keadaan pada masa itu pasti amat luar biasa.

Yesus menggambarkan reaksi orang pada waktu itu dengan berkata, “Apabila orang menantikan apa yang bakal melanda seluruh bumi, mereka akan pengsan ketakutan kerana kuasa-kuasa di langit akan digoncangkan.” (Lukas 21:26) Ya, itulah detik paling menakutkan dalam sejarah manusia.

Tetapi perkara yang menggembirakan juga akan terjadi. Yesus berkata, ‘Anak Manusia akan datang dengan kuasa dan kemuliaan yang besar.’ (Matius 24:30) Sebelum ini, dia berkata bahawa “disebabkan umat yang terpilih,” Tuhan akan memendekkan tempoh masa kesengsaraan itu. (Matius 24:22) Maka apakah yang patut dilakukan oleh umat yang setia itu apabila mereka nampak hal-hal ini berlaku? Yesus berkata, “Apabila hal-hal ini mula berlaku, berdirilah dengan tegak dan angkatlah kepala kamu kerana pembebasan kamu sudah dekat.”​—Lukas 21:28.

Tetapi bagaimanakah pengikut Yesus dewasa ini tahu bahawa akhir penghujung sistem sudah dekat? Yesus menceritakan perumpamaan tentang pokok ara. Dia berkata, “Sebaik sahaja dahan muda yang lembut mula mengeluarkan daun, kamu tahu bahawa musim panas sudah dekat. Demikian juga, apabila kamu melihat semua perkara ini, ketahuilah bahawa dia sudah berada di ambang pintu. Sesungguhnya aku berkata kepada kamu bahawa generasi ini tidak akan lenyap sehingga semua perkara ini berlaku.”​—Matius 24:32-34.

Apabila mereka melihat pelbagai aspek tanda itu menjadi kenyataan, mereka akan tahu bahawa akhir sudah dekat. Yesus menasihati mereka,

 “Tiada seorang pun yang tahu hari atau waktunya, baik malaikat di syurga mahupun Anak. Hanya Bapa yang tahu. Sebagaimana keadaannya pada zaman Nuh, begitulah keadaannya semasa kehadiran Anak Manusia. Sebelum Banjir melanda, orang makan dan minum, lelaki dan wanita berkahwin, sehingga pada hari Nuh masuk ke dalam bahtera. Mereka tidak ambil peduli, sehingga Banjir melanda dan melenyapkan mereka semua. Begitulah keadaannya semasa kehadiran Anak Manusia.” (Matius 24:36-39) Ya, sebagaimana Banjir pada zaman Nuh telah meliputi seluruh bumi, kehadiran Anak Manusia juga akan mempengaruhi seluruh bumi.

Pasti empat orang rasul itu sedar bahawa mereka perlu sentiasa berjaga-jaga. Yesus berkata, “Perhatikanlah diri kamu agar hati kamu tidak sarat dengan makan berlebihan, minum berlebihan, dan kekhuatiran hidup, sehingga hari itu menimpa kamu dengan tiba-tiba seperti perangkap. Hari itu akan menimpa semua penduduk di seluruh muka bumi. Jadi, teruslah berjaga-jaga dan sentiasalah merayu kepada Tuhan agar kamu dapat diselamatkan daripada semua hal ini yang mesti berlaku dan dapat berdiri di hadapan Anak Manusia.”​—Lukas 21:34-36.

Yesus sekali lagi menunjukkan bahawa apa yang dinubuatkannya akan terjadi pada skala yang lebih besar. Kejadian-kejadian itu tidak akan menimpa Yerusalem dan orang Yahudi sahaja, tetapi juga akan “menimpa semua penduduk di seluruh muka bumi.”

Dia berkata bahawa pengikutnya perlu terus berjaga-jaga dan sentiasa bersedia. Dia menegaskan hal ini dengan perumpamaan berikut: “Jika tuan rumah tahu pada jam berapa pencuri akan datang, dia akan terus berjaga sepanjang malam dan tidak membenarkan pencuri pecah masuk ke dalam rumahnya. Oleh itu, pastikan bahawa kamu bersedia, kerana Anak Manusia akan datang pada waktu yang tidak kamu jangkakan.”​—Matius 24:43, 44.

Seterusnya Yesus memberi mereka sebab untuk bersukacita. Dia berkata bahawa apabila nubuatnya menjadi kenyataan, dia akan melantik “hamba” yang sentiasa berjaga-jaga dan bersiap sedia. Dia menjelaskan, “Siapakah sebenarnya hamba yang setia dan bijaksana, yang dilantik oleh tuannya untuk menjaga hamba-hamba lain dan untuk memberi mereka makanan pada masa yang sesuai? Alangkah bahagianya hamba itu jika tuannya datang dan mendapati bahawa dia sedang menjalankan tugasnya! Sesungguhnya aku berkata kepada kamu: Dia akan melantik hamba itu untuk mengurus segala hartanya.” Tetapi jika “hamba itu” menjadi jahat dan menindas hamba-hamba lain, tuannya akan “menjatuhkan hukuman yang berat sekali atasnya.”​—Matius 24:45-51; bandingkan Lukas 12:45, 46.

Yesus tidak memaksudkan bahawa segelintir pengikutnya akan menjadi jahat. Dia sebenarnya ingin mengingatkan mereka supaya sentiasa berjaga-jaga dan bersiap sedia, seperti yang ditekankan dalam perumpamaan yang seterusnya.