Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Makhluk Roh Tidak Pernah Hidup dan Mati di Bumi

Makhluk Roh Tidak Pernah Hidup dan Mati di Bumi

Makhluk roh wujud! Dalam alam roh yang tidak kelihatan, terdapat roh yang baik dan roh yang jahat. Adakah mereka individu yang pernah hidup dan mati di bumi?

Bukan. Semasa seseorang mati, dia tidak terus hidup di alam roh seperti apa yang difikirkan oleh ramai orang. Bagaimanakah kita mengetahui hal ini? Kerana Bible berkata demikian. Bible ialah sebuah buku yang mengandungi kebenaran yang datang daripada satu-satunya Tuhan yang benar. Nama-Nya Yehuwa. Yehuwa telah mencipta manusia; Dia tahu benar apa yang terjadi kepada manusia apabila mereka mati.​—Kejadian 2:4, nota kaki; Mazmur 83:19; 2 Timotius 3:16.

Adam berasal dari tanah, dan kembali ke tanah

Bible menyatakan bahawa Tuhan “mengambil sedikit tanah” dan membentuk manusia yang pertama, Adam. (Kejadian 2:7) Tuhan menempatkannya di Firdaus, iaitu Taman Eden. Jika Adam mematuhi hukum Yehuwa, dia tidak akan mati; dia akan tetap hidup di bumi sampai hari ini. Tetapi sewaktu Adam sengaja melanggar hukum Tuhan, Tuhan berfirman kepadanya, “Engkau [akan] kembali ke tanah kerana engkau dibentuk daripada tanah. Engkau dijadikan daripada tanah, dan engkau akan kembali ke tanah.”​—Kejadian 3:19.

Apakah makna kata-kata ini? Cuba fikir, di manakah Adam sebelum Yehuwa menciptanya daripada tanah? Dia tidak berada di mana-mana. Dia juga bukan makhluk roh di syurga. Dia tidak wujud. Jadi, apabila Yehuwa berfirman bahawa Adam akan “kembali ke tanah,” Dia bermaksud bahawa Adam akan mati. Adam tidak terus hidup di  alam roh. Apabila dia mati, dia tidak bernyawa dan tidak wujud seperti dahulu. Kematian berlawanan dengan kehidupan.

Tetapi bagaimana pula dengan orang lain yang telah mati? Adakah mereka juga tidak wujud? Bible memberikan jawapannya:

  • “Kedua-duanya [manusia dan binatang] kembali ke tempat yang sama​—ke tanah. Kedua-duanya berasal dari tanah dan akan kembali ke tanah.”​—Pengkhutbah 3:20.

  • “Orang yang telah mati tidak tahu apa-apa pun.”​—Pengkhutbah 9:5.

  • “Kasih, kebencian, dan nafsu mereka, semuanya lenyap bersama-sama mereka.”​—Pengkhutbah 9:6.

  • “Di dunia orang mati [kuburan] tiada pekerjaan, fikiran, pengetahuan, ataupun hikmat lagi; ke sanalah kamu akan pergi.”​—Pengkhutbah 9:10.

  • “[Manusia] kembali ke tanah; pada hari itu segala rancangan mereka musnah.”​—Mazmur 146:4.

Hanya orang hidup yang boleh melakukan hal-hal ini

 Adakah anda mendapati ayat-ayat Bible tadi sukar diterima? Jika begitu, fikirkan hal ini: Dalam kebanyakan keluarga, suami mencari nafkah hidup. Biasanya apabila suami mati, keluarganya akan hidup merana. Kadangkala, isteri dan anak-anaknya bahkan tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk membeli makanan. Mungkin musuhnya akan menindas mereka. Sekarang, tanya diri anda: ‘Jika suami itu masih hidup di alam roh, mengapakah dia tidak terus menjaga keperluan keluarganya? Mengapakah dia tidak melindungi keluarganya daripada orang jahat?’ Hal ini kerana kata-kata Bible memang benar. Lelaki itu tidak bernyawa, dia tidak dapat berbuat apa-apa.​—Mazmur 115:17.

Orang mati tidak dapat membantu mereka yang kelaparan atau melindungi mangsa penindasan

Adakah hal ini bermaksud bahawa orang mati tidak mungkin hidup semula? Tidak, hal ini tidak bermaksud sedemikian. Kita akan membincangkan harapan pembangkitan kemudian. Sebaliknya, hal ini bermaksud bahawa orang mati tidak mengetahui apa yang sedang anda lakukan. Mereka tidak dapat melihat anda, mendengar anda, atau bercakap dengan anda. Anda tidak perlu takut akan mereka. Mereka tidak dapat membantu anda ataupun mengapa-apakan anda.​—Pengkhutbah 9:4.