Tidak lama lagi, Syaitan dan roh-roh jahat tidak dapat berbuat apa-apa pun

Syaitan dan roh-roh jahatnya tidak akan terus menipu manusia. Yehuwa sudah pun membuang mereka dari syurga. (Wahyu 12:9) Tidak lama lagi, Tuhan akan mengambil tindakan ke atas Syaitan dan roh-roh jahatnya sekali lagi. Dalam suatu penglihatan yang dikurniakan oleh Tuhan, hawari Yohanes mengatakan, “Kemudian aku nampak satu malaikat turun dari syurga. Dia memegang kunci jurang maut dan seutas rantai besar. Dia menangkap naga itu, ular tua itu iaitu Iblis atau Syaitan, dan merantainya selama seribu tahun. Malaikat itu membuang naga itu ke dalam jurang maut, lalu mengunci jurang itu dan memeteraikannya, supaya naga itu tidak dapat menipu bangsa-bangsa lagi, sehingga masa seribu tahun itu berlalu.” (Wahyu 20:1-3) Akhirnya, Si Iblis dan roh-roh jahatnya akan dimusnahkan untuk selama-lamanya. ​—Wahyu 20:10.

Orang jahat di bumi juga akan dilenyapkan.​—Mazmur 37:9, 10; Lukas 13:5.

 Orang Mati akan Hidup Semula!

Orang mati akan hidup semula di bumi

Setelah Syaitan dan roh-roh jahat dikurung di dalam jurang, Yehuwa akan melimpahi umat manusia dengan berkat. Anda tentu ingat bahawa orang mati tidak bernyawa dan tidak wujud. Yesus menyamakan kematian dengan tidur, iaitu tidur yang nyenyak tanpa mimpi. (Yohanes 11:11-14) Yesus berkata demikian kerana dia tahu bahawa pada masa depan, orang yang mati akan hidup semula, sebagaimana orang yang tidur akan dikejutkan. Kata Yesus, “Akan tiba masanya apabila semua orang mati akan . . . keluar dari kubur.”​—Yohanes 5:28, 29; bandingkan Kisah 24:15.

Mereka akan hidup semula di bumi. Kita tidak akan lagi mendengar pemberitahuan tentang kematian orang. Sebaliknya, kita akan gembira sekali kerana mendengar laporan-laporan tentang mereka yang hidup semula! Alangkah gembiranya kita semasa menyambut orang yang dikasihi yang dibangkitkan dari kubur!