Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

 BAB 122

Doa Terakhir Yesus di Bilik Tingkat Atas

Doa Terakhir Yesus di Bilik Tingkat Atas

YOHANES 17:1-26

  • MENGENAL TUHAN DAN ANAKNYA

  • YEHUWA, YESUS, DAN PENGIKUT BERSATU

Yesus amat mengasihi para rasul, dan dia mempersiapkan hati mereka untuk pemergiannya. Sekarang dia berdoa, ‘Ya Bapa, muliakanlah anak-Mu supaya anak-Mu boleh memuliakan-Mu. Engkau telah memberinya kuasa atas semua orang, supaya dia boleh memberikan kehidupan yang kekal kepada semua orang yang Engkau berikan kepadanya.’​—Yohanes 17:1, 2.

Yesus sedar bahawa memuliakan Tuhan ialah perkara yang terpenting. Tetapi dia juga menyebut tentang kehidupan yang kekal. Memandangkan dia telah diberi “kuasa atas semua orang,” dia dapat menawarkan harapan kehidupan kekal kepada umat manusia. Namun, hanya orang yang ‘mengenal Tuhan yang benar, dan mengenal Yesus Kristus’ akan mendapat harapan ini.​—Yohanes 17:3.

Maka seseorang mesti mengenal Bapa dan Anak dengan baik dan memupuk hubungan yang erat dengan mereka. Dia mesti mempunyai pandangan yang sama dengan mereka dan berusaha meniru sifat-sifat baik mereka. Dia perlu memahami bahawa kemuliaan Tuhan adalah lebih penting daripada harapan hidup abadi. Berkenaan hal ini, Yesus berkata,

‘Aku sudah memuliakan-Mu di bumi dengan menyelesaikan kerja yang Engkau berikan kepadaku. Maka sekarang, biarlah aku dimuliakan di sisi-Mu dengan kemuliaan yang aku miliki di sisi-Mu sebelum dunia ada.’ (Yohanes 17:4, 5) Ya, setelah Yesus dibangkitkan, dia akan dimuliakan di syurga.

Kemudian Yesus menyebut tentang apa yang telah dilakukannya di bumi. Dia berkata, “Aku sudah membuat nama-Mu nyata kepada orang dari dunia ini yang telah Engkau serahkan kepadaku. Mereka merupakan milik-Mu, dan Engkau menyerahkan mereka kepadaku. Mereka mematuhi firman-Mu.” (Yohanes 17:6) Yesus bukan sekadar memberitahu orang tentang nama Tuhan, iaitu Yehuwa. Dia juga mengajar mereka tentang sifat-sifat-Nya dan cara Dia memperlakukan manusia.

Para rasul telah mengenal Yehuwa dan mengetahui peranan dan ajaran Anak-Nya. Dengan rendah hati, Yesus berkata, “Firman yang Engkau berikan kepadaku telah aku berikan kepada mereka dan diterima oleh mereka. Sesungguhnya mereka tahu bahawa aku datang sebagai wakil-Mu dan percaya bahawa Engkaulah yang mengutus aku.”​—Yohanes 17:8.

Kemudian Yesus menyatakan perbezaan antara para pengikutnya dengan orang duniawi. Dia berkata, ‘Aku berdoa bukan untuk dunia, tetapi untuk mereka yang Engkau berikan kepadaku kerana mereka milik-Mu. Ya Bapa yang suci, demi nama-Mu sendiri yang telah Engkau berikan kepadaku, jagalah mereka supaya mereka menjadi satu, sepertimana kita juga satu. Aku sudah melindungi mereka dan tidak seorang pun antara mereka yang dimusnahkan kecuali dia yang akan dimusnahkan itu,’ iaitu Yudas Iskariot yang akan mengkhianati Yesus.​—Yohanes 17:9-12.

Yesus terus berdoa, ‘Dunia membenci mereka. Aku tidak memohon Engkau untuk mengambil mereka keluar dari dunia, tetapi untuk melindungi mereka daripada Si Jahat. Mereka bukanlah sebahagian daripada dunia, sepertimana aku bukan sebahagian daripada dunia.’ (Yohanes 17:14-16) Meskipun pengikut Yesus hidup dalam dunia yang dikuasai Syaitan, mereka harus mengasingkan diri daripada dunia ini dan kejahatannya. Bagaimana?

Mereka perlu menyucikan diri, menyembah Tuhan, dan hidup selaras dengan kebenaran yang tercatat dalam Kitab-Kitab Ibrani dan kebenaran yang diajarkan Yesus. Yesus berkata, “Sucikanlah mereka dengan kebenaran. Firman-Mu ialah kebenaran.”  (Yohanes 17:17) Pada kemudian hari, sebilangan rasul akan menulis kitab-kitab yang diilhami Tuhan. Kitab-kitab ini juga akan menjadi sebahagian daripada “kebenaran,” yang dapat menyucikan orang.

Tetapi ada juga orang lain yang akan menerima “kebenaran.” Oleh itu, Yesus berkata, “Aku berdoa bukan untuk mereka [para rasul] sahaja, tetapi untuk semua orang yang beriman kepada aku setelah mendengar ajaran mereka.” Yesus memohon agar “mereka semua menjadi satu.” Dia berkata, “Bapa, sepertimana Engkau bersatu dengan aku dan aku bersatu dengan Engkau, mereka juga bersatu dengan kita.” (Yohanes 17:20, 21) Hal ini bererti bahawa Yesus dan Bapanya mempunyai pandangan yang sama dalam segala hal. Yesus memohon agar pengikutnya juga akan menikmati perpaduan sedemikian.

Yesus pernah memberitahu rasul-rasulnya bahawa dia akan pergi untuk menyediakan tempat bagi mereka di syurga. (Yohanes 14:2, 3) Sekarang dia merujuk kepada hal ini dalam doanya dengan berkata, “Ya Bapa, aku mahu agar orang yang Engkau berikan kepadaku bersama aku di tempat aku berada, supaya mereka dapat melihat kemuliaanku yang telah Engkau berikan kepadaku, kerana Engkau mengasihi aku sebelum dunia diasaskan.” (Yohanes 17:24, nota kaki) Hal ini bererti bahawa Tuhan sudah lama mengasihi Yesus, iaitu “sebelum dunia diasaskan.”

Pada penghujung doanya, Yesus sekali lagi menyebut tentang nama Bapanya dan kasih Tuhan bagi para rasul dan bagi orang yang bakal menerima “kebenaran.” Dia berkata, “Aku sudah membuat nama-Mu nyata kepada mereka dan aku akan terus berbuat demikian, supaya mereka akan menunjukkan kasih sepertimana Engkau menunjukkan kasih kepadaku dan supaya aku bersatu dengan mereka.”​—Yohanes 17:26.