LUKAS 18:1-14

  • PERUMPAMAAN TENTANG BALU YANG TIDAK PUTUS ASA

  • ORANG FARISI DAN PEMUNGUT CUKAI

Yesus pernah menekankan pentingnya berdoa dengan tekun. (Lukas 11:5-13) Dia berbuat demikian sekali lagi dengan menceritakan perumpamaan berikut:

“Di sebuah kota, terdapat seorang hakim yang tidak takut kepada Tuhan dan tidak menghormati orang. Di kota itu juga ada seorang balu yang asyik pergi kepadanya dan berkata, ‘Semasa aku menghadapi lawanku di mahkamah, tolonglah tegakkan keadilan bagiku.’ Buat suatu ketika, hakim itu enggan menolong balu itu, tetapi akhirnya dia berkata dalam hatinya, ‘Walaupun aku tidak takut kepada Tuhan dan tidak menghormati orang, aku akan menegakkan keadilan bagi balu ini kerana dia asyik menyusahkan aku. Jika tidak, dia akan terus datang dan mengganggu aku dengan permintaannya itu.’”​—Lukas 18:2-5.

Kemudian Yesus berkata, “Walaupun hakim itu bukanlah orang yang melakukan apa yang benar, dengarlah apa yang dikatakannya! Dalam cara yang sama, walaupun Tuhan sabar, tidakkah Dia akan menegakkan keadilan bagi umat pilihan-Nya yang berseru kepada-Nya siang dan malam?”​—Lukas 18:6, 7.

Apakah maksud Yesus? Dia sedang mengajar bahawa jika hakim jahat itu pun menegakkan keadilan bagi balu itu, apatah lagi Bapa kita yang di syurga. Dia ialah Tuhan yang adil dan baik, maka Dia pasti akan menjawab doa umat-Nya jika mereka berdoa tanpa putus asa. Hal ini memang benar kerana Yesus menyambung, “[Tuhan] akan menegakkan keadilan bagi mereka dengan segera.”​—Lukas 18:8.

Orang miskin biasanya dilayan secara tidak adil, manakala orang kaya pula selalunya diberi layanan istimewa. Tetapi Tuhan tidak akan berbuat demikian. Apabila masa yang ditetapkan tiba, Dia akan menghukum orang jahat dan mengurniakan hidup abadi kepada umat-Nya.

Seperti balu yang beriman itu, kita perlu percaya bahawa Tuhan akan ‘menegakkan keadilan bagi kita dengan segera.’ Yesus menekankan bahawa kita bukan sahaja perlu berdoa dengan tekun, kita bahkan juga perlu beriman bahawa Tuhan akan menjawab doa kita. Oleh itu, Yesus bertanya, “Semasa Anak Manusia tiba, dapatkah dia menemui iman sejati di bumi?” (Lukas 18:8) Kata-katanya menunjukkan bahawa hanya sedikit orang yang memiliki iman sejati apabila Kristus tiba.

Ada pendengar Yesus yang menganggap diri alim dan memandang rendah terhadap orang lain. Oleh itu, Yesus menujukan perumpamaan yang berikut kepada mereka:

“Dua orang lelaki pergi ke Rumah Tuhan untuk berdoa. Seorang ialah orang Farisi dan seorang lagi ialah pemungut cukai. Orang Farisi itu berdiri dan berdoa dalam hatinya, ‘Ya Tuhan, aku bersyukur kepada-Mu kerana aku tidak seperti pemungut cukai ini atau orang lain yang memeras ugut, berbuat salah, dan berzina. Aku berpuasa dua kali seminggu, dan aku memberikan satu persepuluh daripada semua yang aku peroleh.’”​—Lukas 18:10-12.

Orang Farisi suka menunjuk-nunjuk. Mereka sengaja  berpuasa pada hari Isnin dan Khamis, kerana banyak orang berkunjung ke pasar pada hari-hari itu dan dapat melihat perbuatan “alim” mereka. Mereka juga amat mementingkan persepuluhan bahkan bagi tanaman yang kecil. (Lukas 11:42) Beberapa bulan sebelum ini, mereka menghina orang biasa dengan berkata, “Orang ramai di sini yang langsung tidak memahami Hukum semuanya terkutuk.”​—Yohanes 7:49.

Yesus menyambung, “Tetapi pemungut cukai itu berdiri dari jauh dan bahkan tidak berani menengadah ke langit. Dia terus memukul dadanya sambil berkata, ‘Ya Tuhan, kasihanilah aku, kerana aku orang yang berdosa.’” Ya, pemungut cukai itu rendah hati dan mengakui dosanya. Maka Yesus berkata, “Semasa orang ini pulang, di mata Tuhan dia lebih baik daripada orang Farisi itu, kerana sesiapa yang meninggikan diri akan direndahkan dan sesiapa yang merendahkan diri akan ditinggikan.”​—Lukas 18:13, 14.

Demikianlah Yesus menunjukkan bahawa sikap rendah hati amat penting. Pengajaran ini amat bermanfaat bagi murid-murid Yesus pada masa itu kerana mereka membesar dalam masyarakat yang mementingkan kedudukan sosial. Pengajaran ini juga penting bagi kita sekarang.